MOHAMMAD Mustafa ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Januari lalu. FOTO Reuters
MOHAMMAD Mustafa ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Januari lalu. FOTO Reuters
Reuters

Gaza: Nama Mohammad Mustafa kini disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri baharu Palestin.

Beliau adalah seorang tokoh perniagaan terkemuka Palestin dan sekutu kuat kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Mustafa juga seorang ahli ekonomi yang berpendidikan dari Amerika Syarikat (AS) dan pernah mengendalikan syarikat telekomunikasi Palestin, Paltel.

Beliau juga baru-baru ini mengendalikan Dana Pelaburan Palestin (PIF), dengan hampir AS$1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion) dalam bentuk projek pembiayaan aset di seluruh wilayah Palestin.

Sedekad lalu, beliau juga mengetuai usaha pembinaan semula di Gaza selepas perang sebelum ini antara Israel dan pejuang Hamas.

Pemimpin Palestin mungkin berharap beliau kini boleh muncul sebagai tokoh penyatuan jika diminta membina semula wilayah itu selepas hampir lima bulan serangan Israel terhadap Palestin, sejak 7 Oktober lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri Mohammed Shtayyeh meletak jawatan minggu ini untuk membuka jalan kepada Kabinet Perpaduan, dan Fatah dan Hamas dijangka bertemu di Moscow minggu ini untuk membincangkan perkara itu.

Walaupun rapat dengan Abbas, Mustafa bukan ahli Fatah, maka beliau berpotensi untuk kurang berbalah.

Masih belum jelas bila Abbas mungkin mencalonkannya, dan berapa lama masa yang diperlukan untuk membentuk kerajaan itu.

Sekiranya dilantik, Mustafa akan menghadapi tugas besar iaitu pengurusan dan diplomasi.

Di samping mengawasi berbilion-bilion bantuan antarabangsa yang dijangkakan, Mustafa memerlukan kedua-dua sokongan politik daripada Hamas dan penyokongnya, serta kerjasama dari Israel, yang mahu menghapuskan Hamas.

Abbas sebelum ini melantik Mustafa sebagai pengerusi PIF pada 2015. Beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi dari 2013 hingga 2014.

Beliau adalah ahli jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Abbas, yang mengiktiraf Israel pada permulaan proses damai pada 1993. Ia dengan harapan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967 iaitu di Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmaqdis Timur.

Dalam pada itu, perang di Gaza sudah membunuh 30,000 penduduk Palestin, dengan ribuan yang lain dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:10 PM