FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhamad Khairi Asyraf Basri

 

Melayu daripada Bani Keturah bukanlah suatu dakwaan baharu. Sebaliknya dakwaan sebegini sudah lama berlegar dalam blog Teori Konspirasi beberapa tahun dahulu. Naratif penulisan sebegini terdapat di dalam blog berbahasa Melayu mahupun bahasa Indonesia. Dakwaan itu kini dihidupkan semula apabila naratif ini menjadi bahan cerita oleh beberapa penceramah dan tular melalui platform media sosial yang lebih interaktif.

Bagi mencari kebenaran, setiap dakwaan akan dinilai terlebih dahulu. Sesuatu penilaian semula dilakukan bukanlah kerana tidak menghormati pandangan orang, melanggar adab, mencari-cari kesalahan, menyerang atau menjatuhkan peribadi mana-mana pihak. Penilaian semula ini adalah prosedur lumrah dalam dunia kajian akademik. Ia dilakukan secara objektif, bukan kerana sebab bersifat peribadi. Ia bertujuan untuk menyaring dapatan sejarah yang paling kukuh hujahnya. Andaian yang lemah akan tertolak jika datang hujah yang kuat.

Untuk itu, perkara paling asas dalam menilai dapatan sejarah adalah dengan melakukan kajian sumber serta tapisan terhadapnya mengikut pelbagai jenis metodologi. Dalam disiplin ilmu sejarah, kajiannya boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah terhadap sumber primer atau sekunder. Secara falsafah, sesuatu dakwaan sejarah boleh dinilai secara epistemologi. Pertama, daripada sumber empirikal seperti arkeologi, pentarikhan karbon, kajian DNA dan sebagainya. Kedua, daripada sumber rasional seperti susunan kronologi, rujukan silang, menafsir penemuan, gagasan teori dan sebagainya.

Istimewa bagi umat Islam, kita memiliki wahyu iaitu al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan tertinggi.

Daripada sudut bukti empirikal, kita tidak dapat menemui jejak kewujudan Keturah ini. Sumber asal kisah Keturah ini hanya datang daripada Bible sebagai sumber tunggal. Book of Genesis (25:1-6) dalam Bible menceritakan bahawa Nabi Ibrahim mengahwini Keturah dan dikurniakan enam anak iaitu Zimran, Jokshan, Medan, Madyan (induk kaum Nabi Syuib), Ishbak dan Shuah. Keturunan Keturah ini dihantarkan ke timur. Nama-nama keturunan Keturah ini sekali lagi diulang sebut dalam Book of Chronicles I (1:32-33).

Kisah Keturah ini juga ada disebut dalam tradisi Yahudi melalui kitab Talmud, Midrash, Aggadah, Targum serta penulisan ilmuwan Yahudi lain. Sebahagian ilmuwan Yahudi berpandangan bahawa Keturah itu adalah orang yang sama dengan Hajar, manakala sebahagian yang lain berpandangan mereka adalah orang berbeza.

Book of Jubilee (20 : 1&11-13) pula mengisyaratkan bahawa Keturah dan Hajar memang orang yang berbeza serta keturunan mereka bertebaran ke timur sehingga sampai ke Babylon. Namun, Book of Jubilee ini berstatus 'Apocryphal' iaitu buku yang tidak diiktiraf sebagai pegangan rasmi bagi majoriti orang Yahudi dan Kristian sama ada yang bermazhab Protestant, Katolik mahupun sebahagian besar Ortodoks. Hanya orang Yahudi Ethiopia (Beta Israel) dan Kristian Mazhab Ortodoks Tewahedo Ethiopia sahaja yang mengiktiraf buku ini sebagai pegangan rasmi.

Walau apa pun perselisihan pegangan sesama mereka itu, yang jelas adalah segala riwayat daripada tradisi Judeo-Christian (Ahli Kitab) akan disebut sebagai Israeliyyat dalam tradisi keilmuan Islam. Dalam menapis sumber Israeliyyat, tradisi Islam menilai daripada tiga keadaan. Jika riwayat Israeliyyat itu selari dengan al-Quran dan hadis, maka ia boleh diterima. Jika bertentangan, ia tertolak. Jika tidak dinyatakan sama ada selari atau bertentangan, maka tawaquf.

Tapisan sumber daripada tinjauan al-Quran jelas menunjukkan tidak ada penyebutan nama mahupun kisah hidup Keturah dalam mana-mana surah. Namun, kita mungkin boleh menemui kisah Keturah dalam kitab Tafsir al-Quran atau kitab tarikh. Ini tidaklah menghairankan kerana memang sebahagian ulama mengambil riwayat Israeliyyat sebagai maklumat tambahan dalam karya mereka selagi ia tidak menyentuh akidah dan syariat.

