FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Terdapat banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab.  Jika disoroti sejarah perkembangan bahasa Arab di Malaysia, ia telah mula masuk ke Alam Melayu sejak kurun pertama Hijrah iaitu selaras dengan penerimaan masyarakat Melayu terhadap agama Islam. Selari dengan proses penyebaran agama Islam di Alam Melayu oleh golongan pedagang Arab, banyak perubahan berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika itu meliputi aspek kepercayaan, politik, pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Bahasa Arab telah berkembang secara meluas sebagai bahasa kepada agama Islam. Ia adalah bahasa untuk memahami Islam dan menunaikan ibadah. Selain itu, pengaruh bahasa Arab juga memartabatkan bahasa Melayu sehingga mencapai status bahasa ilmu. Justeru, antara contoh paling jelas bagi membuktikan pengaruh bahasa Arab dalam bahasa Melayu ialah peminjaman kosa kata Arab yang seterusnya diterima pakai dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. 

Pemanfaatan kosa kata bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu tidak tertumpu pada bidang agama sahaja, malah ia mencakupi pelbagai bidang. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan sifat bahasa Arab yang universal dan ia turut membantu proses pengantarabangsaan bahasa Melayu serta mengembalikan statusnya sebagai  lingua franca.   Antara bidang yang terlibat dalam pemanfaatan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu ialah: 

Agama : baligh, doa, hadis, haji, imam, kiblat, mufti, munafik, murtad, nabi, rasul, zakat, tarekat, tasawuf, tauhid, umrah, wali, ajal, bilal, fardu, fikah, hidayah, iktikad, makmum, masjid, sujud, tahlil, zikir.

Ilmu : ahli, ayat, falak, fasal, falsafah, hikayat, hisab, ilmu, jawab, kalam, kamus, khatam, kitab, makrifat, riwayat, sejarah, soal, takwim, tarikh, ulama, arif, jahil, loghat, jumlah, madrasah, nahu. 

Hukum : adil, batal, fatwa, halal, haram, hakim, hukum, kadi, mahkamah, makruh, mansuh, sah, tertib, wajib, wakaf, wakil, wilayah, zalim, qada, usul, tafsir, kaedah, wazir, amir, sultan, ijtihad, khalifah.

Adat : akad, fakir, fitnah, hormat, kafilah, karib, kaum, kerabat, maaf, maruah, musafir, nasab, nikah, salam, sedekah, tahniah, takziah, umat, waris, ziarah, adat, azimat, darjat, ghaib, maulud, mastautin.

Kesemua contoh tersebut memberi petunjuk pemanfaatan bahasa Arab dalam bahasa Melayu tidak hanya melibatkan perkara berkaitan agama sahaja, malah ia turut mencakupi pelbagai aspek dalam kehidupan manusia. 

Bagaimanapun, apabila berbicara tentang perkataan yang mempunyai perkaitan langsung dengan al-Quran ataupun hadis, ia mesti diperhalusi agar penggunaan perkataan itu tidak membawa kepada kesilapan masyarakat awam terhadap maksud perkataan seperti dimaktubkan dalam al-Quran dan hadis. 

Sebagai contoh, sejak kebelakangan ini perkataan 'rahmah' banyak meniti di bibir orang awam kerana ia digunakan secara sedar sebagai satu  tagline  dalam memberi pendefinisian terhadap sesuatu yang merujuk kepada bantuan, pembiayaan, pertolongan dan seumpamanya. 

Oleh kerana perkataan 'rahmah' adalah perkataan yang sememangnya wujud dalam al-Quran dan hadis, maka pemahaman mengenainya perlu diberi perhatian agar orang awam tidak salah memahaminya tatkala menemui perkataan itu dalam al-Quran dan hadis.

