MUHAMMAD Shauki
MUHAMMAD Shauki
Intan Mas Ayu Shahimi


Tidak pernah sesal meninggalkan kerjaya sebagai perunding hartanah tiga tahun lalu, Muhammad Shauki Mohammad Raduan, 27, begitu nekad mengejar impiannya untuk menjadi jurulatih selam skuba.

Minatnya terhadap dunia bawah laut begitu mendalam hinggakan anak kelahiran Gombak, Selangor ini sanggup mengetepikan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah yang dimiliki.

Kata Muhammad Shauki, dia mahu mencabar dirinya untuk menjadi seorang tenaga profesional dalam bidang selam skuba yang kini dimonopoli orang asing terutama dari Eropah.

“Minat timbul tanpa sengaja. Ketika masih di universiti, saya dan rakan ada menjalankan kajian lapangan di Kampung Rhu Sepuluh, Pantai Penarik, Terengganu. Ketika itu, kami berurusan dengan Pejabat Tanah Besut.

“Sementara berada di Besut, saya dan rakan mengambil kesempatan ke Pulau Perhentian. Itulah kali pertama saya ke sana. Sukar untuk saya gambarkan betapa terujanya melihat kejernihan air laut yang membiru di pulau itu. Sejujurnya, saya memang tidak pernah melihat air laut sejernih itu kerana sebelum ini hanya berpeluang melawat pulau di perairan Selat Melaka.

“Ada perbezaan ketara jika hendak dibandingkan dengan kepulauan di perairan Laut China Selatan. Lautannya terbuka dan tidak terlindung,” katanya kagum.

Bina impian

Kebetulan Muhammad Shauki sudah diajar dan dihantar ke kelas renang sejak kecil, kebolehan itu menjadikan dia semakin tertarik kepada aktiviti air. Pada usia muda, dia sering mengikut arwah ayahnya melakukan kajian terhadap nelayan di Asia Tenggara.

“Arwah ayah saya, Prof Datuk Dr Mohammad Raduan adalah pensyarah di Universiti Malaya. Beliau banyak melakukan kajian terhadap nelayan. Namun, sebenarnya yang membuatkan saya jatuh cinta dengan Pulau Perhentian adalah ketika melakukan aktiviti snorkeling.

“Itu kali pertama saya mencuba aktiviti itu dan berpeluang menyaksikan penyu di depan mata saya. Selama ini, saya fikir hanya penyelidik Nat Geo saja yang berpeluang melihat penyu berenang secara langsung. Saya juga menyangka penyu sejenis haiwan yang sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat lain, jadi kebarangkalian menyaksikan penyu di depan mata amat tipis. Rupa-rupanya, di Pulau Perhentian memang banyak penyu dan mudah dijumpai.

“Sejak dari itu, saya semakin kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pulau Perhentian untuk aktiviti snorkeling. Sedar tidak sedar, minat saya semakin mendalam dan timbul rasa ingin mencuba pengalaman selam skuba,” katanya.

PESONA laut dalam yang memukau.
PESONA laut dalam yang memukau.

Hari demi hari berlalu dengan perasaan teruja untuk mencuba. Pada 2013, Muhammad Shauki mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja dan berpindah ke Pulau Perhentian. Keputusannya mendapat sokongan dari bapa dan dan ahli keluarga yang lain, namun ada sedikit tentangan daripada ibu.

“Pada ketika itu, saya sudah menanam azam dan cita-cita bergelar Dive Master dan seterusnya Instructor. Namun, tiba di Pulau Perhentian, saya belum boleh bekerja sebagai jurulatih selam skuba kerana tidak memiliki lesen dan kelayakan daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI).

“Jadi, sebagai langkah mula, saya bekerja di Pulau Perhentian sebagai penunjuk arah snorkeling dan jurugambar di dasar laut untuk menyara kehidupan saya di Pulau Perhentian, sekali gus mengumpul wang bagi mendapatkan lesen profesional Dive Master dan Instructor,” katanya.

Setahun Muhammad Shauki mengikat perut di Pulau Perhentian. Lelaki ini sanggup melupakan rumah keluarganya yang selesa dan tinggal di dalam khemah selama beberapa bulan. Semua simpanan ketika bekerja di firma dulu dihabiskan untuk membeli peralatan skuba sendiri.

“Saya korbankan apa saja yang ada untuk menjadi jurulatih selam skuba. Sedangkan impian itu masih tidak menjaminkan apa-apa pulangan untuk masa depan. Namun, jauh di sudut hati, saya percaya bidang ini mempunyai potensi tinggi.

“Saya cekalkan hati kerana terpaksa berjauhan dengan arwah ayah yang bertarung dengan masalah jantung dan kencing manis. Kalau mengikut perancangan asal, saya mahu menyiapkan kedua-dua lesen secepat mungkin di Pulau Perhentian. Tetapi sudah tersurat rezeki, di pertengahan jalan, saya mendapat tawaran tajaan dari Scuba Junkie Resort, Mabul untuk menjalani latihan di sana dan bekerja bersama mereka selama dua tahun.

“Syukur, saya mengambil masa selama hampir tiga tahun sebelum berjaya bergelar jurulatih. Saya akhirnya berjaya menjalani kursus Open Water Diver, Advanced Open Water Diver, Rescue Diver, Dive Master, Open Water Scuba Instructor, dan juga Deep Specialty Instructor,” katanya.