Bahkan dalam kitab tarikh, selain Sarah, Hajar dan Keturah, Nabi Ibrahim dikatakan memiliki seorang lagi isteri bernama Hajun. Sebahagian ulama Islam memperincikan bahawa Keturah ini berasal dari suku orang Kanaan atau orang Arab kuno. Tradisi Yahudi juga ada mengisyaratkan Keturah ini orang Semitik yang dikatakan daripada keturunan Sam bin Nuh selain pandangan lain dalam tradisi Yahudi mengatakan Keturah daripada keturunan Yafits bin Nuh.

Tapisan sumber daripada tinjauan hadis pula menunjukkan penyebutan yang paling hampir dengan nama Keturah adalah mengenai hadis Bani Qantura'. Hadis riwayat Abi Bakrah yang direkodkan oleh al-Tayalisi, Ahmad, Abu Daud dan Ibn Hibban itu berstatus hasan. Namun, matan hadis berkenaan Bani Qantura' ini mirip dengan hadis berkenaan ciri fizikal bangsa Turk. Jadi, ulama berkesimpulan bahawa Bani Qantura' itu adalah bangsa Turk. Jika Qantura' itu adalah Keturah, ini bermakna Keturah memiliki perkaitan dengan bangsa Turk apabila bangsa Turk ini juga dikatakan keturunan Yafits bin Nuh.

Begitulah perbahasan mengenai kewujudan Keturah. Fasa seterusnya adalah perbahasan mengenai perkaitan Keturah dengan alam Melayu pula. Diutarakan dakwaan bahawa orang Melayu adalah keturunan Nabi Ibrahim daripada jalur Keturah, bahkan Keturah dikatakan berasal daripada kerajaan Melayu Champa sehinggakan terdapat satu penempatan bernama Kauthara di Champa (Vietnam kini) bersempena nama Keturah.

Dakwaan Melayu daripada Keturah ini tidak dapat dibuktikan secara empirikal. Sumber wahyu sama ada al-Quran mahupun hadis juga secara jelas langsung tidak menyebut naratif perkaitan Keturah dan alam Melayu ini. Bahkan, catatan tradisi masyarakat Melayu silam sendiri pun tidak pernah menceritakan naratif ini walau dalam bentuk hikayat sekalipun. Satu-satunya cara menilai dakwaan ini hanyalah melalui analisis rasional.

Pertama, sumber tunggal hanya mengatakan keturunan Keturah dihantar ke timur, bukan Keturah berasal dari timur. Keturah sememangnya orang asal sekitar Kanaan. Kedua, mengaitkan timur di sini sebagai alam Melayu adalah falasi dalam mantiq kerana arah timur itu luas cakupannya, tidak semestinya alam Melayu sahaja.

Ketiga, mengaitkan Kauthara dengan Keturah hanya kerana bunyi perkataannya hampir sama juga adalah satu bias kognitif. Secara linguistik, Kauthara dan Keturah tidak memiliki perkaitan antara satu sama lain. Namun, seandainya mahu menutup juga sebelah mata terhadap tiga hujah ini, ketahuilah garis masa kewujudan kerajaan Melayu Champa adalah ribuan tahun selepas zaman Nabi Ibrahim. Percanggahan daripada sudut garis masa ini menjadi faktor penolakan terbesar memandangkan kronologi adalah tulang belakang bagi disiplin ilmu sejarah.

Genre sejarah Melayu kini memang diminati ramai. Sebelum ini, dek fahaman politik kepartian yang sempit, topik yang menyentuh perihal bangsa Melayu ini adalah suatu tabu dan akan dilabel sebagai assabiah, nasionalis-sekular dan sebagainya sehingga sindrom inferiority complex begitu menebal dalam masyarakat.

Respons terhadap fenomena itu, muncul pula golongan yang membina naratif romantisma dan pseudo-sejarah kononnya bagi menaikkan jati diri bangsa. Maka wujudlah pelbagai dakwaan dan ramalan akhir zaman seperti Melayu daripada keturunan Keturah, suku Israel yang hilang, Bani Tamim, pembawa panji hitam dari timur dan sebagainya. Cerita sebegini memang sedap didengar sehingga tular dan ditelan terus tanpa tapisan oleh masyarakat awam. Namun, hakikatnya, dakwaan tanpa didasari disiplin ilmu ini akan menjadi racun toksik dan barah dalam pemikiran masyarakat kelak.

Tamadun Melayu memiliki pelbagai kehebatan yang sememangnya terbukti secara sejarah. Maka tidak perlu lagi mengangkat dakwaan tidak berasas untuk membuktikan kehebatan Melayu. Ketahuilah, orang yang meromantiskan sejarah, hanya akan melahirkan semangat palsu. Mereka akan hanyut dibuai dengan kepalsuan ini sehingga tidak dapat mengambil pelajaran daripada kisah silam dan terleka pula daripada membina kebangkitan hakiki untuk masa hadapan.

 

Penulis Exco Media Strategik Ikatan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 7:00 AM