FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Datuk Dr Luqman Abdullah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkenalkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai modul pembelajaran di sekolah kebangsaan. 

Program ini mensasarkan 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara dengan menyasarkan guru dan murid beragama Islam.

Program ini bertujuan bagi memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

Modul ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai inisiatif memberi kefahaman kepada golongan muda dalam memahami tentang agama Islam bersandarkan al-Quran dan Hadis.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengambil peluang mengulas serba sedikit berkaitan kelebihan hadis 40 Imam al-Nawawi serta mesej yang disampaikan dalam kumpulan hadis itu.

Pengenalan Kitab Hadis Empat Puluh Kitab al-Arba'un Mabani al-Islam wa Qawaid al-Ahkam atau lebih dikenali al-Arba'in al-Nawawiyyah dikarang oleh Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi. 

Beliau lahir pada Muharram tahun 631H, di Damaskus (Damsyik), Syria dan meninggal dunia sebelum sempat berumahtangga pada usia 45 tahun.  Ulama selepas zaman Imam al-Nawawi memberikan perhatian serius terhadap kitab al-Arba'in sehinggakan Syeikh Rasyid bin Amir dalam Ithaf al-Anam bi Zikri Juhud al-Ulama ala al-Arba'in menyenaraikan 122 kitab yang mensyarahkan kitab al-Arba'in.

Imam al-Nawawi menghimpunkan 42 hadis sahih yang sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.  Beliau menghimpunkan hadis yang menjadi prinsip asas agama. 

Beliau memilih hadis yang disifatkan oleh ulama sebagai separuh daripada Islam atau sepertiga Islam atau seumpamanya. Antara ulama lain yang mengarang berkenaan hadis empat puluh ialah:

1. Al-Arba'in fi Sifat Rabb al-'Alamin yang ditulis oleh Imam al-Zahabi.

2. Al-Arba'in fi Adab al-Sufiyyah yang ditulis oleh Imam Abu Nua'im.

3. Al-Arba'in fi Fadhl al-Jihad oleh Imam Ibn Asakir.

4. Al-Arba'in al-Mukhtarah fi Fadl al-Hajj wa al-Ziyarah oleh al-Hafiz Abu Bakr al-Gharnati.

Terdapat sebuah riwayat tentang kelebihan menghafal 40 hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas bermaksud: "Sesiapa yang menghafaz untuk umatku 40 hadis berkenaan urusan agamanya, dia akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagai orang faqih dan berilmu."

Imam al-Nawawi ketika memberikan penjelasan berkenaan riwayat Ibn 'Abbas di atas, beliau berkata: "Ulama hadis (al-huffaz) bersepakat bahawa ia adalah hadis yang lemah sekalipun terdapat jalur riwayat yang banyak. "

Meskipun ulama bersepakat boleh untuk beramal dengan hadis daif, namun sandaran beliau bukanlah hadis ini. Namun, beliau bersandarkan kepada sabda Nabi SAW dalam hadis yang sahih seperti: "Semoga Allah mencerahkan seseorang yang mendengar kata-kata ku lalu dia memahaminya, menghafaznya, dan menyampaikannya. Boleh jadi yang menghafaznya akan menyampaikan kepada yang lebih faham daripadanya." (Riwayat Tirmizi)

Justeru, penghayatan hadis ini sebenarnya mampu menyuntik nafas baharu dalam kalangan pelajar serta menyemai nilai mulia dalam diri mereka, dengan syarat modul yang diajar itu mampu digarap dan disampaikan dengan sebaik mungkin oleh guru.

Benarkah Islam mengajar umatnya memerangi seluruh manusia hingga mereka memeluk Islam?

Imam al-Nawawi meletakkan hadis berikut pada nombor kelapan dalam himpunan hadis beliau: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah SWT." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis inilah yang menjadi sasaran segelintir pihak sejak dahulu hingga sekarang dengan melemparkan tohmahan bahawa Islam adalah agama ekstrem kerana mengajar penganutnya memerangi umat agama lain hingga mereka memeluk Islam.

