GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhamad Khairi Asyraf Basri

Palestin adalah bumi ramai nabi. Begitulah argumen yang umat Islam tegakkan dalam usaha memperjuangkan hak tanah Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel.

Namun bagi orang Yahudi, mereka juga berhujah bahawa sekalian nabi tersebut adalah daripada kalangan Bani Israel, maka sebab itu wilayah itu adalah Tanah Yang Dijanjikan untuk mereka.

Pertikaian 'Religeopolitik' kompleks ini memiliki akar sejarah berunsur keagamaan yang kuat. Sejarah ribuan tahun ini saya cuba ringkaskan.

Secara tradisi, segalanya bermula daripada Nabi Ibrahim selaku Abul Anbiya yang menjadi figura utama agama Islam, Yahudi dan Nasrani. Baginda berasal dari Mesopotamia berhijrah mendiami Kanaan bersama warga asal di sana. Baginda memiliki putera iaitu Nabi Ismail yang diletakkan di Makkah dan Nabi Ishak yang tinggal bersamanya di Kanaan.

Daripada Nabi Ismail lahirnya Penghulu Para Nabi iaitu Nabi Muhammad manakala daripada Nabi Ishak lahirnya Nabi Yaakub. Nabi Yaakub yang digelar Israel ini memiliki 12 anak lelaki dan menjadi asas kepada 12 suku Bani Israel.

Pada zaman Nabi Yusuf, semua keturunan Nabi Yaakub berhijrah pula ke Mesir. Zaman Nabi Musa kemudian membawa semula 12 suku Bani Israel ke tanah Kanaan.

Kemasukan Bani Israel ke tanah Kanaan kali ini mendapat tentangan warga asal di sana. Tentangan ini terus berlaku sehingga ke zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang berketurunan suku Yahuda menjadi raja bagi kerajaan Bani Israel berpusat di Jerusalem.

Pasca zaman Nabi Sulaiman, 10 suku Bani Israel memberontak daripada pemerintahan keturunan Nabi Daud lalu mendirikan kerajaan Israel yang berpusat di Samaria di sebelah wilayah utara.

Hanya 2 suku yang meneruskan pemerintahan keturunan Nabi Daud lalu menamakan kerajaan mereka sebagai Yahuda (Judah) yang tetap berpusat di Jerusalem di wilayah selatan. Kerajaan Israel kemudian dihancurkan oleh empayar Assyria sekitar 720 Sebelum Masihi (SM). Kepupusan kerajaan ini menyebabkan terjadi peristiwa 10 suku Israel yang hilang.

Kerajaan Yahuda juga kemudian dimusnahkan oleh Empayar Babylon pada 586 SM. warga Yahuda dibuang ke Babylon sebelum empayar Parsi datang membawa semula warga Yahuda ke tanah Kanaan pada 538 SM.

Kemudian datang pula empayar Yunani membawa pengaruh yang begitu besar ketika menguasai wilayah Yahuda pada 332 SM. Seterusnya, wilayah Yahuda (Judea) dijajah pula oleh kuasa Romawi.

Bagi kuasa asing, warga Yahuda ini dikenali sebagai bangsa Yahudi (Jews) dan agama mereka juga dikenali sebagai Yahudi (Judaism) memandangkan warga Yahuda ini merupakan kelompok ethnoreligious.

Allah mengutuskan penyelamat untuk orang Yahudi iaitu Nabi Isa al-Masih dengan membawa Injil yang mengandungi berita gembira. Namun mereka menolak kenabian Nabi Isa kerana baginda tidak diiktiraf sebagai keturunan Nabi Daud. Maka setelah itu, empayar Romawi menghancurkan wilayah Yahuda buat kali kedua pada 70M. Orang Yahudi sekali lagi terusir menjadi buangan.

Empayar Romawi menamakan wilayah Yahuda sebagai Syria-Palaestina. Sejak dahulu, Bani Israel sentiasa menumpang hidup dengan warga asal tanah Kanaan. Apabila mereka melakukan penentangan kepada Allah, Allah akan menghantar bangsa asing menjajah wilayah kediaman mereka.

Berita gembira yang dibawa oleh Nabi Isa untuk orang Yahudi adalah mengenai kedatangan nabi akhir zaman. Sejak dahulu kala, orang Yahudi telah menanti kedatangan nabi akhir zaman di suatu tempat yang bakal didiami baginda.

Namun, apabila munculnya nabi akhir zaman berkenaan iaitu Nabi Muhammad, orang Yahudi menolak kenabian baginda memandangkan baginda daripada keturunan Nabi Ismail, bukan daripada kalangan Bani Israel. Malah mereka memberontak terhadap kerajaan Islam yang didirikan oleh baginda di Madinah.

Empayar kerajaan Islam ini kemudiannya menguasai wilayah Syria-Palaestina di bawah kepemimpinan Khalifah Umar sebelum ia dirampas semula oleh empayar Romawi menerusi Perang Salib. Namun, umat Islam berjaya membebaskan kembali Palestin pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan terus berada di bawah payung Khilafah Islam buat waktu yang sangat lama.

