AHMAD Zahid dan Mustapa melawat gerai pameran.
AHMAD Zahid dan Mustapa melawat gerai pameran.
Mohamad Hussin

Malaysia terus menerajui pasaran halal global dengan penganjuran Halal Fiesta Asean (Halfest Asean 2017) membabitkan lebih 550 pempamer, 150,000 produk dan perkhidmatan inovatif dan berkualiti.

Halfest Asean 2017 adalah acara tahunan yang diadakan sejak enam tahun lalu anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan industri halal juga dijangka menyumbang kepada pencapaian program aspirasi ikonik negara.

Beliau berkata, ia seperti program Transformasi Negara 2050 (TN50), Industri 4.0, Ekonomi RM2 trilion, Agenda Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Ekonomi Digital.

“Agenda halal sangat relevan bagi program TN50 yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia antara negara yang terbaik di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan inovasi.

“Selain itu, aspek kebolehpasaran produk halal perlu diberikan perhatian supaya ia tidak dianggap produk sekunder sebaliknya di tahap yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Halfest Asean 2017 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Pengerusi HDC, Datuk Seri Rizuan Abdul Hamid.

Ahmad Zahid berkata, dengan kualiti dan penjenamaan yang baik serta strategi pemasaran dan pengiklanan berkesan, produk halal akan sentiasa berada di suatu penanda aras yang tinggi.

“Halal bukan hanya logo. Halal bukan hanya produk makanan. Apabila kita memperkatakan berkenaan halal, kita harus melihat kebolehpasaran produk halal kita. Bagaimana keupayaan harus dikembangkan.

“Bagaimana pembungkusan, penjenamaan, ‘peletakhargaan’ dan keberkesanan strategi harus dilakukan supaya produk halal ini tidak dianggap sebagai produk sekunder, malah dengan elemen yang saya sebutkan, produk halal akan berada di tahap tinggi,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, ekspo ini menyediakan perspektif halal yang lebih transformasi, merentasi ekonomi halal itu sendiri serta sebagai trending gaya hidup bagi mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Nilai-nilai yang dipromosikan oleh halal adalah sejagat dan mencetuskan minat masyarakat antarabangsa sejak bertahun dulu.

“Halal kini menjadi fenomena global dan Malaysia memainkan peranan utama dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik berkenaan kuasa ekonomi baru ini,” katanya.

SARIAH (tengah) bersama pengunjung yang hadir ke gerai Permata Delima.
SARIAH (tengah) bersama pengunjung yang hadir ke gerai Permata Delima.

Seorang usahawan yang menyertai Halfest Asean 2017, Sariah Mad Dalip berkata, program ini perlu diteruskan kerana ia memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk halal mereka.

Pengasas syarikat Sazin Healthcare Sdn Bhd yang menjual produk Permata Delima itu berkata, sebagai Muslim mencari yang halal itu sebahagian tuntutan fardhu kifayah yang perlu diperjuangkan secara bersepadu, berterusan dan bersungguh-sungguh.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk Permata Delima boleh melayari Facebook menerusi Permata Delima Malaysia atau laman web di www.permatadelima.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 2:27 PM