KEKEJAMAN rejim Israel terhadap penduduk Palestin belum berkesudahan.
KEKEJAMAN rejim Israel terhadap penduduk Palestin belum berkesudahan.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara perkara yang sering mendukacitakan umat Islam kala seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa Ramadan ialah keganasan, kekejaman dan pencerobohan oleh rejim Israel ke atas hak orang Islam di Palestin, terutama hak mutlak mereka terhadap tanah suci Baitul Maqdis. Sejak orang Yahudi dengan bantuan Britain menubuhkan negara Israel pada 1948, banyak tanah rakyat Palestin dirampas dan hak mereka dinafikan. Sehingga hari ini, sudah terlalu banyak jiwa rakyat Palestin yang gugur terkorban dalam perjuangan menuntut kembali maruah dan hak mereka.

Namun apakan daya, perpecahan ideologi politik antara Fatah dan Hamas serta kelemahan teknologi senjata rakyat Palestin berjaya dieksploitasi secara maksimum oleh rejim Israel bagi terus mengukuhkan kedudukan strategik negara mereka. Kini setelah 75 tahun, rejim Israel masih terus meluaskan jajahannya bagi menyediakan penempatan baharu kepada ramai pendatang Yahudi yang saban tahun datang berhijrah untuk terus menetap di Israel.

Ironinya, penubuhan negara Israel dan kedatangan orang Yahudi dari serata dunia untuk tinggal di negara itu telah pun diisyaratkan secara tidak langsung oleh Nabi SAW. Walaupun Rasulullah tidak menyatakannya dengan ungkapan jelas, namun baginda mengisyaratkan melalui hadisnya bahawa pada akhir zaman nanti akan berlaku peperangan antara orang Islam dan orang Yahudi seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Yahudi akan memerangi kamu sekalian, namun kalian dapat menguasai mereka hinggakan batu pun berkata, 'Hai Muslim, ini ada orang Yahudi di belakangku, bunuhlah dia.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam sebelum 1948, ketika membaca hadis tersebut mungkin tidak mengetahui dengan jelas apakah faktor utama yang membawa kepada tercetusnya perang itu. Malah, mereka juga mungkin tidak nampak bagaimana perang itu boleh berlaku disebabkan orang Yahudi tiada negara dan tinggal berpecah-pecah di serata dunia. Sejarah merekodkan, orang Yahudi adalah bangsa yang tidak mempunyai negara selama lebih 1,800 tahun. Dalam tempoh itu, mereka tinggal secara berserakan di pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Afrika, Rusia, Turki dan Perancis.

Justeru, perang yang bakal terjadi itu membuktikan bahawa bangsa Yahudi akan duduk berkumpul dan bersatu di bawah sebuah negara mempunyai kedaulatan sendiri serta kekuatan senjata ampuh. Dengan kuasa yang ada itu, logiklah jika mereka berani untuk menunjuk muka dan menindas pihak lain, khususnya orang Islam di Palestin. Jelasnya, kezaliman dan keganasan berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin hakikatnya ibarat 'bom jangka' dan sudah memadai untuk menjadi faktor kukuh tercetusnya peperangan antara umat Islam dengan bangsa Yahudi itu.

Maka, dengan terdirinya negara Israel hakikatnya membenarkan sabda Nabi SAW di atas. Hadis tersebut turut memberikan khabar gembira atas kemenangan orang Islam dan penghujung kekejaman bangsa Yahudi. Malah, bantuan kepada orang Islam turut diberikan oleh makhluk alami. Bukan sahaja batu-batuan, bahkan dalam riwayat lain turut disebut pepohonan juga memberikan pertolongan kepada umat Islam. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kiamat tidak akan terjadi hinggalah kaum Muslimin memerangi Yahudi, lalu kaum Muslimin dapat membunuh mereka hinggakan orang Yahudi akan bersembunyi di balik batu dan pohon, lalu batu atau pohon itu berkata, 'Hai Muslim, hai hamba Allah, ini orang Yahudi di belakangku, kemari dan bunuhlah dia,' kecuali pohon gharqad (sejenis pokok renek) kerana ia adalah pohon Yahudi.'" (Riwayat Muslim)

Apa yang menghairankan, meskipun golongan Yahudi tidak beriman dengan Nabi SAW, terdapat sumber berita melaporkan bahawa rejim Israel melaksanakan projek penanaman pohon gharqad secara meluas di seluruh tanah jajahan mereka. Jika benar laporan itu, ia menunjukkan orang Yahudi mempunyai sikap amat prihatin terhadap apa jua kemungkinan yang boleh menggoyahkan kekuatan bangsa mereka walau sekecil mana sekalipun menurut pandangan mereka sendiri.

Apa-apa pun, sebelum tiba masa itu umat Islam perlulah terlebih dahulu menginsafi realiti masa kini betapa lemahnya perpaduan antara negara umat Islam. Untuk kembali gemilang, umat Islam perlu membina kembali asas kekuatan dan kesatuan mereka yang sebenar, iaitu keimanan dan ketakwaan yang sempurna kepada Allah SWT. Tanpa asas yang kuat, semangat individual secara semberono hanya akan menatijahkan hasil sia-sia, malah mudah dimanipulasi oleh musuh bagi memburukkan pula imej ajaran Islam yang cukup indah.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:00 AM