HASNOL (kiri) menunjukkan antara barangan yang berada di Pantri Food Bank Siswa di Politeknik Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
HASNOL (kiri) menunjukkan antara barangan yang berada di Pantri Food Bank Siswa di Politeknik Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


SEHINGGA Januari lalu, seramai 622,726 isi rumah sudah mendapat manfaat daripada Program Food Bank Malaysia (PFBM) yang diperkenalkan pada 2018.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ia secara tidak langsung berjaya menyelamatkan 2.3 metrik tan lebihan makanan.

“Program ini akan dilaksanakan secara berterusan supaya lebih ramai dapat manfaat.

“Malah, kerajaan juga sudah memutuskan untuk meluaskan program ini di seluruh Universiti Awam (UA) yang dikendalikan kementerian ini.

“Sehingga Februari, program ini sudah diperluaskan ke 24 UA dan dimanfaatkan 12,551 penuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa peringkat Negeri Sembilan di Politeknik Port Dickson, di sini.

Turut hadir, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, TS Zainab Ahmad dan Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya.

Hasnol berkata, Politeknik Port Dickson adalah politeknik ketiga yang melaksanakan program Food Bank Siswa tahun ini.

“Difahamkan terdapat 300 penuntut yang sudah dikenal pasti dan layak menerima bantuan.

“Program ini akan digerakkan Majlis Perwakilan Pelajar yang berkonsepkan ‘Food Pantry’ (pantri makanan),” katanya.

Katanya, pihaknya juga berbesar hati kerana mendapat sumbangan daripada beberapa syarikat antaranya, TF Value Mart, Econsave, 99 Speed Mart dan Petron Malaysia Refining.

“Sumbangan mereka amat besar nilainya kerana dapat membantu penuntut kurang kemampuan dan mereka tidak perlu ‘berlapar’ lagi.

“Kami berharap penggerak mahasiswa yang menyelia Food Bank Siswa lebih proaktif bagi memastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Program Food Bank Malaysia dilancarkan pada 22 Disember 2018, bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain mengurangkan pembaziran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 3:12 PM