Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mengambil kira pelbagai aspek dan situasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalas tanggungjawab besar memastikan matlamat dan agenda pendidikan negara dilestarikan.

Penularan pandemik Covid-19 juga menjadi cabaran utama kepada sistem pendidikan negara apabila pada Mac 2020 pertama kalinya kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sentiasa berusaha dan berikhtiar memastikan PdPR dilaksanakan dengan baik.

Katanya, PdPR perlu disesuaikan dengan keadaan guru dan murid kerana pendidik lebih mengetahui keupayaan anak murid mereka.

"Sejak kali pertama PdPR dilaksana, ia dibuat berdasarkan kesesuaian guru dan murid kerana kita sedar mereka ada kekangan masing-masing.

"Malah, KPM menerima keluhan manual PdPR 2.0 dikatakan mengandungi banyak subjek perlu diikuti pelajar namun manual itu hanya sekadar panduan untuk membolehkan guru melihat keadaan paling optimum bagi membimbing pelajar mereka," katanya.

Beliau berkata, KPM turut menerima banyak pertanyaan mengenai kurikulum, ada yang bertanya mengapa tidak dipendekkan atau dipotong kurikulum serta memberi tumpuan kepada subjek tertentu.

"Ingin saya beri penjelasan di sini secara umumnya kita laksanakan penjajaran kurikulum tahun lalu bagi membolehkan kandungan kurikulum itu disusun kepada tiga komponen utama.

"Tiga komponen itu merangkumi kandungan asas, kandungan tambahan dan kandungan pelengkap bagi membolehkan guru memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) paling sesuai dengan kekangan dihadapi mereka.

"Kita ada kandungan tambahan dan kandungan pelengkap. Selepas guru memastikan murid menguasai kandungan asas, jika ada masa, guru akan beri tumpuan kepada kandungan tambahan dan jika ada masa, guru akan beri tumpuan kandungan pelengkap serta melengkapkan secara keseluruhan," katanya pada sidang media khas secara maya, semalam.

Menurutnya, keberkesanan PdPR semakin meningkat jika dibandingkan dengan tahun lalu ketika awal pengenalan PdPR kerana masih ramai belum dapat menyesuaikan keadaan itu.

Selain kurikulum, KPM terus memberi penekanan terhadap siaran DidikTV di mana rancangan itu disiarkan setiap hari selama 15 jam dengan kandungannya mengikut silibus mata pelajaran manakala slot televisyen pendidikan diteruskan di TV Okey RTM selama dua jam dan di Astro Tutor TV selama empat jam setiap hari.

"Murid yang tidak dapat mengakses internet sekurang-kurangnya ada kaedah lebih (siaran TV pendidikan) dekat pada mereka bagi membolehkan mereka dapat mengikuti pembelajaran dari guru berpengalaman dan mampu menyampaikan konsep dalam kaedah lebih mudah," katanya.

MURID dapat mengikuti pembelajaran melalui saluran DidikTV daripada guru berpengalaman.
MURID dapat mengikuti pembelajaran melalui saluran DidikTV daripada guru berpengalaman.

Radzi berkata, dari segi sokongan untuk guru, murid, ibu bapa dan penjaga, sepanjang tempoh ini dapat dilihat bagaimana guru melalui tempoh sukar dan ada daripada mereka memerlukan sokongan dalam konteks kaunseling dan ini KPM akan turut laksanakan.

"Sebelum ini di setiap sekolah ada pusat kaunseling yang akan membantu murid apabila mereka menghadapi kesukaran, guru juga ada ruang kaunseling jika memerlukan. Selain itu, kita ada konsep bimbingan rakan sebaya dan ini yang banyak membantu kita di sepanjang masa sukar ini.

"Ada ibu bapa membantu sesama sendiri bagi memastikan pendekatan lebih baik dalam pelaksanaan PdPR anak-anak di rumah, begitu juga dalam kalangan pelajar dan kita akan kukuhkan sokongan ini termasuk terus tingkatkan latihan dan kursus (dalam konteks ICT dan pendigitalan) untuk guru," katanya.

