WARGA Palestin, Mohammad al-Hadidi memangku anaknya yang terselamat selepas diserang tentera Yahudi. Manakala isteri dan empat lagi anaknya syahid dalam serangan itu. FOTO AFP
WARGA Palestin, Mohammad al-Hadidi memangku anaknya yang terselamat selepas diserang tentera Yahudi. Manakala isteri dan empat lagi anaknya syahid dalam serangan itu. FOTO AFP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kisah jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa begitu banyak menghiasi helaian al-Quran al-Karim sebagai salah satu unsur pengajaran dan pendidikan kepada umat Islam. Yang lebih menariknya, ada juga kisah tersebut diulang-ulang di beberapa surah yang berlainan sebagai memperkuatkan dan melengkapkan lagi unsur-unsur pengajaran supaya ia diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan yang serba mencabar ini. Kisah kaum Saba', kaum 'Ad, kaum Thamud dan sebagainya adalah antara cebisan nostalgia silam yang mengungkapkan rahsia tersendiri yang hanya dapat difahami oleh individu Muslim yang berfikir.  

Salah satu kisah yang perlu diberi perhatian dan menjadi bahan renungan umat Islam dewasa ini ialah  kisah kaum Yahudi Bani Israil banyak dirakamkan Allah Taala dalam kitab suci al-Quran bagi mendedahkan tembelang sebenar kaum Yahudi terhadap isu keagamaan dan kemanusiaan sejagat. 

Perkataan Israel pada asalnya bererti pilihan adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub AS. Jadi Bani Israil adalah susur galur keturunan Nabi Yaakub AS. Tetapi sekarang Bani Israil lebih dikenali dengan sebutan Yahudi atau Zionis. 

Sebagai bangsa pilihan, mereka telah dianugerahkan limpahan nikmat Allah Taala yang tidak diberikan kepada bangsa-bangsa lain. Antara nikmat tersebut ialah diutuskan ramai nabi dan rasul yang berasal daripada kalangan mereka, mereka telah diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan bala tenteranya, mereka dilindungi awan ketika berjalan di bawah terik mentari dan diturunkan makanan dari syurga iaitu manna dan salwa serta dua belas mata air dan banyak lagi nikmat Ilahi yang tiada terhitung. Semua nikmat itu Allah rakamkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain)." (Surah al-Baqarah, ayat 40)  

Biarpun kenikmatan demi kenikmatan Allah Taala limpahkan kepada bangsa Yahudi tersebut namun mereka telah berubah menjadi bangsa yang lupa diri, sombong takbur, mempermainkan ayat-ayat Allah Taala dan ajaran agama, bahkan mereka juga tergamak membunuh dai dan nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru mereka ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Dalam hal ini, Allah Taala berfirman maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita menggembirakan mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ali Imran, ayat 21) 

Demikianlah pula perilaku kaum Yahudi di zaman Rasulullah SAW yang hampir relatif sama dengan jejak langkah nenek moyang mereka yang terdahulu. Mereka sangat membenci dan berhasad dengki terhadap Rasulullah SAW dan sahabatnya. Maka, mereka telah berusaha dengan pelbagai cara dan helah sama ada secara terang-terangan mahu pun secara sulit supaya kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur semula seperti mereka.

Perilaku jahat kaum Yahudi ini Allah telah rakamkan dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada umat Islam selepasnya berkenaan sikap dan perilaku sebenar kaum Yahudi tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW)." (Surah al-Baqarah, ayat 109) 

Sejarah Islam juga mencatatkan bahawa kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janjinya di mana hampir semua perjanjian yang termeterai antara mereka dengan Rasulullah SAW  dikhianati mereka. Kerana itu, tidak menghairankan jika sekarang pun rejim Yahudi di Israel tetap mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyang mereka yang terdahulu. Mereka bukan sahaja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malahan mereka dengan bongkaknya tidak mahu tunduk kepada resolusi yang telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang isu perdamaian Timur Tengah. 

Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dahulu dan sekarang sekali gus membuktikan kebenaran wahyu Ilahi yang telah mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat. Oleh kerana itu, mereka merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali, maka tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan ataupun perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mereka, bahkan umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah, harta benda, tanah air dan agama mereka.

Manakala bagi pihak umat Islam pula, mereka sewajibnya menyokong perjuangan umat Islam Palestin dengan sumbangan material, jiwa raga dan doa pengharapan kepada Allah Taala supaya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam Palestin dan seterusnya keadilan Islam akan mewarnai pentas kehidupan yang sementara ini, Insya-Allah.  

Dalam mendepani arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan yang menaungi alam semesta ini, kita sebagai umat Islam jangan asyik leka dalam buaian kemajuan dan pembangunan fizikal. Sebaliknya, kita sewajibnya mempersiapkan diri dengan pembangunan insan supaya tersemat mantap iman dan akhlak kita dalam menelusuri titian hidup yang penuh pancaroba ini. Jangan pula dicontohi perangai jelek kaum Yahudi yang menyombong diri dan mengkhianati perjanjian kerana padahnya kelak amat buruk.  Sejarah silam perlu menjadi tatapan wajib sebagai iktibar dan pengajaran berguna di kemudian hari. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: "Orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain." Pepatah orang tua ada berkata: "Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.  "

      

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:00 AM