FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERSAMA Muhammad Saufi Hassan

Alhamdulillah... Alhamdulillah dan Alhamdulillah. Puji dan syukur kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan kita untuk bertemu semula dengan bulan penuh mulia, bulan penuh keberkatan, bulan tarbiah dan bulan keazaman untuk kita semua.

Hari ini adalah 1 Ramadan, bulan ini menjanjikan kita dengan pelbagai kenikmatan dan ganjaran yang akan dibawa ke akhirat kelak dan seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kerana kita masih dapat bertemu Ramadan kali ini.

Sepanjang setahun lalu pastinya pelbagai ujian, suka duka, gelak tawa sudah kita lalui termasuk ada dalam kalangan kita yang sudah pergi buat selamanya menemui Pencipta Yang Maha Kuasa dan kita masih diberikan rezeki umur untuk meneruskan amal ibadat, memperbaiki diri atas dunia ini.

Pada pandangan penulis, tahun ini amat istimewa kerana kita menyambut Ramadan dalam keadaan hampir normal, bermaksud kita sudah melalui fasa ujian penyakit dua tahun lalu akibat Covid-19 dan kini, kita semua boleh mengimarahkan masjid serta surau sepanjang Ramadan dan seterusnya.

Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud: "Rasulullah berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab. Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan." (Hadis Riwayat Ahmad)

Perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan tujuan utama ibadah puasa seperti melatih sifat sabar dan berdisiplin, memupuk perasaan empati terhadap kesusahan insan lain serta membentuk kesihatan jasmani dan rohani dapat dicapai supaya kita semua menjadi Muslim yang bertakwa seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Sepanjang Ramadan ini kita pada zahirnya menahan diri daripada lapar dan dahaga, namun lebih utama adalah penghayatan puasa itu serta latihan sepanjang Ramadan ini dapat dikekalkan sehingga Syawal dan seterusnya.

Ramadan ini bukan bulan untuk kita beristirahat, bulan untuk kita duduk terbaring lemah saja kerana banyak peristiwa penting berlaku dalam Ramadan terutama peperangan yang direkodkan dalam sirah.

Pada perkiraan penulis, ada lapan peristiwa penting berlaku sepanjang Ramadan antaranya:

n

Turunnya al-Quran

Pakar tafsir dan hadis merekodkan bahawa Allah SWT menurunkan kitab-kitab dan suhuf (kitab kecil) selain Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran pada rasul terdahulu pada bulan Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 bermaksud: "Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)."

n

Peristiwa Perang Badar

Peristiwa ini berlaku pada Jumaat (2 Ramadan, Tahun 2 Hijrah) apabila tentera Islam seramai 313 berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 123 bermaksud: "Sungguh Allah SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah agar kamu mensyukuri-Nya."

n

Pembukaan Kota Makkah

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Makkah melanggar perjanjian Hudaibiyah yang sudah termeterai dengan orang Islam.

Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad atau sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.

n

Pembukaan Kota Andalusia

Andalusia adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah bahagian Semenanjung Liberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya, Andalusia ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalusia selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

Itu antara beberapa peristiwa penting, maka jelas bahawa Ramadan ini bukan bulan untuk kita 'bermalas-malasan' sebaliknya ini bulan iltizam yang tinggi untuk kita memperbaiki ibadah dan memperbanyakan amal ibadat.

Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati kemuliaan Ramadan dengan memelihara adab yang sudah ditetapkan.

Rukhsah atau keringanan hanya diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang ditetapkan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 bermaksud: "dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Selain menunaikan ibadah puasa, ketibaan Ramadan juga bertujuan mendatangkan keinsafan dan menyemai perasaan empati terhadap golongan yang memerlukan seperti dilanda kesusahan, kekurangan harta benda dan kelaparan. Justeru dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 114 yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar."

Antara sebab bulan Ramadan sering ditunggu-tunggu adalah kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah berbanding bulan yang lain. Amalan Nabi Muhammad SAW yang banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan maksudnya: "Ditanyakan Nabi puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi, sedekah di bulan Ramadan." (Riwayat Al-Tirmizi)

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha' mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Mengambil pedoman dan ibrah, mari kita menggandakan amal kebajikan sepanjang Ramadan serta seterusnya dan bulan yang mulia ini seharusnya menjadi platform untuk kita semua memperbaiki diri.

Semoga Ramadan kali ini dapat memberi titik perubahan dalam diri kita dan semoga kita berjumpa dengan Malam Lailatul Qadar, Insya-Allah. Wallahualam.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 7:00 AM