SEWAKTU kita masih sihat kita gunakanlah sebaik mungkin untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam bulan Ramadan.
SEWAKTU kita masih sihat kita gunakanlah sebaik mungkin untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam bulan Ramadan.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Wahai Allah, sampaikanlah usia kami ke dalam bulan Ramadan, dan wahai Allah, sejahterakanlah kami sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagi kami dan terimalah daripada kami (ibadat pada bulan itu)." Doa yang acapkali diulang-ulang sejak kedatangan bulan Rejab hingga memasuki Ramadan. Ini juga sebagai manifestasi pengharapan seorang hamba kepada Allah SWT yang mendambakan hajatnya untuk menikmati segala ganjaran yang hebat dan berlipat ganda dikabulkan. Semangat berkobar-kobar untuk menemukan penghulu segala bulan bagaikan menantikan sang kekasih membawa habuan hebat yang datang dari jauh.

Jemputan istimewa memasuki bulan Ramadan yang mulia dikhususkan kepada orang yang beriman. Ini jelas disebutkan dalam permulaan ayat berkaitan kewajipan berpuasa. Allah menyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu  agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 183). Sejarah menunjukkan bahawa Allah SWT mensyariatkan ibadah berpuasa pada tahun kedua hijrah ketika para sahabat dan kaum Muslimin telah berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Mengapakah iman merupakan pra-syarat untuk merasai nikmat berpuasa? Ini kerana bukan semua orang yang menggelarkan diri mereka seorang Muslim dapat merasai dan menjiwai erti sebenar as-Saum atau berpuasa, melainkan mereka benar-benar beriman dengan ketetapan dan kefarduan yang termaktub dalam al-Quran. Sebab itu kita melihat dalam bulan puasa ada saja kes orang Islam yang tidak berpuasa dan dengan beraninya mereka makan dan minum di khalayak ramai tanpa segan silu. Bak kata pepatah bijak pandai: Iman tidak dapat diwarisi daripada seorang ayah dan ibu yang bertakwa. Allah SWT berfirman tentang kepentingan iman sejak dari umat terdahulu dalam Surah An-Nisa 4:136 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya (Muhammad) dan kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang diturunkan sebelumnya."

Gunakanlah kesempatan yang telah diberikan oleh Allah SWT ini, sekali lagi pada tahun ini, seperti tahun-tahun lalu. Berapa ramai orang yang kita kenali sama ada sahabat handai, saudara-mara dan ahli keluarga yang telah menghadap Ilahi sebelum kedatangan Ramadan ini. Sedangkan pada tahun lalu mereka beribadah bersama kita, tetapi pada tahun ini hanya pusara mereka yang menjadi tempat ziarah kita.  Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang sangat terkenal: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihatmu sebelum sakitmu. Masa kayamu sebelum datangnya masa sempitmu (miskin). Masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu dan masa hidupmu sebelum tiba masa matimu."  (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Dam hadis tersebut Rasulullah SAW secara tegas memerintahkan umat Islam agar benar-benar memanfaatkan kesempatan sebaik mungkin dengan memperbanyak amal soleh termasuk dalam konteks ini berpuasa. Sebab jika kesempatan itu kita abaikan tentu akan hilang begitu sahaja. Belum pasti tahun hadapan kita akan bertemu lagi.  Apabila kesempatan hidup disia-siakan untuk beribadah maka penyesalan akan berlaku apabila saat maut datang menjemput. Sebab kematian itu menyebabkan putusnya segala amal ibadah kecuali amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Selain itu, sewaktu badan kita masih sihat kita gunakanlah sebaik mungkin untuk memperbanyak amalan soleh dalam bulan Ramadan termasuk berpuasa dengan sebaik mungkin, jangan kita menunda dan melakukan ibadah dengan sambil lewa kerana apabila datangnya sakit, ia menyebabkan betapa susah untuk beribadah.  Di samping itu, masa lapang kita semasa hidup di dunia adalah suatu kesempatan untuk mengumpulkan bekalan yang akan dituai hasilnya pada hari pembalasan. Dalam konteks berpuasa Allah SWT yang menilai segala amalan kita. Diriwayatkan Abu Hurairah, maksudnya: "Daripada Nabi yang Baginda meriwayatkan daripada Allah, Dia berfirman: "Setiap amalan adalah kifarah (dosa), sedangkan puasa adalah bagi-Ku dan Aku membalasnya. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Usia juga penting dalam melaksanakan ibadah. Ini kerana sewaktu masih muda tenaga masih banyak dan sentiasa bersemangat untuk melakukan banyak perkara yang bermanfaat. Oleh itu dalam konteks berpuasa orang yang masih muda, sepatutnya dapat melangkah jauh dan bermotivasi untuk melakukan pelbagai amal soleh yang ganjarannya berlipat ganda. Jangan tunggu sesudah usia semakin lanjut sehingga datang masa tua yang membataskan pergerakan, pendengaran dan penglihatan.  Ramai yang beranggapan usia tua atau berpencen adalah masa yang sesuai dan tepat untuk beribadah bersungguh-sungguh. Akan tetapi tiada seorang pun hamba Allah yang boleh menjamin kelangsungan hidupnya sehingga tua.  Ingatlah firman Allah:  "Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaatpun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."  (Surah Al-A'raf: 34)

Apabila kita mempunyai rezeki lebih eloklah dibelanjakan di jalan Allah SWT apatah lagi dalam keadaan seseorang itu diberikan kekayaan, hendaklah dia mengeluarkan zakat, setiap hari berinfaq dan bersedekah, membantu golongan asnaf terutama fakir miskin, menyantuni anak yatim, dan sebagainya. Gunakanlah kesempatan itu sebaik mungkin selagi belum datang kekurangan dan kemiskinan. Kekayaan itu milik sementara hamba dan milik kekal Allah. Ini diperkukuhkan lagi, bahawa amalan bersedekah sangat berkait rapat dengan iman seorang Muslim.

Ini jelas bahawa setiap sedekah yang diterima di sisi Allah SWT, Dia akan balas dan 'membayarnya' di dunia lagi. Itu janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."  (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Penulis Profesor Madya, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 5:59 AM