KAEDAH al-Bukhari meletakkan syarat yang agak ketat dan teliti  menyukarkan pihak lain untuk mengkritik hadis sahihnya.
KAEDAH al-Bukhari meletakkan syarat yang agak ketat dan teliti menyukarkan pihak lain untuk mengkritik hadis sahihnya.
Dr Mohd Khafidz Soroni

PADA siri lalu dijelaskan sedikit mengenai biografi Imam al-Bukhari dan kitab tersohornya, Sahih al-Bukhari. Sewajarnya menjadi satu kemestian bagi umat Islam mengenali kitab ini dan meyakini hadis di dalamnya sebagai sahih secara umum.

Imam al-Bukhari orang pertama yang mengarang kitab hadis sahih. Pernyataan ini disebut oleh Imam Ibnu as-Salah di dalam Muqaddimahnya dan diakui oleh ramai ulama seperti Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Taqrib. Hingga menjadi satu perkara yang disepakati oleh ulama bahawa Sahih al-Bukhari adalah kitab sahih pertama yang dikarang dalam dunia pengajian Islam.

Adapun kata-kata Imam al-Syafie, orang pertama yang mengarang kitab sahih ialah Imam Malik dengan katanya: "Aku tidak ketahui kitab yang paling sahih setelah Kitab Allah melainkan kitab Muwatta' Malik." Maka, ini dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar bahawa Imam al-Syafie mengeluarkan kenyataan itu dalam kurun kedua Hijrah ketika Sahih al-Bukhari belum ditulis. Namun, setelah muncul Sahih al-Bukhari dalam kurun ketiga Hijrah, Muwatta' Malik bukan lagi berada di tempat yang pertama kerana di dalamnya sendiri terdapat banyak hadis yang terputus sanad.

Dari sudut kedudukan pula, Sahih al-Bukhari berada di kedudukan kitab yang paling sahih selepas al-Quran al-Karim. Jumhur ulama hadis bersepakat menyatakan Sahih al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih di antara karya hadis yang pernah dihasilkan. Fakta ini menjadi satu kesepakatan dalam kalangan ulama Ahlus Sunnah Waljamaah.

Kata al-Hafiz al-Uqaili: "Selepas al-Bukhari mengarang kitab al-Sahihnya, beliau menunjukkannya kepada Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma'in, Ali bin al-Madini dan lain-lain, lalu mereka semua memujinya serta menyetujuinya sebagai sahih kecuali empat hadis." Al-Hafiz al-Uqaili mengulas: "Bagaimanapun, kata pemutus tentangnya adalah kata al-Bukhari iaitu semuanya sahih belaka."

Kata Imam an-Nawawi dalam at-Taqrib: "Karya pertama hadis sahih semata-mata ialah Sahih al-Bukhari kemudian Sahih Muslim. Kedua-duanya adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran dan al-Bukhari adalah paling sahih serta paling banyak faedah antara kedua-duanya." Kata beliau dalam Syarh Sahih Muslim: "Ulama bersepakat bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Quran yang mulia ialah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Umat Islam menerima kedua-duanya dengan sepenuh penerimaan."

Sebahagian ulama seperti Abu Ali al-Naisaburi menyatakan, Sahih Muslim adalah kitab hadis yang paling sahih. Namun, pandangan ini disangkal oleh kebanyakan ulama dengan hujah yang kukuh. Mereka menjawab, Imam al-Bukhari meletakkan syarat yang agak ketat berkaitan sanad berbanding Muslim. Al-Bukhari mensyaratkan thubut al-liqa' (sabit pertemuan) iaitu setiap perawi mesti dibuktikan pernah berjumpa antara satu dengan yang lain walaupun hanya sekali. Berbanding Muslim, syarat yang diletakkan lebih longgar iaitu memadai dengan mu'asarah (sezaman), apabila sudah memadai diketahui setiap perawi pernah hidup sezaman dengan gurunya meskipun belum dibuktikan pertemuan mereka.

Imam al-Bukhari mengaplikasikan syarat thubut al-liqa' terhadap semua perawi bagi memastikan persambungan antara perawi dengan gurunya di dalam sanad. Beliau menetapkan sekiranya periwayatan perawi dengan lafaz mu'an'an (menyebut 'daripada') didapati tidak menepati syarat thubut al-liqa' maka sanad berkenaan diketepikan dan dikira ada kemungkinan terputus. Jika ada bukti thubut al-liqa' walaupun sekali, barulah sesuatu riwayat itu diterima.

Kaedah al-Bukhari meletakkan syarat yang agak ketat dan teliti ini menyukarkan pihak lain untuk mengkritik hadis sahihnya. Maka dengan faktor inilah, ulama bersepakat menyatakan Sahih al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih di antara semua karya hadis yang ada.

Imam al-Bukhari membahagikan kitabnya kepada bahagian yang disebut 'kitab' (kitab kecil). Di bawah setiap 'kitab' terdapat susunan mengikut bab. Dalam Sahih al-Bukhari yang diselenggara oleh Syeikh Muhammad Fuad Abd al-Baqi, didapati bilangan kitab kecilnya ialah 97 buah manakala bilangan babnya pula sebanyak 3,261.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan jumlah keseluruhan riwayatnya termasuk yang disebut berulang kali ialah 7,397 hadis. Namun, tidak termasuk hadis mu'allaq (tiada sanad lengkap) dan athar sahabat serta tabiin. Jumlah sebenar hadis tanpa mengambil kira yang disebut secara berulang kali pula adalah sebanyak 2,602 hadis.

Kitab Sahih al-Bukhari disyarahkan dan diberi huraian oleh ratusan ulama sama ada secara panjang lebar, sederhana mahupun ringkas. Namun, kitab syarahnya yang terbaik dan terlengkap ialah yang dikarang oleh al-Hafiz Ibn Hajar dengan judul: Fath al-Bari.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:30 AM