UMAT Islam wajib mempunyai sensitiviti dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas, dianiaya dan berada dalam kesengsaraan.
UMAT Islam wajib mempunyai sensitiviti dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas, dianiaya dan berada dalam kesengsaraan.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Syam dahulu merupakan wilayah besar yang meliputi Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan. Antara kota utama wilayah Syam ialah Baitul Maqdis di Palestin dan Dimasyq di Syria. Bagi umat Islam, mengenali nama-nama ini adalah cukup penting untuk memahami banyak hadis yang menyebut mengenainya, terutama berkaitan peristiwa-peristiwa besar yang akan berlaku di akhir zaman.  

Permulaannya mungkin ditandai apabila orang Yahudi dengan bantuan pihak Britain menubuhkan negara haram Israel di atas bumi Palestin pada tahun 1948. Malah semenjak itu, kerajaan haram tersebut terus melaksanakan projek peluasan tanah jajahannya sedikit demi sedikit. Menjelang 1967, Israel telah menguasai hampir 80 peratus tanah Palestin dan mengenakan kawalan ketat ke atas Baitul Maqdis, tempat suci ketiga umat Islam sehingga mereka kini tidak lagi bebas memasukinya. Banyak kezaliman dan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan haram Israel yang belum pernah disaksikan oleh sejarah bangsa Yahudi itu sendiri. Lebih menyedihkan, jika kita melihat aplikasi peta dunia, nama Palestin kini sudah tidak lagi wujud dan lokasinya telah digantikan dengan nama Israel.

Namun, rakyat Palestin tidak pernah duduk diam melihat semua penindasan dan kekejaman ini. Sudah sekian banyak jiwa yang terkorban dan gugur syahid dalam menentang penjajahan tersebut, meskipun mereka hanya bersenjatakan batu. Menyaksikan kegigihan dan kekentalan perjuangan rakyat Palestin ini, elok kita renungi beberapa hadis yang penulis kira mungkin mempunyai kaitan cukup signifikan dengan apa yang berlaku di sana.

Antaranya, hadis Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ada satu kelompok daripada umatku yang sentiasa zahir di atas agama ini dan mampu mengalahkan musuh mereka. Tidak akan dapat memudaratkan mereka sesiapa yang menentang mereka melainkan kesempitan hidup yang menimpa mereka, sehinggalah tiba perintah Allah (hampirnya hari kiamat) dan mereka tetap seperti demikian." Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, di manakah mereka itu? Rasulullah SAW menjawab: "Di Baitul Maqdis dan di pinggir-pinggir Baitul Maqdis." (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani. Hadis hasan)

Dalam hadis Abu Hurairah RA pula diriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Ada satu kumpulan daripada umatku yang sentiasa berperang di pintu-pintu Dimasyq dan kawasan sekitarnya, serta di pintu-pintu Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Tidak akan dapat memudaratkan mereka pemulauan orang yang memulaukan mereka. Mereka tetap zahir di atas kebenaran sehinggalah berlakunya hari kiamat."  (Riwayat Abu Ya'la dan al-Tabarani dengan sanad daif)    

Manakala Qurrah bin Iyas RA meriwayatkan, sabda Rasulullah SAW: "Sekiranya binasa ahli Syam, maka tiada lagi kebaikan pada kamu sekalian. Ada satu kelompok daripada umatku yang sentiasa diberikan pertolongan. Tidak akan dapat memudaratkan mereka sesiapa yang membiarkan mereka sehinggalah berlakunya hari kiamat." (Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Walaupun dalam hadis ini, Imam at-Tirmizi menukilkan daripada Imam 'Ali bin al-Madini bahawa beliau menafsirkan kelompok tersebut ialah ahli hadis (ashab al-hadith), namun ia hanyalah satu daripada beberapa pandangan yang diberikan oleh ulama mengenai tafsirannya. Manakala diriwayatkan daripada Mu'az bin Jabal RA, beliau menafsirkan kelompok tersebut ialah ahli Syam. Demikian juga pendapat Mutarrif, seorang tokoh tabiin. (Rujuk  Fadha'il as-Syam oleh Imam Ibn Rajab)

Tidak mustahil jika perjuangan rakyat Palestin ini merupakan mata rantai yang menyambung kepada kemunculan semula pusat pemerintahan khilafah Islam di Baitul Maqdis suatu masa nanti, sepertimana hadis 'Abdullah bin Hawalah al-Azdi RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah meletakkan tangan baginda di atas kepalanya lalu bersabda: "Wahai anak Hawalah, apabila engkau melihat khilafah telah turun di bumi yang disucikan (Baitul Maqdis), maka sungguh telah dekatlah bencana gempa bumi, malapetaka serta perkara-perkara besar. Pada saat itu, hari Kiamat lebih dekat kepada manusia daripada tanganku ini dengan kepalamu." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya)  

Apa pun sebelum saat itu tiba, setiap umat Islam wajib mempunyai sensitiviti dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada saudara Islam mereka yang ditindas, dianiaya dan berada dalam kesusahan. Umat Islam wajib menggemblengkan sedaya upaya mereka untuk memberikan pertolongan, walaupun sekurang-kurangnya dengan berdoa, bermunajat dan menghulurkan bantuan kewangan. Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin pada sifat saling mencintai, mengasihi dan menyayangi mereka itu adalah umpama satu jasad. Apabila satu anggota tubuh berasa sakit, maka seluruh jasad tersebut akan ikut berjaga malam dan berasa demam kerananya."  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 6:00 AM