MENYELAM skuba bersama pelancong. FOTO E-mel
MENYELAM skuba bersama pelancong. FOTO E-mel
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BERTUBUH kecil tetapi mempunyai kehebatan yang mengagumkan dan obses terhadap aktiviti lasak membawanya ‘terjun’ ke dalam kegiatan penyelaman skuba.

Dia mula aktif meneroka keindahan khazanah dasar laut sebagai penyelam skuba sejak berusia 19 tahun sebaik memiliki lesen menyelam rekreasi yang kini pada tahap kedua iaitu ‘adventure dives.’

Difahamkan, Nur Hanis Mohamed Khalid, 23, sudah melakukan lebih 30 aktiviti menyelam skuba di beberapa pusat peranginan pelancongan kegemarannya seperti di Pulau Perhentian (Terengganu), Pulau Songsong, Pulau Payar, Pulau Bidang dan Pulau Lembu di Kedah.

Menurutnya, dia jatuh cinta terhadap laut sejak kecil apabila kerap didedahkan dengan aktiviti bermain air laut oleh bapanya Mohamed Khalid Alaudin, 57, yang juga tenaga pengajar menyelam skuba.

“Ayah sangat menggalakkan anaknya belajar berenang sehinggalah saya mampu menguasai kemahiran ini (berenang) pada usia sembilan tahun.

“Apabila meningkat dewasa, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti yang lebih mencabar iaitu menyelam skuba.

“Saya menjadi lebih teruja untuk menyelam skuba setiap kali melihat keindahan panorama flora dan fauna dasar laut yang memukau menerusi koleksi gambar milik ayah,” katanya.

Katanya, desakan itu mendorongnya mengambil lesen menyelam skuba dan mengakui ia bukan proses mudah kerana perlu melepasi beberapa ujian memandangkan ia antara aktiviti berisiko dan memerlukan kemahiran tinggi.

Penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor ini berkata, lesen menyelam skuba tahap kedua itu membolehkannya menyelam pada kedalaman sehingga 30 meter.

“Berada di dasar laut membuatkan saya berasa seolah-olah di dalam akuarium dunia kerana pemandangannya terlalu indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia umpama terapi sehinggakan saya terlupa segala masalah yang ada.

“Saya terpegun menyaksikan syurga laut dan pada masa sama sangat kagum dengan ciptaan Yang Maha Esa.

“Antara yang menarik perhatian saya sepanjang berada di dasar laut ialah kepelbagaian batu karang yang cantik dan berwarna-warni,” katanya.

Leka menghayati keunikan hidupan marin membuatkan Nur Hanis berasakan tempoh masa 45 minit yang diberikan kepadanya berada di dasar laut terasa begitu singkat.

Katanya, setakat ini pengalaman menarik dan sukar dilupakan sepanjang terbabit dengan aktiviti menyelam skuba ialah melihat anak ikan jerung.

“Saya mengimpikan untuk melihat ikan pari manta iaitu antara spesies ikan pari terbesar di dunia yang saiznya mencecah tujuh meter,” katanya.

Ditanya berkenaan lokasi impian untuk menyelam skuba, Nur Hanis berkata, dia berhasrat mahu menawan Pulau Raja Ampat, Indonesia dan Taman Laut Terumbu Sawar Besar di Australia pada masa akan datang.

“Buat masa ini, saya pendam dahulu cita-cita itu atas faktor kewangan. Aktiviti menyelam skuba adalah hobi yang mahal tetapi sangat berbaloi dengan pengalaman diperoleh.

“Tambahan pula saya masih lagi belajar dan hanya melihat keindahan tempat terbabit dengan menonton YouTube.

“Tidak semua orang boleh merasai peluang sebegini dan merasakan diri saya antara yang bertuah kerana berkebolehan menyelam skuba,” katanya.

Jelasnya, dia tidak menolak akan menjadikan hobinya sebagai kerjayanya satu masa kelak memandangkan dirinya sudah sebati dengan laut. Dia mahu lebih serius dalam aktiviti yang didominasi lelaki.

“Ini kerana wanita lebih gemar dengan aktiviti mendaki bukit dan gunung atau acara larian yang tidak memerlukan kemahiran tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:00 AM