FAHMI melihat pokok hiasan komersial tampak menarik dalam kotak tanaman.
FAHMI melihat pokok hiasan komersial tampak menarik dalam kotak tanaman.
Nurul Husna Mahmud


PERSEKITARAN rumah yang redup selalu dibayangi dengan laman yang memiliki tanaman hiasan merimbun dan pokok menjulang tinggi.

Hakikatnya untuk memiliki persekitaran redup ia adalah satu perkara subjektif apabila turut dizahirkan dengan persekitaran yang mendamaikan.

Menurut Pengurus Lapangan Florafame, Fahmi Hilme, pentingnya dalam menata hias laman adalah pemilihan tanaman yang sesuai selain penggunaan 'base' mengikut konsep rumah pemilik.

"Sebelum hasilkan 'shade' (pohon teduhan) dalam laman rumah, perlu teliti saiz laman dan bajet terlebih dahulu bagi menentukan konsep hiasan landskap termasuk jenis tanaman hiasan bakal menghiasi ruang luar terbabit.

"Tidak dinafikan ramai pemilik mahu menata hias laman bagi mencantikkan dan menyejukkan persekitaran, tetapi perlu meneliti ruang laman mereka terlebih dahulu.

"Antara diambil kira adalah kedudukan menempatkan pokok dan hiasan tanaman perlu kawasan terdedah kepada cahaya matahari," katanya.

Kata Fahmi lagi, sebaik keluasan ruang dikenal pasti, beberapa aspek diteliti antaranya kedudukan ruang penataan perlu terdedah kepada cahaya matahari bagi memastikan tanaman hiasan dapat bertumbuh dengan baik.

"Keluasan ruang laman diteliti memastikan tanaman hiasan baik jenis berdaun mahupun berbunga mendapatkan cahaya matahari mencukupi iaitu kira-kira tiga hingga enam jam sehari.

"Bagi kami yang melakukan kerja menghias landskap turut meneliti medium atau tanah sama ada sesuai untuk tanaman.

"Masalah yang kerap kami temui adalah kes tanah 'mati' merujuk keadaan tanah yang tidak subur dan tidak sesuai untuk kerja menanam," katanya.

Tambah Fahmi, penyelesaian bagi ruang tanah yang terhad, pemilik laman masih boleh menikmati landskap menarik menerusi konsep tanaman berpasu.

"Menjadi trend ketika ini apabila pemilik laman boleh menikmati persekitaran

POKOK hiasan heliconia tampak menonjol apabila tersusun.
POKOK hiasan heliconia tampak menonjol apabila tersusun.

redup dengan konsep dekorasi laman menggunakan pasu atau kotak tanaman.

"Kotak tanaman lebih ideal terutama peminat tanaman tinggi dan rimbun berbanding pasu kerana komposisi tanah mencukupi untuk pokok terus hidup.

"Malah, dalam kotak tanaman, pokok lebih mudah diselenggara dan ia satu kaedah menjimatkan berbanding pokok komersial ditanam tanah untuk tempoh panjang," katanya.

Sementara itu, pereka dan penghias landskap, Isanul Ilham Murat berkata, konsep menghias laman dengan tanaman dalam kotak tanaman semakin diterima baik.

"Kotak tanaman menjadi konsep diketengahkan kebanyakan pereka landskap kerana mudah diselenggara dan lebih kemas.

"Malah, ia mampu menampung pertumbuhan pokok yang besar dan merimbun terutama pokok hutan yang dikomersialkan sebagai tanaman hiasan.

SUSUN atur pokok penting dalam menghasilkan reka bentuk.
SUSUN atur pokok penting dalam menghasilkan reka bentuk.

"Spesies pokok hiasan popular jenis tropika seperti heliconia atau pokok sepit udang, Thaumatococcus danielli (pokok panjat doa) dan ketapang antara tanaman yang boleh menonjol menerusi kaedah ini," katanya.

Penggunaan kotak tanaman juga memudahkan proses menata hias dan susun atur tanaman yang mana juga penting dalam memastikan kelangsungan pokok.

"Banyak kelebihan apabila menanam pokok hiasan dalam kotak tanaman. Pokok perlu penjarakan dan dalam proses membesar itu akar juga membesar.

"Itu antara punca pokok terbantut dan akar pokok boleh merosakkan struktur rumah. Tetapi, dengan kotak tanaman, pemilik laman kurang berisiko menghadapi permasalahan berkaitan kerana direka khusus untuk menampung saiz tanaman yang lebih besar.

ANTARA konsep unik boleh dilihat pada laman dirias menggunakan kotak tanaman.
ANTARA konsep unik boleh dilihat pada laman dirias menggunakan kotak tanaman.

"Namun, ada pro dan kontra tanaman yang ditanam dalam kotak tanaman iaitu perlu disiram secara konsisten.

"Terutama di awal tanaman dialih ke laman baharu bagi mengelak kejutan yang boleh menjejaskan kesihatan tanaman hiasan," katanya.

Bagi pemilik baharu atau yang tidak berpengalaman, Isanul berkata, keadaan pokok hiasan yang terjejas boleh dilihat berdasarkan daun lebih banyak gugur dan kekuningan.

"Jika pokok yang ditanam dalam kotak tanaman berada dalam keadaan tidak sihat lebih mudah dipantau.

"Biasanya pemilik laman boleh lihat perubahan pokok yang tidak serasi dalam persekitaran baharu dalam tempoh seawal tiga minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 7:01 AM