GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Nizwan Musling

 

Dalam suasana memperingati kelahiran Rasulullah SAW, antara aspek yang boleh diambil pengajaran dan peringatan ialah tatakelola harta. Harta adalah satu kurniaan Allah SWT berbentuk nikmat dan juga ujian kepada hamba-Nya. Ini kerana harta yang dimiliki bukanlah bersifat penuh dan kekal, tetapi ia adalah satu amanah yang sebahagiannya merupakan hak orang lain yang perlu disalurkan mengikut apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui al-Quran dan sunnahnya.

Antaranya ialah melalui medium sedekah. Sedekah bermaksud pemberian harta yang dimiliki kepada orang lain semata-mata kerana Allah SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan memperoleh keredaan-Nya. Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dalam perkara ini sebagaimana disampaikan oleh Anas bin Malik RA, katanya: "Tidaklah Rasulullah SAW diminta sesuatu atas nama Islam kecuali Baginda pasti memberikannya. Suatu ketika, seorang lelaki datang bertemu Baginda dan meminta sesuatu, maka Baginda memberikannya kambing (dengan jumlah) yang memenuhi kawasan antara dua bukit (satu lembah). Lelaki itu pun pulang kepada kaumnya sambil berkata: "Wahai kaumku, masuk Islamlah kamu semua, kerana Muhammad SAW memberikan suatu pemberian yang tidak ditakuti menjadi miskin dan papa." (HR Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa sikap kedermawanan Rasulullah SAW yang tinggi atas keimanan yang jitu (tidak takut jatuh miskin atau papa disebabkan sedekah) sehinggakan hati orang lain mampu terbuka untuk menganuti agama Islam. Sifat kedermawanan ini lagi menebal tatkala bulan Ramadan sebagaimana diberitakan bahawa:  "Rasulullah adalah orang yang sangat dermawan. Dan lebih dermawan lagi ketika di bulan Ramadan."  (HR Bukhari)

Contoh yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW ini merupakan  role  model terhadap manifestasi hakikat keimanan dan kebaikan seseorang hamba yang mampu memberi manfaat kepada pihak lain yang memerlukan, menguatkan hubungan sosial dan kesejahteraan masyarakat serta mampu mendukung nilai-nilai kemanusian sejagat seperti cakna dan ihsan.

Oleh kerana itu, al-Quran memperingatkan bahawa:  "Kamu tidak sekali-kali akan mencapai hakikat kebajikan yang sempurna sebelum kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi."  (Surah Ali Imran: 92). Itulah ujiannya di mana sedekah bukan memberi saki baki apa yang kita tidak mahukan lagi, tetapi apa yang terbaik yang kita miliki dan paling disayangi. Bahkan, martabat yang lebih tinggi lagi ialah apabila seseorang itu masih mampu memberi sedekah kepada orang lain dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan. Ini dapat difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:  "Dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat."  (Surah Al-Hasyr: 9). Begitu juga apa yang disabdakan Baginda SAW tatkala ditanya:  "Apakah sedekah yang terbaik? Jawabnya: "Sedekah hasil jerih payah orang yang kekurangan dan mulakanlah dengan orang di bawah tanggunganmu."  (HR Ibn Hibban, Abu Daud dan Ahmad)

Maka, pasti amalan sedekah ini dikurniakan dengan pelbagai balasan sama ada di akhirat mahupun di dunia atau semasa hidup lagi dengan pelbagai keajaiban. Firman Allah SWT bermaksud:  "Mereka yang mendermakan hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan terhadap mereka (kejadian buruk) serta mereka juga tidak akan berdukacita."  (Surah Al-Baqarah: 274)

Justeru, al-Quran menggunakan pelbagai pendekatan untuk memotivasikan manusia agar bersedekah. Antaranya melalui perumpamaan gandaan pahala untuk orang bersedekah kerana semata-mata mencari keredaan-Nya dengan sebiji benih yang tumbuh lalu menerbitkan tujuh tangkai yang setiap tangkai itu mengandungi 100 biji (lihat Surah Al-Baqarah, 261). Begitu juga diumpamakan dengan sebuah kebun di tempat yang tinggi yang mampu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda tatkala menerima hujan lebat (lihat Surah Al-Baqarah, 265).

