MENCEGAH kemungkaran adalah satu tugas dakwah yang mesti dipikul oleh setiap Muslim mengikut kapasiti kemampuan masing-masing.
MENCEGAH kemungkaran adalah satu tugas dakwah yang mesti dipikul oleh setiap Muslim mengikut kapasiti kemampuan masing-masing.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab besar dalam dakwah. Kita bukan sahaja perlu menyebarkan keindahan Islam kepada semua manusia agar bersama-sama beriman dengan Allah SWT, bahkan dalam masa sama kita mempunyai tanggungjawab memastikan sesama umat Islam berada pada jalan Islam yang sebenar. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan termasuk golongan Muslim. Allah SWT membuka pintu keampunan-Nya yang amat luas bagi sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Justeru, umat Islam perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dakwah sesama Muslim. Umat Islam perlu menyeru manusia agar melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah mereka daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Kedua-dua tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing. Apabila dikatakan tanggungjawab, pasti ia akan dipersoal nanti di akhirat oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang menjelaskan tanggungjawab menjalankan kerja dakwah, maksudnya:  "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…"  (Surah Ali 'Imran, ayat 110)

Dalam melaksanakan tugas dakwah, mencegah orang daripada melakukan kejahatan lebih mencabar berbanding menyeru mereka melakukan kebaikan. Sesiapa sahaja mampu mengajak orang lain melakukan apa juga kebaikan kerana hakikatnya manusia yang waras tidak akan menolak kebaikan. Bagaimanapun, cabaran yang besar menanti bagi orang yang sedang berusaha mencegah perbuatan mungkar dan maksiat. Sebenarnya orang yang melakukan kesalahan mengetahui bahawa mereka sedang melakukan kesalahan yang dilarang oleh agama, namun mereka nekad untuk melakukannya atas sebab godaan syaitan, tuntutan hawa nafsu, pengaruh sekeliling dan sebagainya. Maka tugas besar menanti orang yang berdepan dengan situasi mencegah berlakunya perbuatan mungkar dan maksiat. Rasulullah SAW bersabda menjelaskan perihal tugas mencegah kemungkaran menerusi sabdanya yang bermaksud:  "Sesiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia merubah (kemungkaran itu) dengan tangannya; jika tidak mampu maka dengan lisannya; jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan yang demikian itu tingkatan iman paling lemah." -  (Hadis riwayat Muslim). Hadis tersebut memberi penjelasan bahawa tugas mencegah kemungkaran merupakan satu tugas dakwah yang mesti dipikul setiap Muslim mengikut kapasiti kemampuan masing-masing. Islam tidak sekali-kali memberati umatnya dengan sesuatu perkara di luar kemampuan untuk dilaksanakan. Justeru, dalam hal mencegah kemungkaran, Islam meletakkan peringkat-peringkat kaedah untuk membasmi kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing. Setiap daripada kalangan umat Islam mempunyai kemampuan yang tersendiri. Seorang bapa mempunyai kuasa untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh anaknya sendiri. Seorang ketua mempunyai kuasa untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh anak buah di bawah tanggungjawabnya. Seorang guru bertanggungjawab untuk menegur kesalahan yang dilakukan oleh anak muridnya. Namun, bagi mereka yang berdepan dengan situasi kemungkaran berlaku di depan matanya dalam keadaan dia tidak mempunyai kuasa untuk mencegahnya, maka peluang untuk mencegah dengan lisan masih terbuka. Nasihat yang baik boleh diberikan agar si pelaku kemungkaran dapat segera memperbaiki kesalahan yang dilakukannya. Islam membuka jalan yang sangat luas dalam bab nasihat sesama insan. Setiap Muslim perlu bijak memanfaatkan situasi sekeliling ketika berusaha mencegah kemungkaran dengan lisan. Kerja dakwah memerlukan kebijaksanaan dan bukan kekerasan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."  - (Surah an-Nahl, ayat 125). Keperluan melakukan usaha dakwah bagi tujuan mencegah kemungkaran ini menunjukkan betapa Islam menitikberatkan soal kasih sayang sesama Muslim. Setiap Muslim adalah bersaudara dan ikatan persaudaraan ini tidak sekali-kali dapat membiarkan saudara seagamanya hanyut dalam dosa dan kemungkaran. Orang yang tidak berusaha mencegah kemungkaran yang disaksikannya sendiri dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka boleh jadi dia menerima kemurkaan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Hendaklah kalian menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran atau kalau tidak, hampir sahaja Allah menurunkan azab-Nya ke atas kalian, kemudian kalian berdoa kepada-Nya, namun doa kalian tidak dimakbulkan." -  (Hadis riwayat Ahmad). Berdasarkan pemahaman dan keyakinan bahawa Allah SWT akan mengampuni setiap dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya dengan syarat segera bertaubat kepada-Nya, maka setiap Muslim perlu berusaha untuk memastikan saudara seagamanya mendapat keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya kasih sayang yang diterapkan dalam diri setiap Muslim perlu dizahirkan menerusi usaha mencegah kemungkaran bagi menyelamatkan diri serta kaum Muslimin yang lain daripada terjerumus ke dalam neraka.Bagi golongan yang berada pada jalan dakwah khususnya dalam usaha mencegah kemungkaran, pastinya ada seribu satu cabaran dan rintangan. Antara sifat pendakwah ialah sentiasa sabar dalam mengharungi cabaran berdakwah. Hal ini sepertimana peringatan Luqman kepada anaknya yang dirakamkan dalam al-Quran bermaksud:  "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu..."  - (Surah Luqman, ayat 17). Rasulullah SAW seorang insan istimewa di sisi Allah SWT, namun baginda juga merasai dugaan dan cabaran hebat sebagai seorang yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Baginda SAW juga berdepan dengan musuh yang inginkan baginda dan dakwah Islam terkubur. Nyawa, harta dan jasad baginda SAW juga menjadi gadaian untuk memastikan dakwah Islam terus tersebar. Baginda terus istiqamah melaksanakan tanggungjawab menyeru manusia berbuat kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Inilah tugas para rasul yang perlu kita teruskan. Mulakan usaha dakwah dalam ahli keluarga dahulu sebelum melibatkan masyarakat awam. Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan diri dan ahli keluarga terselamat daripada neraka dan azabnya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran mengingatkan kita tentang hal tersebut:  "Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka…"  (Surah at-Tahrim, ayat 6)


Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:01 AM