AB Basir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd  Ilham. FOTO Mohd Rafi Mamat
AB Basir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Ilham. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Jabatan Penjara Negeri Pahang akan membuka ladang kelapa sawit seluas 32 hektar yang digunakan untuk melatih serta membimbing banduan dalam bidang pengurusan ladang selainmenjadi kerjaya baharu selepas dibebaskan.

Pengarahnya Datuk Ab Basir Mohamad berkata, pembukaan ladang berkenaan akan dimulakan awal tahun depan di belakang Penjara Penor, Kuantan.

Menurutnya, turut akan dibangunkan tahun depan ialah ladang seluas 8.1 hektar yang turut dijadikan pusat latihan kepada banduan yang meminati pertanian.

"Kita mahu melatih dan mendedahkan banduan dalam pengurusan ladang kelapa sawit bermula daripada peringkat tapak semaian atau nurseri sehinggalah menjual hasil. Selain itu aktiviti menanam tanaman kontan seperti cili dan jagung turut dilakukan sementara menunggu hasil utama keluar.

"Projek tanaman kelapa diusahakan kerana ia mendapat permintaan tinggi. Buah kelapa boleh dijual terus selain dihasilkan santan. Ia memberikan kemahiran kepada banduan untuk digunakan selepas dibebaskan," katanya selepas menerima kunjungan hormat Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Profesor Dr Mohd Ilham Adenan ke Penjara Bentong, semalam.

Hadir sama Pengarah Penjara Bentong Datuk Abu Hasan Hussain.

Ab Basir berkata, ladang terbabit akan diusahakan sendiri oleh banduan dengan bimbingan pegawai penjara dan rakan strategik seperti Felda, Felcra Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Katanya, jabatan akan mendapatkan khidmat nasihat dan teknikal daripada pihak UiTM Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tanaman kelapa sawit dan kelapa.

Sementara itu, Mohd Ilham berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penjara Negeri Pahang dalam usaha agensi berkenaan memulakan projek ladang kelapa sawit dan kelapa.

Katanya, selain khidmat nasihat dan teknikal serta aspek pengurusan ladang, sistem wakaf sawit juga boleh dipraktikkan di kawasan ladang berkenaan.

"Kita boleh wujudkan satu sistem wakaf sawit bermaksud orang ramai boleh beramal dengan mewakafkan pokok berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 11:14 AM