PERBANYAKAN membaca dan memahami kandungan al-Quran sebagai landasan berdepan pelbagai dugaan. FOTO Arkib NSTP
PERBANYAKAN membaca dan memahami kandungan al-Quran sebagai landasan berdepan pelbagai dugaan. FOTO Arkib NSTP
Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini terdapat soalan daripada orang awam berhubung pandangan atau dakwaan kononnya tidak lama lagi Dajjal akan muncul dan ketika itu tidak terdapat apa-apa makanan. 

Mereka menyarankan orang ramai untuk membuat persediaan dengan menyimpan makanan secukupnya. Bagaimanakah status hadis ini dan apakah ia wujud?

Alhamdulillah, hadis berkenaan ketiadaan makanan ketika munculnya Dajjal diriwayatkan oleh  Ibn Majah dalam Sunannya daripada Abu Umamah.   

Riwayat Ibn Majah ini berstatus daif, namun ia memiliki riwayat lain yang menjadi penguat sehingga hadis berkenaan suasana kelaparan yang berlaku ketika munculnya Dajjal ini berstatus hasan li ghairihi. 

Namun, harus diingatkan bahawa hadis ini dengan jelas menyebut berkaitan makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. 

Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila berlaku kiamat dan tanda-tanda kiamat. 

Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan ketakutan dalam kalangan masyarakat. Umat Islam dianjurkan sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam hidup. Antara anjuran Nabi SAW untuk berhadapan dengan Dajjal ialah dengan membanyakkan membaca dan menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi. 

Huraian jawapan

Hadis berkenaan ketiadaan makanan ketika munculnya Dajjal diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunannya daripada Abu Umamah bermaksud:  "Sesungguhnya sebelum keluarnya Dajal terdapat 3 tahun yang sukar. Manusia akan ditimpa dengan kelaparan yang dahsyat. Allah memerintahkan langit pada tahun yang pertama untuk menahan 1/3 dari hujan dan Allah SWT memerintahkan bumi untuk menahan 1/3 dari tumbuh-tumbuhan lalu Allah memerintahkan langit pada tahun yang kedua untuk menahan 2/3 dari air hujan dan menyuruh bumi untuk menahan 2/3 dari tumbuhan.  Kemudian Allah memerintahkan langit pada tahun yang ketiga untuk menahan semua air hujan sehingga tiada setitis air hujan dan menyuruh bumi untuk menahan keseluruhan tumbuhan maka tidak ada tumbuhan hijau yang tumbuh. Tidak adalah sesuatu yang memiliki kuku melainkan binasa kecuali mereka yang diinginkan oleh Allah. Lalu ditanya: "Bagaimanakah manusia akan hidup pada waktu itu?" Nabi bersabda: "Dengan tahlil, tasbih, tahmid dan semua itu akan menjadi seperti makanan buat mereka." (Riwayat Ibn Majah)

Ibn Majah kemudian meriwayatkan bahawa Abdul Rahman al-Muharibi berkata maksudnya: "Selayaknya hadis ini diberikan kepada guru sehingga mereka boleh ajarkan kepada kanak-kanak di sekolah."

Perkataan Abdul Rahman al-Muharibi ini menunjukkan kepentingan hadis ini dalam menyifatkan suasana huru-hara hari kiamat. 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ali bin Muhammad daripada Abdul Rahman al-Muharibi daripada Ismail bin Rafi' daripada Abu Zura'ah al-Saibani daripada Abu Umamah. Bagaimanapun, riwayat Ibn Majah ini daif kerana perawi bernama Abu Zura'ah al-Saibani tidak pernah bertemu Abu Umamah di samping perawi bernama Ismail bin Rafi' adalah perawi yang lemah. 

Imam Ahmad menyatakan beliau sebagai lemah dalam hadis, manakala Imam al-Nasai menyebutkan beliau sebagai matruk al-hadis (ditinggalkan hadisnya). 

Dalam riwayat Ahmad pula disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menceritakan berkenaan kesukaran yang berlaku ketika turunnya Dajjal lalu sahabat bertanya: "Apakah harta yang paling bernilai ketika itu?" Sabda Nabi: "Kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan kesukaran memberikan keluarganya air, adapun makanan maka tidak ada makanan ketika itu." sahabat bertanya lagi: "Apakah makanan bagi orang beriman ketika itu?" Sabda Nabi: "Tasbih, taqdis, tahmid dan tahlil." Berkata Aisyah: "Dimanakah bangsa arab ketika itu?" Jawab Nabi: "Bangsa Arab ketika itu sedikit." (Riwayat Ahmad)

Selain itu, ada beberapa riwayat lain yang menyebutkan berkenaan suasana kelaparan yang berlaku ketika mana munculnya Dajal. Antara yang meriwayatkannya ialah: al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Tabrani dalam Mu'jamnya. 

Semua riwayat ini menjadi penguat kepada riwayat Ibn Majah sehingga hadis berkenaan perkara ini dinilai sebagai hasan li ghairihi. 

Dalam menerangkan makna hadis ini Imam al-Munawi berkata bahawa zikir-zikir terbabit akan menggantikan makanan bagi orang beriman sebagaimana pakaian yang melindungi seseorang dari kepanasan [4]. Harus diingatkan hadis ini dengan jelas menyebut bahawa ketika tiba saat itu tidak ada makanan bagi orang beriman melainkan zikir. 

Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila berlaku kiamat dan tanda-tandanya secara pasti. Menetapkan kiamat dan tanda-tandanya pada waktu tertentu adalah menyalahi konsep dalam memahami hadis akhir zaman. 

Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah menyebutkan bahawa perkara yang perlu diingatkan ialah apa sahaja yang disampaikan baginda Nabi SAW adalah benar. Namun, menetapkan bila berlaku kiamat memerlukan kepada riwayat yang sahih. Tidak ada yang mengetahui bila berlaku kiamat. Riwayat hanya menyebut bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat, namun tidak ada yang tahu Jumaat yang mana akan berlaku kiamat. Begitu juga dengan tanda-tanda kiamat, tidak ada seorang pun yang mengetahui bila tanda-tanda itu akan muncul[5].

Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan ketakutan kepada masyarakat awam. Orang beriman sentiasa disuruh untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku dalam hidup. Bila berlaku tahun-tahun kelaparan terbabit hanya Allah yang Maha mengetahui. Apa yang pasti, pada saat itu tiba Nabi SAW memberitahu bahawa makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. Nabi SAW mengajarkan kepada umat membuat persiapan untuk menghadapi Dajjal dengan cara menghafal dan menghayati 10 ayat awal daripada surah al-Kahfi. Sabda Nabi SAW maksudnya:  "Siapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara dari (fitnah) Dajjal." (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa dalam riwayat yang lain menyebut 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi. Dikatakan bahawa sebab 10 ayat ini diberi keistimewaan oleh Allah SWT kerana padanya terdapat keajaiban dan tanda-tanda. Siapa yang menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir surah al-Kahfi maka dia tidak akan tergugat dengan fitnah Dajjal.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:00 AM