Pada 1897, tokoh Yahudi menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa iaitu sebuah pertubuhan nasionalis sekular sebagai wadah perjuangan mendirikan negara Israel. Ketika Perang Dunia Pertama meletus, British dan Perancis mengadakan perjanjian sulit Sykes-Picot 1916 untuk merancang pemecahan wilayah Khilafah Uthmaniyyah.

Setahun kemudian, hasil pakatan Zionis, British, Perancis dan Amerika, terlaksanalah Deklarasi Balfour apabila orang Yahudi dari seluruh dunia masuk mendiami bumi Palestin tatkala Khilafah Uthmaniyyah sedang sibuk digasak dalam peperangan. Apabila Perang Dunia Pertama tamat, Khilafah Uthmaniyyah yang tewas dalam peperangan itu dipecah belahkan wilayahnya. British mentadbir bumi Palestin sehingga Perang Dunia Kedua.

Pasca Perang Dunia Kedua, British mencadangkan pembahagian bumi Palestin untuk didiami oleh orang Arab Palestin dan orang Yahudi. Orang Palestin tidak bersetuju manakala orang Yahudi bersetuju. British seterusnya melaksanakan dasar dekolonisasi lalu berundur daripada mentadbir bumi Palestin. Ketika itulah orang Yahudi merebut kesempatan mengisytiharkan kemerdekaan negara Israel pada 1948 dan disokong Amerika Syarikat.

Hal ni menimbulkan kemarahan negara Arab yang berjiran dengan Palestin lalu mereka melancarkan serangan tehadap Israel. Gabungan tentera Mesir-Jordan-Syria-Lubnan-Iraq yang tidak seragam mengakibatkan mereka tewas di tangan Israel. Israel merampas lebih banyak kawasan Palestin kecuali Gaza yang dikawal Mesir dan Tebing Barat yang dikawal Jordan.

Israel yang dibantu British dan Perancis kemudian menyerang balas Mesir. Pejuang Palestin kemudian menubuhkan gerakan Fatah. Mesir sekali lagi memimpin negara-negara Arab menyerang Israel lalu Fatah yang menjadi anggota gabungan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) bersama kumpulan pejuang yang lain turut serta dalam peperangan ini.

Namun, gabungan ketenteraan ini kalah lalu Israel menguasai Gaza serta merampas wilayah Sinai dari Mesir, Tebing Barat dari Jordan dan Bukit Golan dari Syria.

Israel boleh pulangkan semula wilayah ini dengan syarat perlu ada gencatan senjata dan perjanjian damai apabila kedaulatan Israel diiktiraf negara Arab.

Pertubuhan Pembebasan Palestin ((PLO) yang didominasi Fatah kemudiannya menubuhkan entiti pentadbiran yang diiktiraf oleh Liga Arab sebagai wakil rasmi suara warga Palestin. Israel menyerang PLO-Fatah lalu Iran dan Syria membantu Hizbullah di Lubnan melawan Israel. Orang Palestin turut bangkit melancarkan Intifada melawan Israel lalu lahirnya gerakan Hamas.

PLO-Fatah mengisytiharkan kemerdekaan Palestin dan cuba mendapat pengiktirafan PBB. Melalui Solusi Dua Negara, Israel mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan PLO-Fatah lalu PLO-Fatah juga terpaksa mengiktiraf Israel.

PLO-Fatah mentadbir Palestin yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza.

Hamas tidak berpuas hati dengan pendekatan ini. Rakyat Palestin mendokong perjuangan Hamas lalu melawan Israel menerusi sayap ketenteraannya iaitu Briged al-Qassam. Israel menuduh Hamas sebagai pengganas kerana membelakangi perjanjian damai. Hamas kemudian bergabung dengan PLO-Fatah membentuk kerajaan campuran memandangkan PLO-Fatah diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai wakil rasmi Palestin. Tidak lama kemudian, berlaku perang saudara antara PLO-Fatah dan Hamas kerana perbezaan ideologi dan pendekatan. Dua entiti politik ini berpisah dan saling tidak mengiktiraf antara satu sama lain.

Palestin seolah-olah memiliki dua kerajaan dan dua Parlimen yang berbeza. PLO-Fatah lebih menguasai wilayah Tebing Barat yang terletaknya Masjidil Aqsa manakala Hamas lebih menguasai wilayah Gaza. Masing-masing memiliki ideologi dan pendekatan berbeza dalam usaha memperjuangkan nasib Palestin.

Oleh itu, usah semarakkan lagi pergeseran politik dalaman rakyat Palestin. Ini merumitkan lagi keadaan dan menyukarkan perjuangan pembebasan rakyat Palestin daripada cengkaman Zionis. Kita perlulah membantu perjuangan Palestin dan tidak terjerat perangkap licik Zionis.


Penulis Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dengan Kepujian, Eng.Tech. (BEM) Grad.Tech. (MBOT)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:00 AM