Patung Saladin di hadapan kota kubu Damascus, Syria. FOTO Arkib AFP
Patung Saladin di hadapan kota kubu Damascus, Syria. FOTO Arkib AFP
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Nama sebenar Sultan Salahuddin al-Ayyubi ialah Salahuddin Abu al-Muzaffar Yusuf bin Ayyub yang dilahirkan pada 532H dan meninggal dunia pada 589H. Artikel ini menjelaskan bahawa antara peranan beliau sebagai pemimpin Islam khususnya berkaitan menjaga tiga rukun agama iaitu akidah (iman), syariat (Islam) dan akhlak (ihsan).

Pertama, berkaitan akidah: Menurut Jabatan Mufti Negara Jordan dalam kitab akidah terbitan rasmi 2020M berjudul  'Aqidah al-Muslim, mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) dalam akidah Islam ialah al-Asha'irah (atau al-Ash'ariyyah) dan al-Maturidiyyah yang diterima secara besar-besaran oleh ulama Islam lain.

Kitab itu menyatakan mazhab akidah ini mewakili akidah umat Islam salaf dan khalaf sepanjang zaman. Ia adalah akidah yang diambil dari pada Nabi SAW menerusi sahabat, tabiin dan tabi tabiin yang sampai kepada umat Islam hari ini secara murni yang diperteguhkan dengan dalil naqli dan 'aqli. Akidah ini adalah pegangan jumhur (majoriti) umat Islam pada setiap zaman.

Ia selari dengan laporan kajian terkini  The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims  terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman Jordan, tahun 2023M, majoriti umat Islam yakni 81 peratus berpegang dengan ASWJ.

Perinciannya adalah ASWJ (berakidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah; bermazhab fikah Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali) berjumlah 81 peratus, Syiah (berakidah Imam Ithna 'Ashriyyah, Zaidiyyah dan Isma'iliyyah; bermazhab fikah Usuli dan Akhbari) berjumlah 8.55 peratus, Khawarij Ibadiyyah berjumlah 0.45 peratus, Salafi Wahabi lapan peratus dan selebihnya seperti liberal dan lain-lain dua peratus.

Dinyatakan dalam kitab itu juga, para ulama al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah diberi kepercayaan oleh pemimpin dunia Islam untuk membina institusi pendidikan, merangka silibus pengajian, mendidik pelajar, memelihara hukum syariat Islam dan mempertahankan agama Islam yang murni. Antara tokoh pemimpin pendukung mazhab muktabar ini ialah Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal dengan kejayaan membebaskan Palestin dari penjajahan Tentera Salib.

Beliau memberi perhatian khusus dalam usaha menyebarkan mazhab akidah ini. Antaranya ialah, beliau memerintahkan muazzin melaungkan bacaan kitab akidah al-Asha'irah pada waktu al-tasbih  (sebelum azan Subuh) setiap malam. Imam al-Sayuti (m. 911H) menyatakannya menerusi kitabnya  al-Wasa'il ila Ma'rifah al-Awa'il  amalan muazzin itu masih diamalkan sehingga ke zamannya iaitu sekitar 300 tahun lamanya.

Arahan kepada muazzin ini juga disebut oleh Imam al-Maqrizi (m. 845H) dalam kitabnya  al-Mawa'iz wa al-I'tibar bi Dhikr al-Khutat wal-Athar, dan Imam Ibn 'Illan (m. 1057H) dalam kitabnya  al-Futuhat al-Rabbaniyyah 'ala al-Adhkar al-Nawawiyyah. Ia bertujuan supaya rakyatnya berpegang dengan mazhab al-Asha'irah dan menjauhi mazhab Syiah kerajaan Fatimiyyah.

Menurut Imam al-Sayuti juga seperti yang dinukilkan oleh Jabatan Mufti Negara Jordan itu, disebabkan Sultan Salahuddin sangat mengambil berat tentang akidah al-Asha'irah, maka seorang ulama yang bernama al-Sheikh al-Nahwi Muhammad ibn Hibbah telah menulis kitab akidah al-Asha'irah dan menghadiahkan kepadanya. Kemudian kitab yang berjudul  al-'Aqidah al-Salahiyyah  itu diperintahkan agar diajar kepada masyarakat termasuk kanak-kanak di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Prof Dr 'Ali Muhammad al-Sallabi dalam kitabnya  Salah al-Din al-Ayyubi wa Juhuduhu fi al-Qada' 'ala al-Daulah al-Fatimiyyah wa Tahrir Bait al-Maqdis, menyatakan bahawa Sultan Salahuddin sangat memberi perhatian berkenaan dasar akidah Islam berdasarkan fahaman ASWJ. Beliau bersungguh-sungguh memerangi mana-mana fahaman yang bertentangan dengannya. Semua institusi pemikiran dan pendidikan yang dibangunkannya mesti berasaskan fahaman akidah ini.

