ZALIMAN (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ahlam.
ZALIMAN (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ahlam.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sebanyak 70 kertas saintifik daripada pelbagai universiti dalam dan luar negara diterima bagi Persidangan Antarabangsa Bersama Mengenai Nanosains dan Kejuruteraan Nano 2022' (BOND21).

Persidangan itu yang dianjurkan oleh Institut Kejuruteraan Nanoelektronik (INEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut mendapat kerjasama Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) Indonesia, Universiti AIMST, University of Technology (UoT) Iraq dan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan UoT adalah penyumbang terbesar kertas saintifik kali ini.

Tema untuk persidangan 2022 dipilih sebagai 'Nanosains dan Kejuruteraan Nano untuk Pertumbuhan dan Kelestarian Negara'

Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli berkata, BOND21 2022 adalah satu platform kepada penyelidik untuk bertukar idea, berkongsi maklumat, meningkatkan pengetahuan mengenai nano sains serta kejuruteraan nano.

Katanya, ia merangkumi satu kajian struktur dan bahan pada skala nanometer manakala nano kejuruteraan ialah amalan kejuruteraan pada skala nano.

"Menerusi persidangan ini, saintis dan jurutera daripada pelbagai disiplin termasuk fizik, kimia, biologi, sains bahan menggunakan prinsip nanosains untuk aplikasi lanjutan dalam tenaga, elektronik, perubatan, teknologi maklumat, pengkomputeran dan lain-lain," katanya ketika memberi ucapan aluan di Majlis Perasmian BOND21 2022, semalam.

Hadir sama Kaunselor Kebudayaan (Malaysia, China, dan Asia Selatan) Kedutaan Republik Iraq Prof Madya Dr Ahlam Neamah Lafta, delegasi Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) Indonesia diketuai Prof Dr Tony Ibnu Sumaryada dan Penasihat Akademik Kedutaan Republik Iraq mewakili Universiti Teknologi, Iraq (UoT) Dr Salah Mahdi.

Zaliman berkata, sokongan daripada MOSTI sendiri diharapkan dapat menyuntik semangat INEE UniMAP untuk menganjurkan BOND21 ini setiap dua tahun sekali seperti perancangan asal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 1:22 PM