SESIAPA  yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal.
SESIAPA yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal.
Muhammad Saufi Hassan


Umat Nabi Muhammad SAW menerima pelbagai kelebihan oleh Allah SWT berbanding dengan umat-umat nabi lain namun, umat akhir zaman ini perlu menghadapi satu bentuk fitnah yang paling dahsyat iaitu fitnah Dajal.

Fitnah Dajal adalah fitnah yang paling besar pernah berlaku di atas muka bumi ini sejak terciptanya Nabi Adam AS sehingga kepada Hari Kiamat.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada wujud manusia sejak Nabi Adam diciptakan hingga terjadinya kiamat yang lebih besar daripada fitnah Dajal." (Hadis Riwayat Muslim, No 5239)

Ini kerana Dajal akan menawarkan perkara-perkara yang diingini manusia yang pada waktu itu manusia dalam keadaan serba kekurangan seperti makanan dan minuman.

Maka pada waktu itu Dajal akan menghidupkan pokok yang mati serta menurunkan hujan dengan izin Allah. Mereka yang mematuhi perintah Dajal akan diberikan ganjaran olehnya dengan dimasukkan ke dalam syurga dan sesiapa yang mengingkarinya akan dimasukkan dalam neraka.

Hakikat kebenaran neraka di sisi pandangan Dajal adalah syurga dan syurga adalah neraka. Begitulah besar dan dahsyatnya fitnah Dajal ini.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Sungguh aku tahu apa yang ada bersama Dajal, bersamanya ada dua sungai mengalir. Salah satunya secara pandangan mata kasar berupa air putih dan yang lainnya secara mata kasar berupa api yang bergejolak. Bila ada yang menjumpainya, hendaklah mendatangi syurga yang ia lihat berupa api dan hendaklah menutup mata, kemudian hendaklah menundukkan kepala lalu meminumnya kerana sesungguhnya itu adalah air dingin. Sesungguhnya Dajal buta matanya, di atas matanya ada kulit tebal, antara kedua matanya tertulis kafir yang boleh dibaca oleh setiap Mukmin yang boleh membaca atau pun tidak." (Hadis Riwayat Muslim, No 5223)

Ketika fitnah itu berlaku, hanya Allah tempat bergantung dan bersandar kerana hanya Allah Yang Maha Kuasa.

Baginda SAW mengajarkan kepada kita supaya meminta perlindungan daripada beberapa perkara yang sangat besar.

Rasulullah SAW bersabda: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al Masihi Dajal dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan dosa dan hutang." (Hadis Riwayat Bukhari, No 789)

Baginda SAW mengajarkan kepada kita waktu terbaik untuk kita meminta perlindungan daripada fitnah Dajal adalah selepas kita membaca tahiyyat akhir dan sebelum salam.

Kita juga sangat digalakkan untuk membaca dan menghafal 10 ayat.

Sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal." (Hadis Riwayat Muslim, No 1342)

Dalam riwayat yang lain sabda Baginda Rasulullah: "Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah Al-Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajal." (Hadis Riwayat Abu Daud, No 3765)

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.

Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan lagi keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah daripada fitnah Dajal.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 7:00 AM