Dari sudut yang lain, rahmah dan keajaiban sedekah boleh diperhatikan di dunia lagi. Antaranya ialah:

Rezeki tidak berkurang, bahkan semakin bertambah banyak

Dapat diperhatikan bahawa harta yang didermakan tidak akan berkurang dek sedekah, bahkan ia akan semakin berkembang. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Sedekah tidak akan mengurangkan harta." (HR Muslim). Syeikh Muhammad bin Soleh menjelaskan sabda Rasulullah SAW tersebut adalah penafian terhadap sangkaan ramai orang terhadap sedekah boleh mengurangkan harta dimiliki dan apa yang ditakut-takutkan oleh bisikan syaitan terhadap manusia sebagaimana diingatkan oleh firman Allah SAW yang bermaksud:  "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma)."  (Surah Al-Baqarah: 268). Maka, sedekah tidak akan mengurangkan harta bahkan Allah SWT akan menggantikannya dengan lebih baik. Firman Allah SWT yang bermaksud:  "dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki."  (Surah Saba': 39). Manakala Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang daripada kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda, sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud."  (HR Al-Tirmidzi)

Dapat merawat orang sakit

Sedekah juga mampu menyembuhkan orang yang sakit (penderma). Ini sebagaimana yang diberitahu Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas'ud RA bermaksud:  "Bentenglah harta kamu dengan mengeluarkan zakat, rawatilah orang yang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah dan hadapilah gelombang bala dengan doa."  (HR Abu Daud, Al-Baihaqi dan Al-Tabrani)

Terselamat daripada pelbagai bala

Selain itu, sedekah dapat menyelamatkan pengamalnya daripada mendapat banyak bala. Diriwayatkan daripada Sa'id bin Mas'ud al-Kindi RA, katanya, sabda Rasulullah SAW:  "Tiada seorang lelaki yang bersedekah pada siang hari atau malamnya melainkan Allah pelihara daripada mati disebabkan sengatan binatang berbisa atau ditimpa keruntuhan, atau mati mengejut."  (Lihat Tanbih Al-Ghafilin, halaman 309)

Sekalipun sedekah ini amat dituntut, kita juga perlu berhati-hati agar ia disalurkan kepada penerima yang betul-betul memerlukan dan bukannya kepada pihak yang tidak bertanggugjawab dengan menipu dan mengeksploitasi kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) sehingga mencemarkan imej Islam sendiri seperti yang dilaporkan media baru-baru ini berkenaan berleluasanya aktiviti pengemis asing berpurdah di Kuala Lumpur.

Maka dengan pelbagai cara dan medium sedekah kini, marilah kita mengamalkannya secara betul, konsisten dan ikhlas kerana Allah SWT. Dalam konteks ini, perlu dijaga tiga perkara utama agar pahala dan keajaiban sedekah sebagaimana disebutkan tidak terhapus begitu sahaja. Tiga perkara itu sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 ialah: 1. riyak  (menunjuk-nunjuk pemberiannya agar diketahui orang bahawa dia seorang dermawan). 2. mann (mengungkit-ungkit sedekah yang telah diberi), 3. azaa  (menyakiti penerima sedekah).

Semoga sedekah yang diberi mampu memenuhi keperluan penerima dan meringankan kesukaran yang dihadapinya, apatah lagi dalam keadaan situasi kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang. Berkongsilah rezeki kepada orang lain demi manfaat ummah tanpa mengharapkan sebarang balasan mahupun ucapan terima kasih daripadanya, agar rezeki bertambah berkat di samping ganjaran pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Penulis  Ketua Program Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:00 AM