GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Sedekah merupakan satu bentuk amalan berkongsi rezeki dengan orang lain. Salah satu amalan istimewa yang digalakkan oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan berganda pada bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya untuk banyak bersedekah dan membantu orang yang susah dan golongan asnaf. Allah SWT berfirman dalam  surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:  "Wahai orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan untukmu."

Kehadiran Ramadan yang mulia saban tahun adalah satu anugerah yang sangat agung buat orang yang beriman. Betapa banyaknya keistimewaan yang disediakan pada bulan ini. Pahala dicurahkan, keampunan dan rahmat Allah SWT dibentangkan memenuhi setiap ruang dan waktu sepanjang berpuasa. Seseorang yang berasa bahawa amalannya tidak cukup pada hari biasa, perlu berusaha bersungguh-sungguh mencari ganjaran pahala yang melimpah ruah dengan kedatangan bulan Ramadan terutama melalui sedekah.

Jelas bahawa Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Ketahuilah bahawa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah SWT, sebagaimana hadis Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memberi, Allah mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia dan membenci perbuatan yang buruk." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Dunia itu adalah untuk empat golongan hamba: antaranya hamba yang diberikan rezeki oleh Allah SWT serta kefahaman terhadap ilmu agama. Dia bertakwa kepada Allah SWT dalam menggunakan hartanya dan digunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyedari hak Allah yang ada pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Allah SWT benar-benar memuliakan orang yang bersedekah. Ia menjanjikan balasan yang menakjubkan bagi orang yang gemar bersedekah hingga 700 kali ganda jika di luar Ramadan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261). Ini menunjukkan jika ia dilakukan dalam bulan Ramadan sudah tentu ganjaran berlipat ganda daripada apa yang dijanjikan Allah SWT dalam bulan biasa.

Antara kelebihan bersedekah:

1. Sedekah dapat menghapus dosa. Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api." (Hadis Riwayat at- Tirmidzi).  Dosanya diampunkan oleh Allah SWT dengan asbab bersedekah yang disertai dengan taubat yang bersungguh-sungguh atas dosa yang dilakukan. Bukan bermakna mereka berdosa seperti mengambil rasuah, penyelewengan, pecah amanah, memakan riba, mencuri dan mengambil harta anak yatim, tetapi hendak menyucikan harta yang haram itu dengan bersedekah. Itu amat ditegah oleh SWT sepertimana firman-Nya: "Maka apakah mereka berasa aman daripada azab Allah? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang rugi." (Surah al A'raf ayat 99)

2. Orang yang bersedekah akan mendapat naungan pada Hari Akhirat. Rasulullah SAW menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang mendapat naungan pada hari yang tiada naungan selain daripada Allah SWT. Salah satu golongan tersebut ialah seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Sedekah memberikan keberkatan pada harta. Rasulullah SAW bersabda: "Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya." (Hadis Riwayat Muslim). Apakah yang dimaksudkan hartanya tidak akan berkurang? Al-Imam An- Nawawi dalam kitab karangannya menjelaskan: "Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan ialah hartanya diberkati dan dihindari daripada bahaya. Ia juga membawa maksud walaupun hartanya secara zahir kelihatan berkurangan tetapi ia ditampung dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda banyaknya."

 4. Allah melipatgandakan pahala orang yang bersedekah. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya orang yang bersedekah, sama ada lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjaranNya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak." (Surah Al Hadid ayat 18)

5.Terdapat pintu syurga yang hanya dapat dimasuki oleh orang yang bersedekah.

"Orang memberikan harta di jalan Allah, maka ia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga: "Wahai hamba Allah, marilah menuju kenikmatan". Jika ia berasal daripada golongan orang yang suka menunaikan solat, ia akan dipanggil dari pintu solat, manakala yang berasal daripada golongan yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan jika ia berasal daripada golongan yang gemar bersedekah, maka akan dipanggil dari pintu sedekah." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Sedekah akan menjadi bukti keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah ialah bukti." (Hadis Riwayat Muslim). An Nawawi menjelaskan bahawa ia bukti kebenaran imannya. Sedekah dinamakan demikian kerana merupakan bukti daripada kebenaran imannya atau dalam bahasa Arab disebut sebagai sidqu imanihi".

7. Orang yang bersedekah merasakan dada yang lapang dan hati yang bahagia. Rasulullah SAW memberikan perumpamaan tentang orang yang dermawan dengan orang yang kedekut: "Perumpamaan orang yang kedekut dan bakhil dengan orang yang bersedekah seperti dua orang yang mempunyai baju besi, Orang yang bersedekah, disebabkan sedekahnya ia merasa bajunya lapang dan longgar di kulitnya. Sampai hujung jarinya tidak kelihatan dan baju besinya tidak meninggalkan kesan pada kulitnya. Sedangkan orang yang bakhil, ia merasakan setiap balutan baju besinya ketat mencengkam di kulitnya. Ia berusaha untuk melonggarkannya namun ia tidak dapat melakukannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

8. Pahala sedekah terus berkembang.  Pahala sedekah walaupun hanya sedikit akan terus berkembang pahalanya hingga menjadi besar. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang daripada kamu, sebagaimana kalian mengembangkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji, dapat berkembang hingga sebesar gunung Uhud." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)


Dalam banyak hadis menyatakan bahawa kedermawanan Rasulullah SAW dikatakan melebihi angin yang berhembus terutama ketika Ramadan. Rasulullah SAW sangat ringan dan cepat dalam memberikan bantuan tanpa banyak berfikir. Kedermawanan baginda memiliki nilai manfaat yang besar dalam sedekah dan bantuan baginda.

Ringkasnya, walaupun tidak terdapat gandaan pahala 70 kali ganda ibadah wajib di luar bulan Ramadan, tetapi janji Allah SWT terhadap ganjarannya tetap banyak hingga 700 kali ganda. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah mencatat setiap amal kebaikan dan amal keburukan." Kemudian Rasulullah menjelaskan: "Orang yang berniat melakukan kebaikan, namun tidak mengamalkannya, Allah mencatat baginya satu pahala kebaikan sempurna. Orang yang berniat melakukan kebaikan, lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali ganda banyaknya." (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 7:00 AM