HAYATI Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat.
HAYATI Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat.
Dr Mohd Hamidi Ismail

SETELAH beberapa hari umat Islam menadah tangan berdoa qunut dalam solat sunat Witir mereka selepas solat Tarawih, menandakan kita sedang memasuki fasa pertengahan Ramadan dan terus-menerus menghampiri pengakhirannya.

Sebagai orang Islam yang menghayati ibadat puasa, kita pasti ingin meraih ketakwaan melalui ibadat itu sebagaimana disarankan oleh firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas umat sebelum kalian, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa."

Bagi meraih ketakwaan itu, kita mesti mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan takwa dan bagaimana perolehannya melalui berpuasa pada Ramadan.

Dalam al-Quran, perkataan 'takwa' disebutkan lebih 200 kali. Ia sifat paling banyak diperkatakan di dalam kitab suci itu berbanding sifat mulia yang lain, malah 'takwa' menjadi sifat pertama disebutkan di dalam al-Quran iaitu 'al-muttaqin' (orang yang bertakwa) pada ayat 2 Surah al-Baqarah. Keistimewaan yang diberikan oleh al-Quran kepada sifat takwa menandakan ia adalah pencapaian tertinggi bagi setiap Mukmin. Perkara ini diperakukan oleh Nabi SAW melalui sabda baginda 'tiada kelebihan ke atas orang berbangsa Arab di atas orang berbangsa ajam (selain Arab) melainkan takwa.' Hadis Riwayat Ahmad

Menjelaskan makna takwa, sekurang-kurangnya terdapat lima makna terpilih daripada pemaknaannya di dalam al-Quran.

  • Pertama, takwa bermakna tauhid dan iman berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Fath ayat 26.

    Kedua, dengan makna ikhlas pada ayat 32 Surah al-Hajj.

  • Ketiga, dengan makla taat dan ibadah pada ayat 106 Surah al-Shu'araa ayat 106.
  • Keempat, dengan makna takut (khashyah) pada ayat 131 Surah al-Nisa'.
  • Kelima, dengan makna meninggalkan maksiat pada ayat 189 Surah al-Baqarah.

    Semua makna takwa yang disebutkan itu mencakupi segala kebaikan dan kemuliaan mesti ada pada hamba Allah yang beriman.

    Oleh kerana itu Allah menyuruh mereka bertakwa seoptimumnya melalui firmanNya 'Bertakwalah kalian kepada Allah dengan kemampuan kalian, dengarlah dan taatlah, bersedekahlah kerana ia baik untuk diri kalian." Surah al-Taghabun ayat 16

    Puasa adalah ibadat yang termasuk dalam ketaatan diperintahkan. Bagaimana dengan berpuasa seseorang dapat meraih takwa adalah dengan mematuhi segala garis panduan dan tujuan yang diberikan oleh syarak.

    Pada masa sama, dia mesti menghayati kelebihan ibadat puasa bagi menjadikan hatinya mudah dan tertarik melaksanakan ibadat berkenaan. Antara penghayatannya ialah mentadabur ayat pensyariatan puasa ke atas umat Islam.

    Dalam Surah al-Baqarah ayat 183 Allah SWT menggunakan perkataan 'la'allakum' dengan terjemahan 'supaya kalian' bagi menjelaskan objektif ibadat puasa. Di sisi ulama, perkataan 'la'alla' pada ayat itu mempunyai tiga fungsi.

  • Pertama, mengaitkan (ta'lil) ibadat puasa dengan keberhasilan takwa.
  • Kedua, mengangkat (tansib) ketakwaan seseorangmelalui ibadat puasa.
  • Ketiga, mengharapkan (turja) takwa terhasil dengan berpuasa. Jika disepadukan ketiga-tiga fungsi ini bagi menjelaskan keutamaan puasa, ia hanya menatijahkan bahawa ibadat puasa menjamin perolehan takwa apabila ibadat itu dilaksanakan mengikut syarat dan tujuannya.

    Seorang ilmuwan tafsir al-Quran terkenal, Shaykh Muhammad al-Amin al-Harari menjelaskan di dalam karyanya, 'Tafsir Hada'iq al-Rawh wa al-Rayhan', apabila ayat 183 Surah al-Baqarah itu ditadabur dan dihayati, ia menjelaskan bagaimana seseorang yang berjaya menahan keinginan nafsu makan dan hubungan kelamin, dia pasti akan berjaya menahan keinginan nafsu lain kerana nafsu makan serta hubungan kelamin adalah nafsu yang paling sukar ditangani manusia. Ia asas tarbiah diri bagi mengekang segala kejahatan hawa nafsu yang membinasakan manusia. Apabila hawa nafsu itu dapat dikawal maka hati dan akal manusia terbuka untuk menerima petunjuk serta hidayah daripada Allah SWT. Pada ketika itu, mereka mudah dan gemar melaksanakan ibadat serta ketaatan kepada Allah SWT. Demikianlah ciri-ciri orang yang bertakwa.

    Memperkenalkan siapakah orang yang bertakwa, Ali bin Abi Talib RA menyatakan mereka hanya takut kepada Rabb al-Jalil (Tuhan Yang Maha Mulia), beramal dengan tanzil (al-Quran), qanaah (berpada) dengan sedikit dan bersedia menghadapi yaum al-rahil (hari perpindahan) atau kematian.

    Penulis Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:59 AM