MOHD Adzimnuddin (dua dari kiri) bersama Dr Isma Addi (paling kanan) dan Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr. Mohd Amin Mohamad (paling kiri) menunjukkan mock cheque dan sijil selepas menerima Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) dan Naib Johan (pitching competition) di cabaran Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition (SEIP 2022), baru-baru ini
MOHD Adzimnuddin (dua dari kiri) bersama Dr Isma Addi (paling kanan) dan Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr. Mohd Amin Mohamad (paling kiri) menunjukkan mock cheque dan sijil selepas menerima Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) dan Naib Johan (pitching competition) di cabaran Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition (SEIP 2022), baru-baru ini
Suliati Asri


KEUNGGULAN Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam konteks melahirkan mahasiswa berdaya keusahawanan teknikal tinggi apabila merangkul kejayaan berganda di Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition  (SEIP 2022), baru-baru ini.

SEIP 2022 yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu adalah inisiatif program keusahawanan nasional di bawah KPT.

Ia bertujuan membangunkan syarikat pemula (start-up) pelajar berteraskan produk inovasi dan teknologi melalui pelaksanaan inkubator latihan keusahawanan.

Tahun ini, SEIP 2022 membabitkan penyertaan 10 institusi pengajian tinggi terpilih dalam negara dan sebanyak lima kluster utama inkubator diwujudkan iaitu teknologi digital, sains dan teknologi, industri agro, keusahawanan sosial dan industri kreatif.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata dua kejayaan berprestij itu adalah menerusi Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) dan naib juara (pitching competition) di SEIP 2022.

"Pencapaian membanggakan itu adalah bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan.

"Kejayaan ini juga menyerlahkan lagi kemampuan UTeM dalam melahirkan graduan yang holistik serta memiliki atribut keusahawanan," katanya.

Untuk SEIP 2022 ini, UTeM menghantar empat syarikat inovasi pelajar dengan kerjasama dan sinergi dengan mentor yang terdiri daripada pensyarah UTeM di bawah seliaan Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr Isma Addi Jumbri dan Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr Mohd Amin Mohamad.

Sementara itu, Dr Isma Addi berkata, Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) yang dimenangi itu adalah menerusi projek Smart Baja Using IoT System for Fertigation diwakili pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Mohd Adzimnuddin Mohd Nor Azami dengan bimbingan pensyarah mentor UTeM, Ir Dr Anas Abdul Latif.

"Gabungan idea pelajar dan pensyarah mentor UTeM bersama membangunkan syarikat Eureka Technology Solution (ETS) turut terpilih sebagai naib juara bagi keseluruhan pertandingan yang membabitkan inisiatif padanan perniagaan.

"Produk syarikat ETS yang mewakili inkubator UTeM pula mendapat perhatian KPT dan mempunyai prospek pasaran yang luas kerana menyediakan sistem pemantauan parameter asas pertanian meliputi suhu baja, cahaya matahari, kelembapan udara serta kelembapan tanah secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:40 AM