MENTERI Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Charin (kiri) pada Majlis Ramah Mesra Bersama ODS sempena program khidmat masyarakat di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat
MENTERI Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Charin (kiri) pada Majlis Ramah Mesra Bersama ODS sempena program khidmat masyarakat di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

JABATAN Penjara Malaysia (JPM) Pahang berusaha memberi lebih banyak latihan kemahiran kepada banduan sebagai persiapan untuk mereka berdikari selepas dibebaskan.

Timbalan Pengarahnya, Charin Promwichit berkata, kini terdapat lebih 15 latihan kemahiran disediakan kepada banduan di Penjara Bentong, Penjara Penor dan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 di Kuantan.

Katanya, antara latihan disediakan ialah pertanian, kraftangan, jahitan, bengkel besi, ternakan ikan air tawar, dobi, tenun Pahang Diraja, membuat sabun, urutan tapak kaki dan ukiran kayu.

Menurutnya, terbaharu Penjara Penor menyediakan latihan dalam bidang perladangan kelapa sawit.

Banduan menjalani latihan bermula di peringkat pembukaan ladang, menanam, memungut hasil, membuang pelepah, membaja, mengangkut buah dan menjual hasil.

"Ladang kelapa sawit milik Penjara Penor seluas 3.6 hektar, di sini digunakan sepenuhnya untuk banduan mengikuti latihan berkenaan setiap bulan.

"Kita juga turut mengadakan latihan mengendalikan jentera jengkaut dengan sokongan agensi berkaitan yang melayakan mereka memiliki lesen," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa kursus yang ditawarkan kepada banduan melayakan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua yang dapat menjadi sokongan bagi mendapatkan pekerjaan sesuai selepas dibebaskan.

Charin berkata, di PRP Kem Batu 10 latihan penyediaan sos dan kicap disediakan kepada Orang Diselia (ODS) selain kebun sayur, memotong rumput, urutan tapak kaki dan jahitan.

Katanya, matlamat utama latihan kemahiran diberikan kepada banduan dan ODS ialah bagi memastikan mereka bersedia menjalani kehidupan yang sempurna dan terjamin dengan memiliki pekerjaan apabila dibebaskan.

"Kemahiran yang dimiliki turut memberi peluang kepada golongan terbabit menceburi bidang perniagaan makanan, pembuatan dan perkhidmatan dengan pendapatan lumayan.

"Justeru saya juga menyarankan kepada ahli keluarga supaya dapat memberi sepenuh sokongan dalam memastikan banduan berjaya mengikuti latihan disediakan pihak penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 11:38 AM