Muhammad Saufi Hassan


MEMANUSIAKAN teknologi untuk masyarakat adalah perkara penting bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada semua tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka supaya ia bergerak seiring.

Walaupun teknologi dilihat semakin berkembang pesat dan menjadi pemangkin kemajuan negara, namun tanpa perancangan dan tindakan tepat, ia tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman berkata, kegagalan memanfaatkan kemajuan teknologi mengakibatkan manusia ketinggalan, sekali gus pembentukan masa depan yang menggabungkan manusia dan teknologi secara harmoni tidak akan tercapai.

"Satu lagi aspek penting dalam memanusiakan teknologi ialah membentuk pembangunannya dengan memupuk generasi baharu menjadi individu celik teknologi yang memiliki kompas moral yang kukuh.

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkasakan pelajar, pendidik dan penyelidik dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi landskap digital yang sentiasa berkembang ini," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Trend Global dalam Kejuruteraan dan Sains (GTEST2023), baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Profesor Ir Dr Rizalafande Che Ismail selaku Penasihat Kongres.

Dr Azlinda berkata, melalui institusi pengajian tinggi, pelajar dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengemudi landskap teknologi yang pesat berubah sambil menyemai dalam diri mereka rasa empati, kreativiti dan tanggungjawab sosial yang mendalam.

DR Azlinda (dua dari kiri) dan Dr Zaliman (dua dari kanan) dan merasmikan GTEST2023 anjuran UniMAP di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
DR Azlinda (dua dari kiri) dan Dr Zaliman (dua dari kanan) dan merasmikan GTEST2023 anjuran UniMAP di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

"Institusi pengajian tinggi juga perlu sentiasa bekerjasama dengan pakar industri dan rakan kongsi antarabangsa untuk merapatkan jurang antara pembangunan teknologi serta keperluan masyarakat bagi memastikan setiap hasil penyelidikan dapat diterjemahkan dalam penyelesaian dunia sebenar. Sekali gus yang mampu menangani cabaran mendesak yang dihadapi masyarakat masa kini," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan GTEST2023 anjuran UniMAP yang menghimpunkan persidangan antarabangsa dianjurkan setiap tahun dengan menjemput institut yang mempunyai pelbagai bidang utama seperti kejuruteraan bahan, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia dan beberapa bidang kejuruteraan lain.

Sementara itu, Dr Zaliman berkata, GTEST2023 yang membawa tema memanusiakan teknologi untuk masyarakat, dianjurkan bagi memberi penekanan penyelidikan dan pembangunan teknologi dan kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan masyarakat dan industri melalui kepakaran ahli akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:00 AM