FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Shahrizal Nasir

Ledakan teknologi semakin hari semakin dirasai oleh semua orang. Tambahan pula apabila banyak pihak mula bercakap tentang Revolusi Perindustrian 4.0 yang menembusi pelbagai sektor termasuk ekonomi, perindustrian, pendidikan dan sebagainya. Setiap orang perlu berdepan dengan perkembangan dunia semasa bahkan dalam beberapa keadaan terpaksa mendepani kerana tiada pilihan.

Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk kemajuan yang boleh membawa faedah dalam kehidupan. Selagi mana setiap kemajuan tidak melanggar ketetapan yang ditentukan oleh syarak maka Islam membuka ruang keharusan mengenainya. Rasulullah SAW pernah menyatakan tentang keterbukaan yang diberikan oleh Islam terhadap perkara berkaitan urusan dunia.

Keharusan yang diberikan itu sebenarnya menunjukkan Islam tidak pernah menyekat kreativiti manusia untuk mengurus kehidupan dunia bersesuaian dengan peredaran zaman. Sabda Baginda SAW bermaksud:  "Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu."  (Hadis riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, dalam hal berkaitan dengan teknologi masa kini beberapa perkara perlu diberi perhatian. Ini khususnya berkaitan hubungan sesama manusia. Ruang berinteraksi sesama insan dilihat semakin terbatas apabila banyak mesin canggih mula mengganti fungsi manusia. Jangan pula ada yang menyalahkan teknologi, sebaliknya ia berkait dengan pilihan kita dalam mencari peluang mengekalkan nilai manusiawi dalam urusan kehidupan.

Kini banyak urusan berlangsung antara diri dengan mesin. Benar, ia adakalanya memudahkan urusan dengan penjimatan masa. Boleh dikatakan segala urusan boleh berlangsung hanya dalam beberapa minit. Jika dahulu kita membeli barang keperluan dengan adanya pekerja kedai yang memberi penerangan namun sekarang semua pembelian boleh dibuat secara dalam talian. Penerangan tentang sesuatu produk dinyatakan dengan jelas malah tersedia soalan pelanggan dengan jawapan yang lengkap.

Dalam bidang pendidikan pula, sekarang pembelajaran lebih kerap dijalankan secara dalam talian. Pelajar boleh duduk di mana sahaja sambil mendengar pengajaran yang disampaikan guru mereka. Pertemuan antara guru dengan murid menjadi terhad. Lebih menyedihkan ada dalam kalangan anak murid yang tidak mengenali gurunya sendiri. Pastinya hal ini menyerlahkan kekurangan yang terdapat di sebalik kecanggihan dunia teknologi semasa.

Hatta di musim Covid-19 sekarang ini pun berlaku perubahan secara drastik melibatkan ruang perhubungan sesama manusia. Jika pada awal dahulu, sekiranya ingin memasuki sesebuah premis maka akan ada orang yang mengambil suhu. Sekarang, rata-rata premis menyediakan mesin khas tanpa bantuan manusia untuk menyukat suhu badan setiap pelanggan. Ada juga pelanggan yang menyukat suhu badan sendiri menggunakan alat yang tersedia di pintu premis. Semuanya atas slogan layan diri.

Inilah suasana semasa yang terjadi dalam dunia teknologi hari ini. Bukan teknologi yang patut dipersalahkan, sebaliknya semua bergantung kepada sikap diri sendiri. Sebenarnya setiap insan saling memerlukan antara satu sama lain. Keterbatasan ruang untuk bersilaturahim dengan sesama manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk setiap orang berpandangan hidupnya mampu beroperasi seperti biasa tanpa bantuan orang lain.

Sikap sebegitu perlu diperbaiki sebelum ia menjadi barah dalam kehidupan bermasyarakat. Setiap orang perlu berusaha mengekalkan nilai manusiawi dalam kehidupan kerana hakikatnya kita tidak mampu hidup secara bersendirian dengan bantuan segala mesin canggih yang dicipta untuk memudahkan urusan.

Di sinilah pentingnya kita kembali mengikut ajaran Islam dalam membugar hubungan akrab sesama manusia. Sebab itu, ajaran Islam menyentuh segenap aspek kehidupan termasuk perkara yang mungkin dianggap kecil oleh sesetengah orang. Contoh paling jelas apabila Islam menyarankan agar manusia sudi mengukir senyuman ikhlas kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  "Senyummu di hadapan saudaramu (sesama Muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu." (Hadis riwayat at-Tirmidzi). Anjuran yang dijelaskan Rasulullah SAW agar mengukir senyuman terhadap sesama Muslim merupakan sesuatu yang mungkin nampak kecil, tetapi sebenarnya memberi impak besar dalam kehidupan bermasyarakat.

Dengan suasana setiap orang menguruskan kehidupan masing-masing dengan pelbagai jenis mesin, maka anjuran Rasulullah SAW agar setiap Muslim mengukir senyuman pada orang lain perlu dipraktikkan. Tidak ada modal berbentuk kewangan yang perlu dibelanjakan untuk melakukan perkara baik tersebut. Ia bergantung sepenuhnya kepada kehendak diri sendiri. Jika diri inginkan kebaikan, maka pilihan untuk melakukan kebaikan seperti mengukir senyuman kepada orang lain perlu dijadikan amalan. Nilai perbuatan baik tersebut dikira sebagai sedekah.

Begitu juga dengan anjuran agar menyebarkan salam sesama Muslim. Amalan saling mendoakan antara satu sama lain menerusi ucapan salam mampu menyemai rasa cinta dan sayang sesama umat Islam. Dalam ucapan salam, setiap Muslim berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan yang berpanjangan dalam kehidupan saudara seagamanya. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu, yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam di antara kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Sebarkanlah salam sesama Muslim sama ada ia seorang yang kita kenali ataupun sebaliknya. Fenomena hari ini, orang hanya memberi salam kepada saudara seislam yang dikenalinya sahaja, sedangkan hal ini tidak menepati tuntutan Islam. Rasulullah SAW pernah diajukan soalan dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Ajaran Islam yang manakah yang paling baik"? Baginda menjawab:  'Kamu memberi makan (orang yang memerlukannya) dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.'(Muttafaq 'alaih)

Amalan memberi salam juga adalah antara amalan ahli syurga. Allah SWT menjelaskan perihal ahli syurga menerusi firman-Nya yang bermaksud:  "Doa ucapan mereka di dalam syurga itu ialah: (Maha Suci Engkau daripada segala kekurangan wahai Tuhan)! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Salam (Selamat sejahtera)! Dan akhir doa mereka ialah: (Segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam)."  (Surah Yunus, ayat 10)

Ungkapan terima kasih juga antara perkara yang perlu dibiasakan bagi mengeratkan hubungan baik sesama insan. Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada sesama insan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang dibuatkan kepadanya kebaikan, lalu dia mengatakan kepada pelakunya: "Jazakallah khairan" (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh dia telah benar-benar meninggikan pujian." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita memperbaiki hubungan sesama manusia. Jangan biarkan kemudahan teknologi mengatur kehidupan kita. Sebaliknya kitalah yang perlu bijak menggunakan segala peralatan teknologi terkini dengan memastikan nilai manusiawi sentiasa mewarnai kehidupan bermasyarakat.  

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 9:17 AM