GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Hasrul Shuhairi 

Seminar Antarabangsa Ahli Sunnah Wal Jamaah: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis 2023 (ASWAJA 2023) telah dianjurkan oleh  Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) Universiti Sultan Zainal Abidin  (UniSZA) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Pusat Pengajian Usuluddin UniSZA, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Majlis Belia Negeri Terengganu dan beberapa persatuan berteraskan Islam dan turath dari dalam dan luar negara. Lebih 400 peserta menyertai seminar yang bertemakan  Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis untuk tahun 2023 ini.

Artikel ini akan menyimpulkan atau meringkaskan beberapa perkara penting yang terdapat dalam seminar ini berdasarkan pembentangan ucaptama oleh Prof Madya Dr Ahmad Bazli Shafie serta enam pembentangan utama yang disampaikan oleh Dr Luqmanul Hakim Darwaman, Maulana Wan Tahir al-Mazahiri, Dr Mohd Khafidz Soroni, Dr H Alvian Iqbal Zahasfan, Dr Abdullaah Jalil dan Dr Muhammad Rashidi Wahab. Kesimpulan semua pembentangan tersebut adalah seperti berikut:

(1) Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) adalah aliran majoriti dan paling dominan dalam sejarah umat Islam yang mengikuti sunnah Nabi SAW dan jemaah para sahabat baginda (ma ana 'alaihi wa ashabi). Manhaj ini dirumuskan dan dikembangkan oleh generasi seterusnya di kalangan salaf dan khalaf yang secara khususnya terdiri daripada tiga golongan utama, iaitu: pertama, al-Asha'irah; kedua, al-Maturidiyyah; ketiga, Ahl al-Hadith al-Mufawwidah (atau disebut juga sebagai al-Hanabilah atau al-Athariyyah).

(2) Pendirian sebenar Islam perspektif ASWJ adalah bersifat al-wasatiyyah wa al-i'tidal iaitu yang 'adil-beradab'. Ia merujuk juga kepada keseimbangan antara inklusif dan eksklusif serta antara terlalu ketat, rigid dan literal (tafrit) dan terlalu longgar (ifraṭ). Pendekatan ini menyeimbangkan antara Qadariyyah dan Jabariyyah, antara golongan Muktazilah dan golongan al-Hashwiyyah serta yang terkini di antara ekstremisme aliran liberalisme atau pluralisme agama dan ekstremisme agama aliran Salafiyyah yang cenderung membidaahkan, menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam dalam perkara khilafiyyah secara melulu.

(3) Manhaj akidah majoriti ulama hadis adalah berpegang dengan manhaj al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah yang menggabungkan pendekatan naqli dan 'aqli. Ketika menggabungkan akal dan naqli tersebut, terdapat ulama yang lebih menggunakan akal, ada yang seimbang dan ada yang lebih menggunakan naqli namun pilihan tersebut tetap tidak mengeluarkan mereka daripada ASWJ. Ini berbeza dengan golongan yang berlebihan menggunakan nas sehingga menjadi seperti Mujassimah dan golongan yang berlebihan menggunakan akal sehingga menjadi seperti Muktazilah. Sebahagian kecil ulama hadis ASWJ lebih memilih manhaj al-Athariyyah, al-Hanabilah atau Ahl al-Hadith al-Mufawwidah.

(4) ASWJ mengisbatkan semua sifat-sifat Allah SWT yang secara umumnya terbahagi kepada muhkamat dan mutashabihat. Ini berbeza dengan golongan selain ASWJ antaranya seperti golongan Mujassimah dan kini Salafiyyah yang mendakwa semua sifat Allah SWT adalah muhkamat sehingga kesannya, menyebabkan nas-nas mutashabihat diberikan makna zahir yang mustahil bagi Allah SWT; dan juga berbeza dengan golongan al-Jahmiyyah atau seumpamanya yang menafikan semua sifat-sifat Allah SWT atau menafikan sifat-sifat mutashabihat.

(5) Manhaj akidah majoriti ulama hadis di Nusantara ialah berpegang dengan akidah ASWJ daripada aliran al-Asha'irah berkenaan sifat-sifat Allah SWT. Mereka menggunakan kedua-dua manhaj atau salah satu daripadanya iaitu tafwid dan takwil ketika berinteraksi dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang kategori sifat al-mutashabihat atau sifat al-khabariyyah. Walaupun sebahagian mereka ada yang lebih mengutamakan manhaj tafwid, namun ia masih dianggap berpegang dengan akidah al-Asha'irah kerana aliran ini mengiktiraf kaedah tafwid dan takwil.