Cabaran baru

Menyandang tanggungjawab sebagai jurulatih tidak bermakna Muhammad Shauki terlepas daripada pelbagai dugaan dan cabaran. Bagaimanapun, setiap satunya dilalui dengan tenang dan yakin itulah pengalaman yang tidak dapat dijual beli.

“Cabaran utama sebagai jurulatih selam skuba adalah menjaga keselamatan anak murid ketika melakukan aktiviti ini. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Ada yang takut di air dalam, ada takut pada gelap dan tidak kurang juga yang takut pada bayang-bayang mereka sendiri.

“Jadi, sebagai jurulatih, saya perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan situasi, memberi dorongan, semangat dan keyakinan kepada anak murid sehingga mereka berjaya menyelesaikan setiap peringkat latihan selam skuba ini.

“Ada waktunya, saya perlu sentiasa peka dengan keadaan anak murid saya dari segi persediaan mental dan fizikal mereka bagi mengelak dari sebarang risiko kemalangan atau kejadian yang tidak diingini. Bagi penyelam yang baru, mereka ini biasanya mudah panik panik atas sebab-sebab tertentu. Jadi, saya perlu memahami setiap kelebihan dan kekurangan orang yang turun menyelam bersama saya.

MELATIH anak murid di kolam.
MELATIH anak murid di kolam.

“Bagaimanapun, di Perhentiankravers, faktor keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kita akan pastikan setiap peserta kursus selam skuba mempunyai tahap kesihatan yang baik dan memuaskan. Setiap kemahiran wajib seperti berenang dan mengapungkan diri akan di ajar dan diperiksa terlebih dulu sebelum peserta dibenarkan menyelam di lautan lepas,” katanya.

Banyak kenangan manis

Ketika diajak bercerita mengenai pengalaman manis, Muhammad Shauki teruja mengimbau kisah anak muridnya iaitu pasangan dari Finland - Lyn, 45, dan Ulfe, 54, yang berjaya menyelesaikan kursus Open Water Diver bersamanya di Mabul, Sabah.

“Pada mulanya mereka sangat gementar dan tidak yakin mampu melakukan aktiviti selam skuba. Atas dorongan dan motivasi yang diberi, akhirnya mereka berjaya dan kini aktif mengunjungi lokasi menyelam di pelbagai negara.

“Sebagai tanda terima kasih kepada saya, mereka membuat sumbangan ikhlas dengan mengambil seekor anak penyu yang baru menetas sebagai anak angkat. Mereka namakan penyu berkenaan sebagai Aki, iaitu nama timangan saya.

“Secara peribadi, saya sangat gembira dan berbangga kerana berjaya membantu mereka meneroka ruang baru dalam hidup. Terbukti usia bukanlah penghalang jika kita bersungguh-sungguh,” katanya.

Selain pengalaman di Mabul, Muhammad Shauki juga menyimpan kenangan manis bersama pasukannya Perhentiankravers. Katanya, pasukan selam skuba itu sudah berjaya membawa sekurang-kurangnya 200 penyelam baru dan akan melatih 1,000 lagi individu pada tahun depan.

“Ramai yang masih ragu-ragu untuk menyertai sukan ini. Selam skuba mungkin nampak ekstrim bagi sesetengah orang, tetapi sebenarnya ia aktiviti yang selamat, menyeronokkan dan kaya dengan pelbagai pengetahuan baru. Banyak yang boleh dipelajari menerusi aktiviti ini termasuk dari segi ekosistem, oseanografi (ilmu alam lautan), peralatan, fizik dan persekitaran.

“Hidupan bawah air adalah khazanah paling berharga yang kita miliki. Jadi, sayangi dan pelihara lautan serta hidupan bawah air kerana ia bukan sekadar memberikan manusia sumber rezeki, tetapi keindahan yang menakjubkan.

“Sepanjang aktif dalam selam skuba, saya melihat banyak hidupan di bawah sana yang tidak pernah terbayang oleh fikiran dan akal manusia. Ia bukti jelas kekuasaan Allah SWT,” katanya yang giat menyumbang ke arah usaha pemeliharaan alam sekitar dengan melancarkan program Project Island Cleanliness Effort (ICE), di Pulau Perhentian.

Menerusi program itu, pelanggan yang datang ke pulau berkenaan berpeluang menyumbang tenaga dengan mengutip sampah seperti botol plastik di sepanjang perjalanan. Kemudian, pemandu pelancong Perhentiankravers akan membawa keluar sampah ke Kuala Besut untuk dilupuskan dan dikitar semula.

MELATIH anak murid di kolam.
MELATIH anak murid di kolam.

Keistimewaan memiliki lesen

Dalam pada itu, Muhammad Shauki mengajak lebih ramai remaja dan dewasa untuk mencuba aktiviti selam skuba. Katanya, pemilik lesen skuba PADI boleh melakukan aktiviti itu di mana saja di seluruh dunia.

“Walaupun mengambil kursus di Malaysia, kita masih boleh melakukan aktiviti selam skuba di negara luar yang mempunyai destinasi menarik. Malah di Malaysia, Brunei dan Indonesia saja sudah terdapat lebih 500 destinasi pelancongan selam skuba untuk dikunjungi.

“Dari sudut rekreasi, sekiranya lesen skuba dimiliki diperbaharui dari semasa ke semasa hingga ke tahap profesional, permintaan bekerja sambil menjelajah juga banyak di tawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 3:02 PM