FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Ramadan adalah satu daripada 12 bulan dalam Islam dan yang paling istimewa dengan Allah memberikan banyak ganjaran serta kelebihan di dalamnya. Satu daripada keistimewaan pada Ramadan ialah terdapat satu kefarduan iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Sebagai Muslim, membayar zakat fitrah adalah amalan yang wajib dilaksanakan untuk menyucikan hati, jiwa dan menjaga keseimbangan sosial antara masyarakat. Dalam artikel kali ini, kita akan membahaskan mengenai beberapa kelebihan menunaikan zakat fitrah.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengeluarkan zakat fitrah, antaranya, pertama, mendekatkan diri dengan Allah SWT. Berzakat tidak akan merugikan sesiapa, apabila kita memberi dengan ikhlas atas harta yang kita miliki, Allah SWT akan memberikan keberkatan dalam hidup baik di dunia mahupun akhirat. Mengeluarkan zakat fitrah mendekatkan diri kepada Allah SWT dan boleh diiktibarkan sebagaimana hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Dua malaikat turun setiap pagi. Yang satu berkata: 'Ya Allah, berikanlah orang yang mengeluarkan sesuatu sebagai ganti daripada yang dia keluarkan'. Dan yang lainnya berkata: 'Ya Allah, berikan penghancuran kepada orang yang kikir.'"

Kelebihan yang kedua adalah menyucikan kekayaan dan mempertingkatkan keimanan. Hal ini seperti definisi zakat itu sendiri iaitu suci dan berkembang. Menyucikan kekayaan di sini bukanlah bermaksud kita perlu mencuci wang mahupun syiling secara fizikal, namun menyucikan itu boleh dikatakan menghilangkan rasa kedekut dan keserabutan yang berada dalam diri kita. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud: "Berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman dalam kalangan kamu dan membelanjakan (harta benda), mereka mendapat pahala yang besar." Setelah harta disucikan, kita akan berasakan ketenangan apabila memenuhi hak Allah. Setiap harta kurniaan Allah SWT bukanlah diperoleh kerana kehebatan kita, namun kerana izin yang dikurniakan Allah SWT.

Seterusnya, kelebihan yang ketiga adalah khidmat sosial komuniti. Bagi orang Islam yang konsiten melakukan pembayaran zakat, kita telah melaksanakan suatu tindakan terpuji dan sebenarnya telah menolong golongan yang sangat memerlukan. Dengan hasil wang zakat yang dibayar oleh umat Islam, terdapat kehidupan orang lain yang berubah kepada lebih baik hasil daripadanya. Hasil kutipan zakat fitrah ini dapat membantu orang yang memerlukan daripada sudut penyediaan makanan, modal perniagaan, menyara diri, menuntut ilmu dan sebagainya. Apabila berlakunya perubahan hidup seseorang individu maka hidup setiap masyarakat juga akan berubah kerana individu adalah sebahagian daripada kolektif masyarakat. Individu yang baik akan membawa kepada perubahan komuniti yang baik.

Selain itu, antara kelebihan mengeluarkan zakat fitrah yang keempat adalah diampuni dosa. Hal ini seperti dalam Surah al-Maidah ayat 12 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Allah mengambil perjanjian setia daripada Bani Israel dan Kami utuskan dalam kalangan mereka 12 pemimpin serta Allah berfirman: 'Sesungguhnya Aku bersama kamu. Sesungguhnya jika kamu mengerjakan solat, menunaikan zakat, beriman dengan rasul-Ku, membantu mereka dan kamu berikan Allah pinjaman yang baik (dengan bersedekah serta berbuat baik pada jalan-Nya) sudah pasti Aku akan ampunkan kesalahan kamu dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Maka sesiapa yang kufur antara kamu selepas itu, sesungguhnya dia telah sesat daripada jalan yang benar.'"

Dengan ayat ini, Allah SWT menjanjikan keampunan dosa bagi orang yang membayar zakat sekali gus menjanjikan jaminan syurga.

Kesimpulannya, mengeluarkan zakat fitrah ini bukanlah sesuatu perbuatan yang akan merugikan pengeluarnya seperti jika kita fikirkan secara logika, sesuatu harta dikeluarkan maka ia akan berkurang. Namun Allah SWT menjanjikan pelbagai ganjaran bagi orang yang berjaya mengeluarkan zakat. Marilah kita mengambil kesempatan menunaikan kewajipan zakat fitrah ini kerana ia adalah suatu fardu yang hanya ditunaikan pada Ramadan sahaja.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:00 AM