(6) Majoriti tokoh ilmuwan hadis al-Azhar Mesir berpegang dengan manhaj ASWJ sama ada al-Asha'irah, al-Maturidiyyah atau al-Athariyyah (dikenali juga sebagai Hanabilah dan Ahl al-Hadith al-Mufawwidah). Manhaj akidah institusi terkemuka dunia Islam seperti al-Azhar Mesir ini perlu dipertahankan dan dikembangkan secara lebih meluas ‎kepada umat Islam sebagai benteng bagi memperkukuhkan pegangan akidah Islam yang ‎benar menurut fahaman ASWJ yang mengiktiraf aliran al-Asha'irah, al-Maturidiyyah dan Ahl al-Hadith al-Mufawwidah.

(7) Majoriti ilmuwan hadis Deobandi adalah berpegang dengan akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah, fekah mazhab Hanafi dan bertarekat Sufi. Mereka membahagikan sifat-sifat Allah SWT kepada muhkamat dan mutashabihat. Kaedah tafwid kaifiyyat hanya digunakan pada sifat muhkamat manakala kaedah takwil dan tafwid ma'na pula digunakan pada sifat-sifat mutashabihat. ASWJ dalam konteks tertentu terdiri daripada istilah antaranya Mutakallimin, Asha'irah, Maturidiyyah, Hanafiyyah, Fuqaha, Muhaddisin, Syafi'iyyah, Malikiyyah dan Hanbaliyyah.

(8) Majoriti ulama hadis Maghribi juga berpegang dengan akidah aliran al-Asha'irah. Berkenaan sifat-sifat mutashabihat, jumhur salaf termasuk Asha'irah generasi awal menggunakan kaedah tafwid manakala jumhur khalaf termasuk Asha'irah generasi akhir menggunakan kaedah takwil. Ulama hadis Maghribi seperti al-Hafiz Abdullah al-Siddiq al-Ghumari antara ulama yang menggunakan takwil, menolak tashbih dan mengkritik golongan mujassimah yang suka menisbahkan diri mereka kepada salaf.  

(9) Ulama hadis ASWJ tidak berdiam diri apabila berhadapan dengan golongan ekstremis (radikal) khususnya Khawarij sama ada zaman dahulu mahupun kini yang membawa fitnah takfir (mengkafirkan umat Islam), tashbih (menyamakan Allah SWT dengan makhluk) dan tahqir (menghina Rasulullah SAW). Ilmuwan hadis ASWJ pada masa kini perlu memainkan peranan dalam menjernihkan tafsiran dan kefahaman terhadap Sunnah Rasulullah SAW yang sering disalah tafsir oleh golongan ekstremis ini sepertimana yang dilakukan oleh ulama ASWJ yang lalu.

(10) Islam yang sebenar adalah seperti yang dipegang oleh ASWJ yang bersih daripada ekstrem pemikiran iaitu liberalisme dan ekstrem tindakan iaitu radikalisme. Ekstrem pemikiran adalah lebih bahaya melebihi ekstrem tindakan kerana mereka berusaha menghancurkan khazanah (turath), pemikiran dan manhaj umat Islam secara keseluruhan termasuk perkara thawabit (ma'lum min al-din bi al-darurah) dalam Islam. Antara ciri-ciri mereka adalah memperjuangkan hak asasi manusia secara berlebihan, demokrasi berasaskan Barat, kesamarataan gender, kebebasan beragama, dan menolak autoriti mazhab ASWJ.

Sepuluh kesimpulan ini perlu difahami dengan baik agar semua pihak benar-benar memahami tentang manhaj akidah majoriti ahli hadis. Ini kerana, manhaj yang digunakan adalah lebih murni, harmoni dan sesuai untuk semua bangsa dan tamadun dunia sehingga mendorong mereka memeluk Islam tanpa paksaan.

Ia berbeza dengan sebahagian pihak yang mendakwa mewakili pegangan akidah ahli hadis di zaman moden ini, namun mereka hanyalah minoriti bahkan mereka begitu bengis dengan majoriti umat Islam yang lain menerusi modus operandi mereka yang mudah membidaahkan dan mengkafirkan pihak lain dalam perkara cabang atau khilafiyyah agama. Pemikiran mereka tidak sesuai untuk mana-mana tamadun kerana bersikap keras dalam hubungan mereka antara sesama insan. Meskipun jika mereka mempunyai jasa berdebat sehingga mendorong bukan Islam memeluk Islam, namun kemudiannya mereka mengkafirkan pula Muslim yang lain disebabkan perkara khilafiyyah.

Akhirnya, antara keistimewaan utama manhaj akidah majoriti ahli hadis ini adalah bercirikan al-wasatiyyah yakni kesederhanaan atau keseimbangan seperti penggunaan wahyu dan akal yang sejahtera. Di samping kesimpulan yang dinyatakan ini, artikel berikutnya akan menzahirkan beberapa resolusi seminar ASWAJA 2023 ini agar ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 7:00 AM