Dybala (tengah) jaring gol pembukaan Juventus. -Foto EPA
Dybala (tengah) jaring gol pembukaan Juventus. -Foto EPA
AFP

MILAN: Dua gol sumbangan Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain sudah cukup untuk Juventus menempah tiket ke suku akhir Piala Itali selepas menewaskan Genoa 2-0, semalam.

Dybala yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh jurulatihnya, Massimiliano Allegri membalas kepercayaan itu dengan meledak gol pendahuluan di hujung babak pertama, sebelum Higuain melebarkan kedudukan pada minit ke-76.

“Perlawanan berlangsung sengit tetapi apa yang lebih penting kami berjaya mara ke peringkat seterusnya,” kata Higuain yang masuk menggantikan Douglas Costa.

“Saya gembira dapat menjaringkan gol. Malah saya juga gembira kerana Dybala kembali menemui sentuhannya. Walaupun dia (Dybala) tidak menjaringkan gol dalam beberapa aksi terdahulu, saya percaya tahap keyakinannya semakin meningkat.

“Saya harap dia akan terus menjaringkan gol buat pasukan.”

Berdasarkan jadual suku akhir, Juventus akan menanti kunjungan Torino pada 3 Januari ini selepas mereka turut mara ke kelompok lapan terbaik dengan menundukkan Roma 2-1.

Ketangkasan penjaga gol Torino, Vanja Milinkovic-Savic banyak menghampakan rangkaian penyerang Roma yang terpaksa akur tersingkir daripada saingan kalah mati itu.

“Kami meraih banyak peluang menerusi situasi bola mati, namun kecekapan penjaga gol Torino meranapkan impian kami,” kata jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco.

Dalam aksi itu, Roma gagal bermula baik apabila mereka ketinggalan dua gol menerusi Lorenzo De Silvestri (minit ke-39) dan Simone Edera (minit ke-72).

Tuan rumah cuba bangkit hasil jaringan Patrik Schick pada minit ke-85, namun ia masih tidak mampu menghalang kemaraan Torino ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:25 PM