Pertamanya, perlu diambil perhatian memahami hadis bukanlah dengan hanya memahami maksudnya secara literal lalu disyarahkan mengikut logik akal semata-mata. Tetapi, ia memerlukan kepada alatnya seperti ilmu hadis, syarah hadis, sebab hadis diucapkan (asbab al-wurud), ilmu bahasa Arab, selain keperluan untuk dibaca bersekali dengan ayat al-Quran dan hadis lain yang berkaitan jihad.

Sebahagian pihak tersilap memahami hadis ini dengan mengatakan hadis ini menjadi dalil kepada perintah untuk memerangi seluruh bukan Islam sehinggalah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Pemahaman seperti ini akan membawa kepada pemikiran yang ekstrem dan radikal terhadap seseorang individu Muslim, bahkan boleh mengundang kepada tindakan yang mengakibatkan perpecahan serta pertumpahan darah antara orang Islam dan bukan Islam.

Apabila ditelusuri karya para ulama terdahulu dan kontemporari, jelas bahawa maksud hadis itu tidak seperti yang disalah fahami oleh sebilangan pihak.

Imam Syarafuddin al-Tibi menjelaskan bahawa 'al-nas' dalam hadis merujuk kepada golongan penyembah berhala ('abadah al-wathan). Namun bukan semua golongan ini perlu diperangi, kerana seperti golongan Ahli Kitab yang tidak boleh diperangi jika mereka bersetuju membayar jizyah, begitu juga golongan musyrikin yang tidak boleh diperangi jika mereka telah memeterai perjanjian damai dengan umat Islam: "Sesungguhnya jika termeterai suatu perjanjian damai (al-mudahanah) dengan golongan penyembah berhala, gugurlah kewajipan untuk memerangi mereka dan nyawa mereka terpelihara." (Syarah Misykat al-Masabih)

Islam agama keamanan, menyeru kepada keamanan dan mengharamkan peperangan secara mutlak, kecuali ketika adanya keperluan untuk memelihara akidah umat. Oleh itu, tatkala api kekacauan telah terpadam, peperangan tidak berhak untuk wujud lagi, kerana nyawa manusia itu lebih utama untuk dipelihara, sementelah pula keamanan manusia sejagat adalah asas bagi maqasid agama Islam itu diturunkan, demi memberdaya umat Islam dalam menjalankan kewajipan memakmurkan muka bumi. Demikian kenyataan Syeikh 'Allal al-Fasi, antara tokoh utama dalam ilmu Maqasid Syariah.

Menurut Syeikh Ahmad al-Raisuni pula: "Salah satu objektif Islam ialah memadamkan api peperangan serta menyebarkan keamanan dan kesatuan dalam kalangan manusia, sama ada pada peringkat individu ataupun masyarakat." (Maqasid Keamanan: Agenda Keamanan Menurut Islam)

Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai modul pembelajaran di sekolah adalah inisiatif baik memahamkan pelajar Islam khususnya tentang nilai Islam.

Dakwaan bahawa antara intipati Hadis 40 Imam al-Nawawi mengajar umat Islam untuk memerangi manusia sehingga mereka memeluk Islam adalah tohmahan dangkal dan tidak berpaksikan landasan ilmu. Maksud sebenar hadis ialah kebenaran untuk memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan memerangi umatnya, bukannya memerangi semua bukan Muslim secara semberono. Syeikh Muhammad al-Ghazali mengistilahkan hadis yang menjadi sasaran tohmahan itu sebagai hadis yang dizalimi kerana ramai yang memahaminya dengan fahaman yang silap dan memanipulasi makna yang hakiki.

Islam adalah agama keamanan yang mengharamkan peperangan secara mutlak melainkan jika terdapat keperluan untuk memelihara akidah umat.

Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Raisuni. Oleh itu, menjaga keamanan dan kesejahteraan dalam bernegara juga adalah ibadah yang dituntut dalam Islam.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 6:01 AM