PENDUDUK Palestin berbuka puasa di tengah-tengah runtuhan rumahmereka di tengah Semenanjung Gaza.
PENDUDUK Palestin berbuka puasa di tengah-tengah runtuhan rumahmereka di tengah Semenanjung Gaza.
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Rencana ini adalah siri keempat sambungan bagi artikel lalu iaitu yang bertajuk Detik permulaan pemerintahan Bani Israel di Palestin (siri pertama), Raja Talut penguasa pertama Bani Israel (siri kedua) dan Kegemilangan Bani Israel di Palestin (siri ketiga).

Pembaca boleh membacanya berdasarkan carian tajuk terbabit supaya dapat memahami kronologi kandungan tema yang dibicarakan dan supaya tidak salah faham terhadap tajuk ringkas bagi setiap siri terbabit.

Dalam rencana bagi siri yang lalu, dijelaskan bahawa zaman Bani Israel pada era pemerintahan Nabi Sulaiman AS dianggap sebagai zaman kemuncak kegemilangan Bani Israel di tanah Palestin berasaskan tauhid dan syariat yang benar.

Berdasarkan catatan Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh dalam bukunya berjudul Isu Palestin: Latar Belakang dan Kronologi Perkembangannya Sehingga Tahun 2000, Nabi Sulaiman AS memerintah Palestin bermula 963 SM sehingga 923 SM.

Selepas kewafatan baginda, Kerajaan Bani Israel terbabit terbahagi kepada dua kerajaan yang saling bermusuhan yang dikenali sebagai Kerajaan Israel di sebelah utara Palestin yang wujud sekitar 923 SM sehingga 721 SM dan Kerajaan Yahuda (atau Yahuza atau Judah) yang memerintah sekitar 923 SM sehingga 586 SM di sebelah selatan Palestin.

Menurut Ismail Abdul Rahman dalam bukunya yang berjudul Konsep dan Kedudukan Bangsa Pilihan Menurut Agama Islam dan Agama Yahudi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS, maka Bani Israel mula menempuh zaman kehancuran mereka.

Kerajaan Israel di sebelah utara Palestin ditawan oleh golongan Assyria pada 721 SM maka lenyap kerajaan ini. Begitu juga Kerajaan Yahuda di sebelah selatan Palestin yang turut lenyap selepas ditawan golongan Babylon pimpinan Nebuchadnezar pada 586 SM (atau 580 SM). Maka ini adalah tarikh terakhir Bani Israel pernah memerintah Palestin sepenuhnya.

Kemudian mereka dikuasai oleh Parsi (539 SM - 332 SM) dan Hellenic Greek (332 SM - 63 SM) yang mana Bani Israel diberi kuasa autonomi yang terbatas. Kemudian kuasa autonomi ini ditarik balik ketika Rom menguasai Palestin bermula sekitar 63 SM.

Jika dilihat pada garis masa pemerintahan Bani Israel di Palestin sejak penguasa pertama dari Bani Israel iaitu Raja Talut bermula sekitar 1004 SM, kemudian diambil alih Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS sehingga lenyap dua kerajaan terakhir Bani Israel pada 586 SM, maka keseluruhannya adalah sekitar 400 tahun sahaja. Itu pun membabitkan zaman pemerintahan berasaskan tauhid dan syariat yang murni bermula Raja Talut sehingga Nabi Sulaiman AS yang tempohnya sekitar 100 tahun. Jadi, secara keseluruhannya, Bani Israel hanya pernah memerintah Palestin sekitar empat kurun sahaja berdasarkan sejarah mereka.

Ini berbeza dengan sejarah pemerintahan umat Islam di Palestin yang bermula sejak zaman Khalifah Saidina 'Umar al-Khattab pada 636 M (15 H) sehingga penjajahan Inggeris pada 9 Disember 1917 M (di penghujung pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang berakhir secara rasminya pada 3 Mac 1924). Tempoh pemerintahan umat Islam di Palestin meskipun kerajaan silih berganti termasuk pernah dikuasai tentera salib selama 88 tahun (1099 M - 1187 M) adalah sekitar 12 kurun lamanya. Maka, Bani Israel hanya menguasai Palestin selama empat kurun sedangkan umat Islam menguasainya selama 12 kurun.

Menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, tempoh 12 kurun ini adalah masa yang begitu panjang berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana pemerintahan yang lain. Ini menunjukkan Islam sebagai agama yang bertolak ansur selari dengan kehendak pelbagai bangsa dan keturunan. Pemerintahan Islam berjaya melahirkan rakyat yang sesuai menjadi penduduk di bumi terbabit dan sebagai masyarakat yang terbaik untuk menjaga maruah dan kemuliaannya.

Lebih menarik berdasarkan sejarah, menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, pengkaji sejarah terkemuka yang diakui kajian mereka menyatakan bahawa majoriti penduduk Palestin sekarang adalah berasal dari kabilah Arab seperti Kan'an, Umuriyyah dan lain-lain. Mereka menetap di Palestin sejak sebelum kedatangan Islam. Mereka disatukan dengan agama Islam dan berbahasa Arab di bawah pemerintahan Islam sekitar 12 kurun. Mereka tidak meninggalkan bumi Palestin meskipun peperangan silih berganti.

Ini berbeza dengan Bani Israel yang mana mereka sudah memutuskan hubungan dengan Palestin selama sekitar 18 kurun bermula sekitar 135 M sehingga sekitar 1948 M. Bahkan lebih awal lagi sejak mereka masih bersama dengan Nabi Musa AS, mereka sudah menunjukkan sikap enggan memasuki Palestin. Disebabkan itu, mereka didenda sesat selama 40 tahun di padang pasir Sinai.

Manakala pada zaman pemerintah Parsi menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, meskipun orang Yahudi diizinkan pulang ke Palestin, namun hanya sebilangan kecil yang berpindah, menetap dan berjiran dengan rakyat Palestin.

Di samping sikap mereka sendiri, faktor lain yang menyebabkan mereka terputus hubungan dengan Palestin adalah penjajahan terhadap Palestin di mana penjajah terbabit menghalau orang Yahudi dari Palestin. Contohnya, pemerintah Assyria yang diketuai Sargon II memindahkan golongan Bani Israel dari Palestin ke kota Harran, Khabur, Kurdistan dan lain-lain.

Manakala kerajaan Nebuchadnezar sudah menawan sekitar 40,000 orang Yahudi terbabit. Selain itu, kerajaan Rom pernah memerangi perusuh Bani Israel pada 66M sehingga 70M. Sekali lagi rusuhan pada 132 M sehingga 135 M dan berjaya menguasai Haikal Sulaiman oleh Julius Sefrus. Pemerintah Rom pernah menghalang golongan Yahudi memasuki Bait al-Maqdis selama 200 tahun.

Namun, dalam tempoh ini, penduduk asal Palestin masih kekal di sana sejak sebelum dan selepas kewujudan Bani Israel. Mereka kekal sekitar 4500 tahun lamanya sehingga mereka diusir keluar dari Palestin oleh regim Zionis pada 1948M. Kini mereka masih berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh menyatakan juga bahawa hasil kajian yang dilakukan oleh tokoh Yahudi sendiri seperti Arthur Kostler menunjukkan lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini tidak mempunyai pertalian keturunan atau sejarah dengan Bani Israel dan Palestin. Majoriti daripada mereka adalah Yahudi Khazar yang berasal dari kabilah Tatri-Turki kuno yang tinggal di Kawasan Caucasus di Selatan Rusia. Ini tempat asal mereka, bukan di Palestin.

Siri berikutnya akan dijelaskan berkenaan ayat al-Quran yang memberi isyarat bahawa orang Yahudi kini tidak layak menguasai Palestin meskipun dahulu mereka diperintahkan untuk memasuki Palestin dan memerintahnya.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 6:00 AM