DR Shahrin (barisan kedua lima dari kiri) dan Mohd Rahimi (barisan kedua empat dari kiri) bersama peserta program Step Up.
DR Shahrin (barisan kedua lima dari kiri) dan Mohd Rahimi (barisan kedua empat dari kiri) bersama peserta program Step Up.
Fazurawati Che Lah

Bukan hanya kemahiran insaniah yang diperlukan setiap penuntut untuk cemerlang kerana pemahaman kepada budaya juga perlu supaya tidak nanti dipandang seperti ‘rusa masuk kampung.’

Berteraskan konsep silang budaya dan pengantarabangsaan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) menganjurkan program Step Up 2018 bersama Soon Chun Hyang University (SCHU) Korea Selatan, baru-baru ini.

Program yang dilaksanakan kali ini adalah rentetan kejayaan program yang dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun lalu.

TARIAN kebudayaan Melayu yang dipersembahkan barisan pelajar UTeM.
TARIAN kebudayaan Melayu yang dipersembahkan barisan pelajar UTeM.

Majlis perasmian diadakan di Dewan UTeM 1 Kampus Teknologi Ayer Keroh, Melaka.

Menurut Dekan FTKEE Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, berkata Step Up 2018 kali ini membabitkan seramai 24 penuntut dan dua tenaga pengajar dari SCHU Korea bersama dengan 12 siswa dari UTeM yang bertindak sebagai fasilitator.

Katanya, dalam masa 12 hari program itu diadakan, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program bersama dengan sekolah terpilih sekitar Durian Tunggal, aktiviti inap desa dengan penduduk kampung sekitar, lawatan ke kilang perindustrian, kelas bahasa Melayu dan Inggeris”, katanya.

SEBAHAGIAN pelajar SCHU Korea turut mempamerkan ketangksan mereka dalam aksi seni mempertahankan diri.
SEBAHAGIAN pelajar SCHU Korea turut mempamerkan ketangksan mereka dalam aksi seni mempertahankan diri.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi merancakkan lagi semarak perkongsian kebudayaan Malaysia di Melaka, peserta dari SCHU Korea ini turut dibawa menghadiri majlis perkahwinan penduduk tempatan di samping menikmati aneka kebudayaan dan variasi makanan tradisi di Melaka.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata program berimpak nasional sebegini digalakkan di UTeM kerana ia memberi pendedahan bersifat global dari aspek budaya dan pembelajaran.

Katanya, pengajian dan pembelajaran adalah teras akademik sesebuah universiti namun percambahan budaya pula akan menambahkan lagi keunikan kebudayaan bagi gandingan dua negara.

SEBAHAGIAN pelajar SCHU Korea mempersembahkan tarian dan kebudayaan Korea Selatan.
SEBAHAGIAN pelajar SCHU Korea mempersembahkan tarian dan kebudayaan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:58 PM