PELAJAR Rokiah Daud,71 tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran Braille di kelas mengaji Al Fitrah Foundation sempena Ramadan. FOTO BERNAMA
PELAJAR Rokiah Daud,71 tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran Braille di kelas mengaji Al Fitrah Foundation sempena Ramadan. FOTO BERNAMA
Datuk Mohd Ajib Ismail

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia kini berada dalam minggu kedua Ramadan al-Mubarak. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan berpuasa bagi umat Islam dengan mengawal diri daripada melakukan segala perbuatan yang ditegah ketika menunaikan ibadah itu. Golongan yang berpuasa wajib memastikan kesempurnaan dan memelihara fadilat puasa dengan meninggalkan perkara sia-sia dan perkataan keji. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: "Sesiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan amalan keji, Allah tidak berhajat pada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya."

Dalam hal tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan Imam al-Baidhawi yang menjelaskan tujuan asal pensyariatan puasa itu bukanlah hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga malah turut menahan diri daripada hawa nafsu serta syahwat. Sekiranya dengan berpuasa itu tidak dapat menghindarkan diri daripada perkara berkenaan maka Allah SWT tidak akan menerima amalannya.

Ibadat puasa adalah madrasah tarbiah yang berupaya membentuk dan melentur pekerti bagi mencapai matlamat tertinggi ibadah berkenaan iaitu mencapai darjat ketakwaan di sisi Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."

Ramadan sewajarnya menjadi pemangkin untuk seseorang melaksanakan islah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ibadah, akhlak dan hubungan sesama manusia. Islah bermaksud memperbaiki ke arah kebaikan, bermula dengan diri sendiri sehingga merubah keadaan masyarakat serta negara kepada yang lebih baik. Tuntutan terpenting dalam agenda islah adalah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan perkara yang makruf dan menjauhi segala bentuk kemungkaran. Justeru islah memerlukan pengorbanan yang besar kerana berlawanan dengan kecenderungan hawa nafsu dan tabiat yang selesa dengan perbuatan dosa. Tidak dinafikan usaha untuk melawan dan mengawal hawa nafsu adalah perkara yang sukar dilakukan serta memerlukan jihad dan kesungguhan agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu adalah dengan melazimi amalan kebajikan dan mendekatkan hubungan dengan Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran pada Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: "Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha memperbaiki amalannya."

Seruan untuk melakukan islah berbekalkan kesungguhan yang jitu ditegaskan dalam al-Quran Surah Hud ayat 88 bermaksud: "Nabi Syuaib berkata: 'Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu jika aku berdasarkan bukti yang nyata daripada Tuhanku dan Dia pula mengurniakan aku pangkat nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri daripada melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali."

Dalam mentafsirkan ayat itu, Sayyid Qutb menjelaskan tentang maksud islah iaitu melakukan kebaikan umum untuk kesejahteraan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu serta kelompok masyarakat; walaupun sesetengah orang menyangka akibat mengikut dasar akidah dan mematuhi prinsip akhlak akan menghilangkan sebahagian keuntungan peribadi dan peluang yang baik.

Golongan yang beriman sedaya upaya melaksanakan pelbagai usaha dan agenda islah atau perubahan demi kemajuan diri, masyarakat dan negara sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Perkara itu selaras dengan pandangan Imam al-Ghazali yang menegaskan bahawa usaha tajdid perlu dimulakan dengan perubahan dalam diri insan itu sendiri serta melaksanakan pembaharuan berasaskan penghayatan kepada ajaran Islam sebenar.

Mengambil semangat daripada tuntutan melakukan islah khususnya ketika Ramadan, marilah kita bersegera dalam melaksanakan amalan kebajikan serta menjauhi sifat bertangguh-tangguh dalam melaksanakan pekerjaan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia agar bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapatkan keampunan dan balasan syurga. Perlumbaan yang digalakkan oleh Islam ialah perlumbaan dalam melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Dalam hal tersebut, Allah SWT menggambarkan sifat Nabi Zakaria melalui firman-Nya di dalam Surah al-Anbiya ayat 90 yang bermaksud: "Maka Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami." Namun begitu, Ramadan juga tidak sepatutnya menjadi satu-satunya bulan untuk umat Islam berpesta ibadat, tetapi sebaliknya bulan bagi melipatgandakan amalan yang memang sudah dilakukan pada bulan yang lain.

Bagaimanapun bukan juga menjadi suatu kesalahan untuk seseorang memanfaatkan kehadiran Ramadan agar menjadi detik perubahan dalam kehidupannya untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 7:01 AM