Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Kajian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mendapati pengeluar produk halal dalam kalangan muslim Bumiputera hanya sembilan peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluar dan bagi mengatasi masalah ini, Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) diperkenalkan pada 2011.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata, HBT diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui 'Halal Industry Development Corporation' (HDC).

"Penyertaan syarikat dalam HBT meningkat daripada 149 pada 2011 kepada 1,680 syarikat ketika ini. Daripada jumlah itu, 1,268 atau 75.5 peratus adalah syarikat milikan Bumiputera.

"Program ini berjaya membantu syarikat halal berkenaan menjana jualan melebihi RM1.51 bilion atau kira-kira RM500 juta setahun sejak 2011 hingga 2014," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Hamim, HDC juga bekerjasama dengan agensi pelaksana pembangunan usahawan bagi menarik lebih ramai peserta tempatan dalam industri halal.

Hamim berkata, HDC membantu mewujudkan akses ke pasaran global menerusi kerjasama dengan pasar raya seperti TESCO, GIANT, AEON dan lain-lain.

"Pada 2014, daripada 306 syarikat halal yang menyertai sesi padanan perniagaan, 186 daripadanya dikenal pasti berpotensi untuk menjadi pembekal produk halal kepada pasar raya besar.

"Pada masa sama, bagi membantu usahawan Bumiputera menubuhkan kilang dalam bidang produk halal ini, HDC akan bekerjasama dengan Universiti Awam bagi menghasilkan produk baru berasaskan inovasi seperti farmaseutikal serta kosmetik kerana ia bernilai tinggi," katanya.

Selain itu, menurut Hamim, usaha menarik pelabur asing untuk membina kilang pengeluaran produk halal juga mendapat perhatian daripada kerajaan.

Katanya, Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menggalakkan pembangunan taman industri halal.

"Pembangunan taman industri halal memudahkan pelabur menubuhkan kilang. Pada masa sama, audit juga boleh dijalankan untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 6:22 PM