SETIAP umat Islam sepatutnya bermuhasabah untuk menilai prestasi diri dalam mengamalkan ajaran Islam.
SETIAP umat Islam sepatutnya bermuhasabah untuk menilai prestasi diri dalam mengamalkan ajaran Islam.

Prof Madya Dr Azri Bhari

MASA berlalu begitu pantas, tanpa disedari hari demi hari berlalu, minggu, bulan dan tahun bergantian. Tahun 2023 bakal melabuhkan tirai untuk memberi laluan kepada 2024 yang bakal mewarnai kehidupan manusia.

Setahun melalui 2023 bermakna sudah 365 hari atau 8,760 jam atau 525,600 minit masa kehidupan yang diberi peluang kepada setiap manusia untuk mengisi dengan pelbagai aktiviti dan program.

Lazimnya, manusia ghairah dan teruja menyambut kedatangan tahun baharu dengan menghitung detik jam pada pukul 12 tengah malam yang menandakan masuk tahun berlainan sama ada di rumah masing-masing atau perhimpunan beramai-ramai.

Setiap individu pasti bercita-cita dan menaruh harapan besar agar tahun yang akan datang menjanjikan sesuatu yang lebih baik dan sempurna dalam kehidupan bakal dikecapi serta dinikmati.

Sewajarnya, masyarakat Islam bukan sekadar menanti dan menyambut kedatangan tahun baharu sahaja, tetapi perlu mengambil peluang untuk melakukan muhasahah tentang pencapaian dan kekurangan diri.

Sebaik-baiknya, muhasabah atau merenung diri untuk menilai segala amalan sepanjang 2023 yang dilaksanakan tergolong sama ada dalam kategori amalan baik atau buruk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang dikerjakannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Hasyr: 18)

Peredaran dan penggantian tahun mengingatkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda kamu sebelum datangnya masa tua, masa sihat sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin, masa lapang sebelum hadirnya masa sibuk dan masa hidup sebelum datangnya masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Antara kebaikan muhasabah ialah dapat membantu seseorang peka menyedari kelebihan dan kekurangan diri dengan segera dan berusaha membaiki diri serta melakukan penambahbaikan.

Seterusnya, melalui muhasabah masyarakat Islam dapat merancang kehidupan dengan lebih teratur dan sistematik yang perlu dilazimi oleh setiap orang sama ada pemimpin, majikan, suami, isteri, anak dan sebagainya.

Muhasabah bermaksud perbuatan menilai dan meninjau perasaan diri sendiri. Selain itu, muhasabah juga bermaksud membuat perhitungan terhadap diri sendiri ketika berada di dunia sebelum datangnya hari perhitungan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka sesungguhnya Kami akan tanyakan umat yang telah diutus rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan tanyakan (pula) rasul (Kami)." (Surah al-A'raf: 6)

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun daripada keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah)." (Surah al-Haaqqah: 18)

Ayat di atas menyebut tentang muhasabah di hadapan Allah SWT agar setiap manusia mempersiapkan jawapan supaya selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia ini sebelum ditanya di akhirat nanti.

Perancangan perkara kebajikan yang hendak diamalkan pada masa depan sebagai bekalan di akhirat kelak perlu disusun dan dirangka dengan baik supaya matlamat menduduki syurga Allah SWT tercapai selari dengan tujuan penciptaan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dzariyat: 56)

Seterusnya, Nabi SAW berpesan supaya mengamalkan doa kekal dalam melakukan kebaikan melalui hadis yang bermaksud: "Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu." (Riwayat Imam Ahmad)

Perlu diingatkan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara seumpama seorang musafir yang hanya transit atau singgah seketika untuk sampai ke destinasi sebenar.

Kematian tidak mengenal usia dan kedudukan, bahkan boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu, masyarakat Islam perlu bermuhasabah untuk mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menjelang kematian.

Perancangan dan persediaan dalam melakukan kebaikan adalah sangat penting bagi setiap masyarakat Islam kerana peluang hidup di dunia hanyalah sekali sahaja dikurniakan oleh Allah SWT.

Terdapat banyak rakaman kisah penyesalan orang yang kafir dalam al-Quran sebagai panduan dan iktibar setelah mengingkari peringatan daripada nabi dan rasul. Namun penyesalan tersebut tidak berguna lagi kerana sudah terlambat.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata melalui ungkapan masyhur yang bermaksud: "Hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah pada hari akhirat kelak."

Kesan tiada muhasabah menyebabkan seseorang tidak akan menyedari kesalahan dan kelemahan diri serta berterusan melakukan kesalahan dan kesilapan berulang kali. Akhirnya, melahirkan seseorang bersikap ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri.

Demikianlah, amalan muhasabah dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan ibadah seseorang. Melalui amalan muhasabah seseorang dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan bagi memperbaharui azam setiap kali menjelang tahun baharu.

Muhasabah atau penilaian terhadap kejayaan dan kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu perkara dapat memberi signifikan yang sangat besar untuk menjadikan azam tahun baharu lebih realistik serta objektif.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 5:59 AM