Setiap perkataan yang termaktub dalam al-Quran perlu difahami dalam konteks yang betul mengikut penggunaannya dalam ayat. Ia tidak boleh difahami hanya dengan satu maksud tanpa melihat konteks ayat secara menyeluruh. Perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila orang awam memahami perkataan 'rahmah' dalam al-Quran sebagaimana difahami penggunaannya dalam konteks semasa seperti waktu ini popular penggunaan istilah menu rahmah. 

Secara umumnya, dalam bahasa Arab perkataan 'rahmah' membawa maksud kasih sayang, belas ihsan dan kurniaan. 

Dalam al-Quran pula , perkataan 'rahmah' adalah merujuk kepada beberapa makna tertentu.

Antaranya ia merujuk kepada makna agama Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  "Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan); dan orang yang zalim tidak ada baginya sesiapa pun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan."  (Surah asy-Syhura, ayat 8)

Pada ayat itu, Allah SWT menyatakan bahawa hanya orang yang terpilih sahaja akan menerima rahmat-Nya iaitu dengan memilih mereka untuk menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup. Bagi mereka yang zalim pula, mereka terkeluar daripada golongan pilihan tersebut.  Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa rahmat Allah SWT yang paling besar ialah rahmat Islam. Perkataan 'rahmah' dalam ayat 105 Surah al-Baqarah dan ayat 31 Surah al-Insan turut membawa makna Islam.

Bagaimanapun, makna perkataan 'rahmah' tersebut berbeza bagi perkataan 'rahmah' yang terdapat dalam surah Ali Imran. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  "Adapun orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah  rahmat  Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya."  (Surah Al 'Imran, ayat 107)

Perkataan 'rahmah' pada ayat berkenaan membawa pengertian yang merujuk kepada syurga Allah SWT. Sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya bahawa Allah SWT telah menjelaskan sesungguhnya syurga Allah SWT adalah sebuah tempat khas bagi golongan yang beriman dan mereka akan   kekal tinggal di dalamnya selama-lamanya.

Ayat 107 daripada surah Ali Imran telah menjelaskan perihal golongan yang berada dalam rahmah Allah SWT natijah daripada amalan soleh serta ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Selain ayat tersebut, terdapat beberapa ayat lain dalam al-Quran yang turut memanfaatkan perkataan 'rahmah' bagi merujuk makna syurga, antaranya ayat 218 Surah al-Baqarah, ayat 175 Surah an-Nisa', ayat 30 Surah al-Jathiyah dan ayat 32 Surah al-Ankabut. Oleh itu, perkataan 'rahmah' pada ayat tersebut tidak boleh difahami sebagai Islam seperti maknanya pada ayat 8 daripada Surah asy-Syura.

Selain itu, terdapat satu lagi makna 'rahmah' yang mempunyai maksud tersendiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:  "Nabi Nuh berkata: Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata daripada Tuhanku serta Dia mengurniakan  rahmat  (pangkat) Nabi kepadaku daripada sisi-Nya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?"  (Surah Hud, ayat 28)

Perkataan 'rahmah' dalam ayat itu adalah firman Allah SWT yang merujuk kepada sebahagian kata-kata Nabi Nuh kepada kaumnya tatkala baginda menjelaskan bahawa kenabiannya satu anugerah atau rahmah daripada Allah SWT.

Hal ini satu bukti yang jelas bagi memperakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh kepada umatnya, namun umatnya masih gagal menerimanya. Justeru, dapat difahami bahawa perkataan 'rahmah' dalam ayat itu merujuk kepada makna kenabian.

Berdasarkan penjelasan ringkas ini, setiap umat Islam perlu berwaspada dalam memahami perkataan bahasa Arab yang terdapat dalam al-Quran.

Usah semudahnya memahami maksud sesuatu perkataan dan mengaitkannya dengan makna ayat al-Quran kerana boleh jadi terdapat perbezaan makna yang ketara terhadap perkataan tersebut meskipun memiliki persamaan daripada sudut sebutan dan ejaannya.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:00 AM