GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan kawasan tanaman kelapa, termasuk benih kelapa, seluas 1,325 hektar menjelang 2027 bagi memenuhi keperluan kelapa negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pembukaan lebih banyak ladang kelapa dan benih tanaman itu sekali gus akan mengekalkan Johor sebagai pengeluar utama kelapa negara.

Katanya, Johor mengunjurkan pengeluaran sebanyak 124,313 tan metrik kelapa setahun dengan langkah peluasan kawasan ladang kelapa di negeri ini.

"Selain pengeluar terbesar kelapa negara, Johor juga adalah pengeluar benih kelapa utama negara. Namun keperluan benih kelapa setahun dianggarkan lebih besar iaitu 53,000 benih kelapa.

"Ia tidak mencukupi kerana kemampuan pengeluaran benih kelapa yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah sekitar 28,000 benih kelapa setahun.

"Oleh itu, kerajaan negeri sudah merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan lagi pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Masai, Parit Botak, Batu Pahat di bawah kelolaan Jabatan Pertanian," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) mengenai inisiatif kerajaan negeri untuk membantu peladang dalam usaha meningkatkan kembali penanaman pokok kelapa yang semakin kurang di Johor.

Mengulas berkaitan ladang kelapa di Johor, Zahari yang juga Adun Buloh Kasap berkata, untuk rekod, keluaran tanaman kelapa di negeri ini adalah seluas 12,151 hektar membabitkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran 118,278 tan metrik pada tahun lalu.

Katanya, jumlah keluaran ini adalah melebihi anggaran keperluan permintaan kelapa di negeri ini iaitu kira-kira 105,000 tan metrik setahun.

"Bagaimanapun, merujuk kepada kadar sara diri negara, iaitu dengan kadar 66.6 peratus, ia menunjukkan kekurangan kelapa yang sangat ketara di seluruh negara.

"Oleh, sebagai pengeluar utama kelapa negara, Johor mensasarkan keluaran kelapa yang lebih besar dari semasa ke semasa, maka kerajaan negeri merancang memberi fokus kepada tanaman ini.

"Bagi menampung keperluan itu dan mengatasi isu tanaman kelapa yang rosak, kekurangan nutrein, masalah iklim, diserang penyakit dan lain-lain masalah global, tambahan baru kawasan kelapa dan tanaman semula kawasan kelapa yang diperlukan ialah sekitar 2,650 hektar," katanya.

Beliau berkata, tahun ini, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan RM500,000 terhadap program pemulihan dan tanam semula kelapa di Johor membabitkan kawasan seluas 463 hektar.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM400,000 terhadap program pemulihan dan tanam semula kelapa negeri membabitkan kawasan seluas 96 hektar.

Katanya, bagi menyokong aktiviti penanaman kelapa, kerajaan negeri menggalakkan setiap permohonan tanah kerajaan untuk mengusahakan tanaman untuk pertanian bagi menggalakkan penanaman kelapa.

"Kelapa adalah antara tanaman utama di Johor, terutamanya di Batu Pahat, Pontian dan Muar. Kawasan kelapa baru turut diwujudkan di kawasan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) Kota Tinggi dan Projek Pertanian Moden Kluang.

"Program menggalakkan rakyat untuk menanam kelapa juga diwujudkan melalui program bantuan benih-benih kelapa, bagi meningkatkan lagi keluasan tanaman dan seterusnya meningkatkan pengeluaran kelapa.

"Jabatan Pertanian akan terus menggalakkan pekebun kecil memajukan tanaman kelapa dengan cara menanam semula kawasan kelapa tua dengan memperkenalkan klon baru yang bermutu tinggi seperti kelapa matang dan kelapa pandan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:48 PM