Dr  Mohd Hasrul bin Shuhari

Rencana ini adalah bahagian terakhir dalam menjelaskan salah faham terhadap kitab Hadis 40 Imam al-Nawawi (Kitab al-Arba'in al-Nawawiyyah). Para pembaca boleh merujuk kepada dua artikel sebelumnya yang bertajuk Arahan 'umirtu' khusus untuk Nabi SAW (Bahagian Pertama) dan Pemurnian makna kalimah 'uqatila' (Bahagian Kedua) di laman sesawang Harian Metro.

Artikel bahagian ketiga ini memfokuskan huraian kalimah 'al-nas' (manusia) dalam hadis ini; daripada Saidina Abdullah ibnu Umar RA (m. 73H) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‎"Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa ‎ sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, ‎ mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak lslam, manakala perhitungan amal mereka pula terserah kepada Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persoalannya, adakah kalimah 'al-nas' merujuk kepada semua manusia secara umum? Jawapannya menurut Jabatan Fatwa Negara Mesir (Dar al-Ifta' al-Misriyyah), ia perlu difahami antaranya berdasarkan pertuturan bahasa Arab menerusi disiplin ilmu al-Bayan dan ilmu al-Balaghah.

Didapati dalam al-Quran terdapat perkataan 'al-nas' yang memberi maksud sebahagian manusia sahaja sama ada bilangannya sedikit mahupun banyak.

Kadang-kadang ia merujuk kepada seorang manusia sahaja.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 173 yang bermaksud: "Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)."

Imam al-Baidawi (m. 685H) dalam kitab tafsirnya, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil menyatakan bahawa 'al-nas' (orang-orang) itu merujuk kepada Nu'aim ibn Mas'ud al-Ashja'i. Ia disebut 'al-nas' kerana ia termasuk daripada jenis manusia.

Sebagaimana biasa digunakan dalam bahasa Arab seperti 'si fulan menunggang kuda-kuda (al-khail)' sedangkan dia hanya memiliki satu kuda (al-faras). Maka, Nu'aim ibn Mas'ud al-Ashja'i daripada jenis manusia (al-nas) sebagaimana al-faras daripada jenis al-khail.

Penulis mendapati Imam al-Qurtubi (m. 671H) dalam kitab tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Quran juga membawa salah satu tafsiran 'al-nas' adalah merujuk kepada Nu'aim ibn Mas'ud al-Ashja'i dan menurutnya lagi, ia adalah lafaz umum yang maksudkan khusus (al-lafz 'am wa ma'nahu khas).

Uslub ini terdapat dalam disiplin ilmu 'Ulum al-Quran yang banyak digunakan di dalam al-Quran. Contohnya firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 39 yang bermaksud: "Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya."

Menurut majoriti ulama tafsir, malaikat (literalnya bermaksud banyak malaikat) dalam ayat tersebut ialah malaikat Jibril AS. Seperti disebut oleh al-'Allamah Ibn 'Atiyyah (m. 546H) dalam kitab tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz bahawa majoriti ahli tafsir menyatakan penyeru itu adalah malaikat Jibril AS sahaja.

Berdasarkan asas ini dan asal usul bahasa Arab dan adat pertuturan mereka, kalimah 'al-nas' (manusia) dalam hadis yang difokuskan ini datang dengan makna umum namun dimaksudkannya secara khusus. Terdapat hadis Nabi SAW yang menjelaskan maksud kalimah 'al-nas' secara umum adalah merujuk kepada maksud khusus iaitu golongan musyrikin, bukan merujuk selain mereka.

Ia seperti terdapat dalam hadis sahih riwayat Imam al-Nasa'i (m. 303H) dalam Sunan al-Nasa'i menerusi kitab Tahrim al-Damm. Daripada Saidina Anas bin Malik RA (m. 93H) daripada Nabi SAW, bahawa baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Aku telah diperintahkan memerangi orang musyrik (uqatila al-musyrikin) sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya". Kalimah 'al-musyrikin' (orang musyrik) dalam hadis ini adalah tafsiran kalimah 'al-nas' (manusia) hadis sebelumnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (m. 852H) dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari menyatakan kalimah 'al-nas' adalah umum namun ia bermaksud khusus iaitu golongan Musyrikin Makkah, bukan merujuk kepada manusia keseluruhannya. Ia tidak seperti kalimah 'al-nas' dalam Surah al-Nas ayat 1 yang memberi maksud manusia keseluruhannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan sekalian manusia."

Perlu diperhatikan bahawa kalimah 'al-musyrikin' di sini bukan bermaksud golongan musyrikin secara umum. Sebaliknya golongan musyrikin yang dimaksudkan mereka yang mempunyai ciri-ciri khusus yang mengharuskan umat Islam memerangi mereka.

Antaranya ialah memerangi, menceroboh, menghalang dakwah Islam, melanggar perjanjian dan seumpamanya seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 10 yang bermaksud: "Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang yang beriman dan merekalah orang yang menceroboh."

Jelaslah di sini alasan yang dibenarkan untuk umat Islam memerangi golongan musyrikin adalah kerana mereka memerangi dan menceroboh ke atas umat Islam.

Ia bukan semata-mata mereka kafir. Majoriti ulama berpendapat antara ciri-ciri orang musyrikin yang umat Islam boleh memerangi mereka ialah seperti difirmankan Allah SWT dalam Surah al-Mumtahinah ayat 8 yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."

Berdasarkan makna sahih daripada lafaz hadis itu dan berpandukan nas yang qat'i, kefahaman betul dapat dibentuk. Bahkan realiti berdasarkan sejarah kehidupan Nabi SAW ketika baginda memerangi musyrikin sekalipun, telah terzahir betapa mulianya akhlak Baginda dengan musuh.

Bukti dapat dilihat ketika Rasulullah SAW menguasai Makkah, baginda memberi pengampunan secara besar-besaran meskipun sebelum itu mereka mendapat seksaan, pembunuhan dan pelanggaran janji.

Jika perintah yang disebutkan dalam hadis tersebut bertujuan untuk membunuh mereka atau memaksa mereka masuk Islam, sudah pasti Nabi SAW bersegera melaksanakan apa yang diperintahkan kepadanya. Tetapi sejarah mencatatkan sebaliknya bahawa Nabi SAW telah membebaskan mereka, tidak membunuh mereka atau memaksa mereka memeluk Islam. Maka, hati mereka terpikat dengan akhlak Baginda, sehingga mendorong mereka memeluk Islam seperti disebut dalam Surah al-Nasr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Kesimpulannya, hadis yang dianggap kontroversi itu perlu difahami dengan kaedah dan disiplin ilmu yang betul.

Disiplin ilmu seperti al-Bayan, ilmu al-Balaghah, ilmu 'Ulum al-Quran, ilmu 'Ulum al-Hadith, Usul al-Fiqh perlu terus dijaga agar kefahaman Islam tulen sentiasa terpelihara.


Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 6:00 AM