Seterusnya, beliau berkata, mengenai inisiatif CERDIK-Projek Rintis Peranti, kumpulan sasarnya kepada 150,000 murid golongan B40 dan untuk makluman inisiatif ini di bawah Yayasan Hasanah di mana murid menerima komputer riba dan akses kepada internet untuk tempoh setahun.

"Perkembangannya setakat ini, 12,887 unit diagihkan kepada 95 sekolah dalam 51 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), 40,290 unit agihan dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun dan agihan 96,823 unit selesai akhir September 2021," katanya.


Ditanya sama ada KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan untuk kembali ke sekolah terlebih dahulu, Radzi berkata, pelajar kelas peperiksaan akan diutamakan untuk pergi ke sekolah (sekiranya KPM membuat keputusan untuk murid kembali ke sekolah) namun ia akan dimaklumkan kemudian berdasarkan situasi semasa pandemik.

Sementara itu, bagi rayuan sekolah khusus, Radzi berkata, semakan keputusan bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) boleh dibuat pada 8 Jun ini.

Pendaftaran kemasukan dalam talian bermula pada 13 Jun bagi sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), manakala 14 Jun membabittkan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Beliau berkata, mengenai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, semua calon akan menduduki peperiksaan itu tahun depan iaitu ujian lisan dan amali Sains dilaksana pada Februari 2022 manakala peperiksaan bertulis bermula Mac 2022.

"Kementerian membuat keputusan ini selepas mengambil kira keadaan semasa dan cabaran perlu dilalui calon SPM 2021 dan pengalaman kita dalam mengurus SPM 2020 membolehkan kita menganjakkan tempoh atau tarikh pelaksanaan SPM 2021 ke tahun depan.

"Kita yakin segala prosesnya dapat berjalan lancar sama seperti kita berjaya laksana SPM 2020," katanya.

Menjawab dakwaan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan kementerian gagal mengurus SPM 2020, Radzi berkata, sebenarnya peperiksaan SPM tahun lalu bukan saja paling mencabar, bahkan paling banyak dilakukan penambahbaikan.

Katanya, dalam sejarah pendidikan negara, belum wujud garis panduan untuk melaksanakan peperiksaan awam seperti SPM dalam tempoh pandemik.

"Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga menggubal prosedur operasi standard (SOP) yang cukup lengkap, antaranya meningkatkan jarak antara meja kepada 1.5 meter berbanding 0.8 meter sebelum itu.

"Jika ada calon yang batuk atau demam, kita asingkan mereka di bilik khas walaupun belum tentu mereka positif Covid-19.

"Bilik khas ini menempatkan tiga ke empat orang saja untuk mengurangkan gangguan kepada calon lain yang menduduki peperiksaan," katanya.

KEBERKESANAN PdPR semakin meningkat berbanding dengan tahun lalu.
KEBERKESANAN PdPR semakin meningkat berbanding dengan tahun lalu.

Radzi berkata, jumlah petugas ditingkatkan melebihi 48,000 di seluruh negara untuk memastikan SPM 2020 dilaksana dengan lancar.

Beliau berkata, buat kali pertama juga proses semakan kertas jawapan SPM 2020 dibuat secara dalam talian dan ia bukan mudah kerana lima juta kertas jawapan perlu diimbas untuk tujuan itu.

"Walaupun SPM 2020 dibuat dalam dua sesi untuk memenuhi keperluan calon yang terpaksa dikuarantin, keputusannya dikeluarkan lebih awal berbanding tahun sebelumnya dan boleh disemak secara dalam talian.

"Malah, jika sebelum ini sijil SPM dicetak ambil masa lima ke enam bulan dan kita mencetaknya hanya dalam tempoh sebulan," katanya.

Pada sidang media sama, KPM turut memaklumkan murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya.

Selepas habis sesi cuti pertengahan penggal terbabit, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi yang ada pada waktu itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:31 AM