QURBAN apabila dikaitkan dengan Aidiladha, ia bermaksud ibadat sembelihan. FOTO Hazreen Mohamad
QURBAN apabila dikaitkan dengan Aidiladha, ia bermaksud ibadat sembelihan. FOTO Hazreen Mohamad
Fadly Samsudin

Di luar sana, terdapat ramai saudara Islam kita hidup dalam pergolakan, suasana perang, ditimpa bencana serta kemiskinan.

Maka, mereka tidak dapat merasai nikmat seperti kita. Sebab itu, kita perlu banyak bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT.

Bukan saja perlu menghayati makna kesyukuran, malah kita perlu sanggup berkorban untuk orang lain.

Seorang itu dimuliakan bukan kerana apa yang dimilikinya, tetapi pengorbanan memberi manfaat kepada orang lain.

Pengorbanan adalah sifat yang menjelaskan kesanggupan, keberanian dan kesediaan seseorang tanpa sebarang paksaan.

Pengorbanan yang dilakukan bukan untuk meraih pujian manusia, tetapi demi mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT.

Jika seseorang mencintai apa yang dimilikinya, maka sukar baginya berkorban demi kepentingan orang lain.

Kesediaan serta kesanggupan mengorbankan harta dunia itulah mendorong manusia memenuhi lambaian Kaabah pada setiap tahun.

Pengembaraan ibadat haji itu adalah satu simbolik penyerahan diri. Segala macam perkara dikorbankan termasuk wang ringgit, harta, tenaga, masa serta meninggalkan isteri dan anak-anak tercinta demi mengharapkan keredaan Allah SWT.

Sehubungan itu, keikhlasan adalah sifat paling utama dalam setiap ibadat yang dilakukan.

Selain itu, berbicara mengenai ibadat korban yang bakal dilaksanakan sempena Aidiladha nanti, meskipun daging itu tidak sampai kepada Allah SWT, apa yang dimahukan setiap umat Islam adalah meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Ibadat sembelihan yang dilakukan tidak memberi sebarang makna bagi Allah SWT. Malah, Allah SWT tidak memerlukan apa-apa pun daripada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Faisal Ashaari berkata, qurban dalam bahasa Arab tidak sama dengan korban dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, qurban apabila dikaitkan dengan Aidiladha, ia bermaksud ibadat sembelihan.

“Korban dalam bahasa Melayu bermaksud seseorang berhabisan untuk agama. Korban berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa makna dekat.

“Dengan pengertian itu, ia meliputi amalan zikir, solat, selawat, sedekah dan lain-lain yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengertian umum itu, qurban tidak semestinya merujuk kepada sembelihan kerana perkataan itu mempunyai maksud yang luas.

“Solat dan sedekah pun dianggap qurban kerana termasuk dalam perkara yang dikemukakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Tidak pelik kerana dalam bahasa Melayu apabila disebut korban (sempena Aidiladha), ia bermaksud sembelihan binatang seperti kerbau dan lembu.

“Perkataan korban itu dalam bahasa Melayu merujuk kepada adat sembelihan.

“Namun dalam kitab fiqh, ulama terdahulu membicarakan bab sembelihan, mereka tidak menggunakan perkataan qurban, tetapi udhiyyah.

“Ia perkataan lebih khusus maknanya merujuk kepada ibadat korban sembelihan. Perkataan itu ada kaitan dengan perkataan Adha atau Aidiladha.

“Perkataan qurban juga ada digunakan dalam al-Quran mengisahkan dua anak Nabi Adam yang diperintahkan mengemukakan qurban.

“Sempena Aidiladha, perintah ibadat sembelihan adalah tuntutan sunat muakkad. Setiap rumah sepatutnya melaksanakan ibadat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sebilangan orang mungkin berasa berpuas hati dengan ibadat korban yang dilakukan kerana sudah memenuhi tuntutan Islam dan tidak perlu lagi bersusah payah kerana agama.

“Itulah masalah apabila terjemahan perkataan Arab membawa maksud berbeza dengan bahasa Melayu.

“Mungkin perkataan korban digunakan dalam bahasa Melayu patut ditambah korban sembelihan untuk lebih menjelaskan makna korban adalah ibadat sembelihan.

“Ia perlu diperhalusi supaya kita menggunakannya dengan cara betul. Akhirnya membawa amalan dan tindakan yang tepat.

“Kita berqurban bermaksud melakukan ibadat sembelihan manakala berkorban pula maksudnya kita berjihad memperjuangkan agama.

“Tidak semestinya apabila sudah melakukan ibadat sembelihan, bermakna kita sudah berhabisan memperjuangkan Islam.

“Kalau masih lagi belum terkorban masa, tenaga dan sebagainya, ia belum lagi dikira berjuang. Ia mungkin bersedekah, tetapi belum masuk kategori berjuang.

“Orang yang berjuang pasti terkorban harta kerana banyak menghabiskan harta sehingga tidak sempat kaya, tetapi tidaklah susah.

“Kerja dakwah sangat memerlukan pembiayaan besar. Selain itu, ia memerlukan pengorbanan masa kerana hanya sedikit waktu dapat diberikan bersama isteri dan anak-anak.

“Begitu juga perlu berkorban tenaga kerana seluruh atau sebahagian besar tenaganya diperuntukkan demi Islam,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 8:30 AM