Kedua, berkaitan syariat: Menurut Imam al-Sayuti seperti yang disebut dalam kitab terbitan Jabatan Mufti itu, Sultan Salahuddin bermazhab fiqah asy-Syafii. Di samping menghafal al-Quran, beliau turut menghafal matan kitab al-Tanbih yakni kitab fikah mazhab asy-Syafii.

Prof Dr 'Ali Muhammad al-Sallabi juga menyatakan bahawa Sultan Salahuddin berusaha menerapkan syariat Islam dalam urusan kenegaraan, menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Usahanya itu mendapat sokongan dari para qadi dan fuqaha. Beliau sangat mengagungkan syiar agama dan membenci golongan yang mengingkari syariat.

Antara institusi pendidikan yang dibangunkan untuk memberi ilmu dalam konteks ini adalah seperti Madrasah al-Salahiyyah, Madrasah al-Masyhad al-Husaini, Madrasah al-Fadiliyyah, Dar al-Hadith al-Kamiliyyah, Madrasah al-Salihiyyah dan lain-lain. Semua institusi ini ada yang memfokuskan satu-satu mazhab sahaja dan ada yang menggunakan silibus fikah empat mazhab seperti Madrasah al-Salihiyyah pada zaman pemerintahan selepas Sultan Salahuddin. Madrasah yang menggunakan silibus mazhab al-Hanbali agak lewat ditubuhkan kerana kekurangan pewaris ilmu Imam Ahmad ibn Hanbal ketika itu.

Menurut Prof al-Sallabi lagi bahawa Sultan Salahuddin mengawasi secara langsung berkaitan usaha menghidupkan kembali ASWJ. Beliau berusaha menjemput dan membawa semula para ulama ASWJ datang ke Mesir. Ini berbeza pada zaman sebelumnya yang mana pemerintah Syiah menghalau dan membunuh para ulama ASWJ.

Ketiga, berkaitan akhlak dan tasawuf: Komitmen Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam menjaga agama dalam konteks ini pernah didedahkan dalam Persidangan Antarabangsa Tasawuf di Kaherah Mesir pada 26 hingga 28 Syawal 1432H. Syeikh Prof Dr Ahmad 'Umar Hashim yang adalah Profesor dalam bidang Hadis di Universiti al-Azhar, Mesir dan pernah menjadi Rektor institusi itu, dalam pembentangannya menjelaskan peristiwa menarik ketika Sultan Salahuddin mahu berangkat untuk membebaskan Bait al-Maqdis Palestin. Beliau ditegur oleh seorang ahli sufi yang soleh: "Pulanglah wahai Salahuddin kerana kamu tidak akan mampu membebaskan al-Quds sehinggalah kamu berjaya membebaskan diri dan hati para pengikutmu dari belenggu hawa nafsu, menyucikannya dari segala kekotoran dan kebencian dengan melakukan dakwah, menghidupkan ibadah malam, berakhlak dengan akhlak yang mulia dan mengeratkan hubungan persaudaraan." 

Sultan Salahuddin menerima teguran itu dan hasilnya, tenteranya menjadi lebih teguh untuk mara dan berjaya menawan semula al-Quds.

Imam Ibn Athir (m. 630H) menyatakan dalam kitabnya  al-Kamil fi al-Tarikh, bahawa Sultan Salahuddin sering menghadiri pertemuan para ahli sufi pada setiap malam Jumaat antaranya untuk melakukan aktiviti berzikir, mendengar nasyid dan memuji Rasulullah SAW. Menurut Prof al-Sallabi, Sultan Salahuddin sangat mengalu-alukan kedatangan para ulama sufi. Antara usaha yang dilakukan ialah dengan membina khanqah iaitu bangunan khas untuk pengamal tarekat sufi. Beliau menukilkan pandangan Imam al-Maqrizi bahawa begitu ramai umat Islam datang ke Mesir bertujuan untuk menyaksikan amalan tarekat sufi ini.

Maka, inilah usaha serius yang telah dilakukan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam menjaga agama. Justeru, para pemimpin khususnya di Malaysia perlu berusaha untuk mencontohi Sultan Salahuddin al-Ayyubi ini untuk memimpin negara tercinta. Di samping itu juga, para pemimpin perlu menghayati Titah Ucapan Sultan Selangor selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-69 di Istana Melawati Putrajaya 6 Mac 2023 ini iaitu:

"...institusi Raja-Raja Melayu yang mewarisi aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan berakidah Imam al-Ash'ari, fiqah bermazhab Imam Syafii dan tasawuf bertarekat Imam al-Ghazali serta adat istiadat, budaya dan keilmuan daripada Melaka terus berkembang, malah berjaya membentuk wajah dan identiti tamadunnya yang tersendiri di dunia. Sesungguhnya, tradisi inilah yang menjadikan acuan dan amalan Islam di negara kita yang amat unik dan istimewa, dan perlu dijadikan pedoman dalam membuat sebarang keputusan penting berkaitan institusi Islam di Malaysia..."

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:01 AM