TRADISI pengajian Islam melalui periwayatan secara bersanad perlu terus dikekalkan.
TRADISI pengajian Islam melalui periwayatan secara bersanad perlu terus dikekalkan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

DALAM sistem pengajian Islam era moden, seseorang pelajar biasanya melalui tempoh pembelajaran tertentu di sebuah institusi pendidikan. Setelah tamat, ia akan memperoleh sekeping sijil sebagai tanda kelulusan daripada institusi berkenaan.

Sijil ini adalah bukti tahap keilmuan yang diperolehnya. Namun begitu, tiada nama guru yang dicatatkan di dalam sijil.

Bagaimanapun, dalam sistem pengajian Islam era klasik, tempoh pembelajaran tidak ditetapkan kerana ia bergantung kepada jumlah disiplin ilmu dan kitab yang dikhatamkan.

Jika selesai, pelajar akan diberikan sanad sebagai tanda pertalian dan persambungan ilmu antara guru dengan murid. Sanad ini adalah bukti keizinan untuknya menyampaikan ilmu yang diperoleh. Guru akan mencatatkan namanya berserta nama guru sebelumnya secara bersambung-sambung.

Jika dalam bidang hadis, rantaian sanad akan bersambung kepada kitab hadis yang dikhatamkan dan seterusnya bersambung hingga Nabi SAW.

Sanad ibarat mata rantai menyambungkan antara perawi yang meriwayatkan hadis, daripada perawi terakhir sehingga perawi terawal (sahabat) yang meriwayatkannya daripada Nabi SAW. Sanad hadis adalah ciri istimewa yang khusus bagi umat baginda SAW yang tiada pada umat terdahulu seperti Yahudi, Nasrani dan lainnya. Oleh kerana peri pentingnya, aspek sanad menerima perhatian yang cukup besar daripada ulama.

Dalam tradisi pengajian Islam, periwayatan ilmu secara bersanad terus kekal diamal dan diwariskan. Bagaimanapun, mutakhir ini ada pihak yang mendakwa pengajian bersanad yang wujud kini sudah tidak lagi relevan. Ia sekadar untuk mengambil berkat dan lebih berbentuk tradisi saja. Dakwanya, apabila semua hadis dibukukan maka zaman kepentingan sanad pun berlalu dan tidak lagi menjadi tumpuan utama.

Mereka turut merujuk kepada pendapat Imam Ibn al-Salah: "Bagi mengenal pasti hadis sahih dan hasan maka dalam soal ini hanya perlu merujuk dan berpegang pada sanad direkodkan oleh imam hadis di dalam karya mereka yang muktamad lagi masyhur serta terpelihara isi kandungannya daripada sebarang perubahan dan penyelewengan. Oleh itu, kebanyakan maksud sanad yang disebarkan kemudian adalah terkeluar daripada tujuan berkenaan, iaitu ia sekadar mengekalkan rantaian sanad yang juga ciri khusus bagi umat ini."

Sejauh mana benarnya dakwaan tadi? Ya, walaupun Imam Ibn al-Salah menyatakan tujuan pengajian bersanad hanya untuk mengekalkan rantaian sanad, beliau dan semua ulama selepasnya tidak pun meremehkan tradisi pengajian bersanad. Beliau sendiri pernah mengkhatamkan kitab agung Imam al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra dalam siri pengajian bersanad yang cukup panjang berjumlah sebanyak 757 majlis!

Jika tujuan sanad pada zaman dahulu adalah bagi memastikan kesahihan riwayat sesuatu hadis, namun sistem sanad kemudian berkembang. Hakikatnya, sistem sanad masih relevan kerana beberapa faktor signifikan yang wajar menjadi pendorong tradisi ini perlu terus terus dilaksana dan dipertahankan.

Pertama, ia sebagai satu kemuliaan dan kebanggaan terhadap disiplin ilmu yang bersambung melalui ulama muktabar sampai kepada Nabi SAW. Ia adalah bukti empirik apabila seorang ilmuwan mampu menunjukkan hubungan ilmunya dengan ulama secara autentik dan bersambung hingga sampai kepada sumber aslinya.

Kedua, dapat meneladani tradisi pengajian golongan salafussoleh yang mencontohi kaedah asal penyampaian wahyu al-Quran dan hadis oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya. Ini sesuai dengan satu ungkapan motivasi, 'Jika nak berjaya, tirulah cara orang yang sudah berjaya.'

Ketiga, dapat menghidupkan syiar dalam disiplin agama sebagaimana pengiktirafan ulama terhadap kata-kata Imam Ibn al-Mubarak: "Sanad itu adalah sebahagian daripada agama. Sekiranya tiada sanad, nescaya sesiapa sahaja akan berkata apa yang dia suka."

Keempat, dapat menarik rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT yang adalah satu bentuk manfaat maknawi dan rohani. Oleh kerana ilmu bermanfaat pastinya diberkati dan ilmu yang diberkati pastinya dapat diambil manfaat daripadanya.

Kelima, sebagai satu jalinan dan pertalian yang kukuh terhadap kitab ilmu, umpama hubungan nasab keturunan seseorang dengan nenek moyangnya yang jelas nyata. Oleh itu, pewarisan ilmu agama daripada sumber yang berautoriti pastinya dapat terus terpelihara.

Lebih penting lagi, sanad bukan untuk menyalurkan aspek keilmuan semata-mata, bahkan turut membabitkan aspek kefahaman terhadap ilmu itu sendiri. Justeru, keilmuan dan kefahaman yang sahih dapat disalurkan daripada guru kepada murid secara bersambung daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Jelasnya melalui sistem sanad, disiplin ilmu yang tulen akan dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.

Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:59 AM