TADARUS al-Quran sesuatu yang amat dituntut sepanjang Ramadan.
TADARUS al-Quran sesuatu yang amat dituntut sepanjang Ramadan.
BERSAMA Dr Mohd Sukri Hanapi

Kini umat Islam sedang bersiap sedia untuk menjadi tetamu Ramadan al-Mubarak 1444H. Bagi tetamu Ramadan, setiap kali dengan ketibaan bulan berkenaan, mereka sangat teruja untuk menjalani program tarbiah yang terdapat dalam bulan mulia itu. Antara program tarbiah Ramadan ialah berpuasa selama sebulan (wajib), bangun bersahur setiap hari, menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus al-Quran secara istiqamah dan perbanyakkan sedekah.

Sehubungan itu, eloklah kiranya bagi tetamu Ramadan bermuhasabah apakah dengan menjalani ibadah puasa sebulan itu mereka dapat merasai kesan tarbiahnya? Jika mereka dapat merasai kesannya, apakah pula kesannya itu?

Paling tidak, terdapat enam kesan yang dapat dilihat dalam kehidupan umat Islam selepas mereka menjalani ibadah puasa Ramadan. Keenam-enam kesan ini pula adalah petunjuk prestasi utama (KPI) umat Islam hasil daripada tarbiah Ramadan yang mereka terima.

Pertama, jiwa mereka bertambah kuat. Dalam hidup, manusia sering didominasi oleh hawa nafsunya. Dengan itu, manusia mudah menuruti apa saja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu adalah sesuatu yang tidak baik dan mengganggu serta merugikan orang lain.

Oleh sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa nafsu. Perangi di sini bermaksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan langsung terhadap sesuatu yang bersifat keduniaan.

Sekiranya dalam peperangan memerangi hawa nafsu ini manusia mengalami kekalahan, tidak mustahil mereka akan mengalihkan pengabdiaannya iaitu daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Masalah ini ada dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jathiyah ayat 23)

Kedua, mereka sentiasa menginginkan perkara kebaikan dan tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Dengan berpuasa seseorang insan itu dididik supaya sentiasa memiliki keinginan yang tinggi kepada kebaikan, walaupun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh pelbagai halangan atau kesukaran. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar.

Dengan kata lain, ibadah puasa akan menguatkan aspek kerohanian seseorang Muslim. Dengan adanya kekuatan rohani, seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun mencapai kejayaan atau kenikmatan dunia. Di samping itu, kekuatan rohani juga akan membuat seseorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun diuji dengan ujian yang sangat berat.

Ketiga, aspek jasmani atau tubuh badan umat Islam menjadi semakin sihat dan kuat. Di samping kekuatan rohani, puasa juga akan memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani. Perkara ini bukan saja dinyatakan oleh Rasulullah SAW, malah dibuktikan oleh doktor atau pakar perubatan. Misalnya, Dr Shahid Athar dalam laporan mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di Casablanca pada 1994 memperakukan puasa Ramadan daripada sudut sains dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Keempat, seseorang Muslim akan mudah bersyukur dengan kenikmatan yang diperolehnya. Dalam hidup ini, sebenarnya sudah terlalu banyak kenikmatan yang Allah SWT kurniakan kepada manusia, tapi ramai pula dalam kalangan manusia yang tidak pandai mensyukurinya.

Jika seseorang manusia itu memperhatikan dan menilai segala kenikmatan yang telah diperolehnya, sebenarnya dia sudah sangat beruntung berbanding orang lain yang tidak memperoleh sesuatu seperti diperoleh olehnya ataupun orang lain memperoleh sesuatu dengan penuh kesukaran berbanding dengan dirinya.

Kelima, seseorang Muslim akan sentiasa mengingati dan berasakan penderitaan yang ditanggung orang lain. Berasa lapar dan dahaga juga memberikan keinsafan kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di sesetengah tempat yang tidak mencukupi bekalan makanan dan minumannya.

Daripada itulah puasa akan mendidik kita supaya sentiasa bersimpati kepada umat Islam lain yang sedang berdepan dengan pelbagai penderitaan. Ada yang sehingga kini belum selesai seperti penderitaan umat Islam di Syria, Palestin dan Rohingnya.

Keenam, seseorang Muslim sentiasa berada pada tahap membanggakan meskipun berada pada bulan selain Ramadan. Maksudnya, mereka terus menerus (istiqamah) melakukan amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan seperti terus bertadarus al-Quran, tidak tinggalkan solat malam, perbanyakkan solat sunat, sentiasa memberikan sedekah dan membantu golongan yang tidak berkemampuan, sentiasa berzikir, sentiasa menjaga lidah, mata dan telinga, berpuasa sunat Syawal, berpuasa hari Isnin dan Khamis serta amal kebajikan lain.

Amat diyakini dengan cara sebegini seseorang Muslim itu dapat mengekalkan momentum kebaikan dan perubahan yang diperoleh hasil daripada pentarbiahan Ramadan.

Kesimpulannya, dengan adanya keenam-enam kesan ini pada diri setiap umat Islam, sudah cukup untuk menilai secara kualitatif prestasi dan kejayaan yang dicapai oleh mereka hasil daripada pendidikan Ramadan selama sebulan.

Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:01 AM