SAMBUTAN Hari Guru yang pertama diadakan di dasar laut Pulau Perhentian.
SAMBUTAN Hari Guru yang pertama diadakan di dasar laut Pulau Perhentian.
HM Digital

MALAYSIA Book of Records (MBOR) mengiktiraf sambutan Hari Guru yang pertama diadakan di dasar laut Pulau Perhentian, Besut, Terengganu yang diadakan Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut baru-baru ini.

Pengiktirafan itu berjaya diperoleh hasil usaha mereka sebagai penganjur pertama meraikan sambutan Hari Guru di dasar laut.

Lebih menariknya, beberapa orang guru terbabit turut melakukan gimik dengan berpakaian seorang guru iaitu kemeja dan tali leher ketika menyelam.

Menurut Guru SMK Kuala Besut, Aznan Abas, sambutan itu direalisasikan 33 penyelam terdiri daripada 15 guru Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan kakitangan bank berkenaan.

"Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan di dalam air, mengasah kemahiran di dasar laut dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi sukan selam skuba dalam kalangan guru.

"Secara tidak langsung ia dapat memperkenalkan Pulau Perhentian sebagai lokasi selam skuba dan selam snorkeling yang terkenal dan menjadi tarikan ramai hingga di peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, mereka mula menyelam di dasar Pulau Perhentian pada pukul 10.30 pagi dan menghayati keindahan alam dasar laut kira-kira 45 minit.

Pengiktirafan itu disahkan wakil MBOR, Lee Pooi Leng dan majlis sambutan Hari Guru itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah di Pusat Taman Laut, Pulau Perhentian.

Sementara itu, Abdul Muie berkata, program yang diadakan itu dapat meningkatkan lagi penghargaan terhadap golongan pendidik di samping mengeratkan hubungan bersama antara agensi dengan komuniti.

Selain itu, usaha berkenaan dapat meningkatkan motivasi kepada golongan guru supaya lebih bersemangat dan berdedikasi dalam mendidik anak bangsa.

"Pada masa sama program ini juga diharap dapat meningkatkan lagi motivasi golongan pendidik supaya terus melakukan yang terbaik untuk melakar lebih banyak kecemerlangan dalam bidang pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 6:49 AM