SEBAGAI    negara berbilang agama, umat Islam sepatutnya menjadi qudwah hasanah (suri tauladan) kepada penganut agama lain dalam konteks kehidupan beragama berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
SEBAGAI negara berbilang agama, umat Islam sepatutnya menjadi qudwah hasanah (suri tauladan) kepada penganut agama lain dalam konteks kehidupan beragama berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Addin

Fitnah merupakan amalan keji lagi dibenci oleh semua manusia. Islam agama yang memandang berat terhadap budaya menabur fitnah dalam kalangan umatnya sehingga perbuatan fitnah dikira satu jenayah dalam undang-undang Islam serta diperuntukkan hukuman syariah ke atas pelaku fitnah ini.

Larangan ini jelas termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai satu bentuk ancaman daripada Allah SWT dan rasul-Nya tentang besarnya dosa menabur fitnah. Jika pembawa fitnah itu orang Islam, maka ketahuilah bahawa azab yang berat sedang menantinya sebaik sahaja jasad dan rohnya berpisah. Sementara akhirat pula dia akan dihumban dalam api neraka jika dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.  

Fitnah berasal daripada bahasa Arab manakala dalam bahasa Melayu disebut sebagai pengadu domba. Menurut Ibnu Hajar, fitnah biasanya berlaku apabila sesuatu maklumat yang diubah dan direka bagi tujuan memburuk-burukkan pihak lain (Fath al-Bari). Rasulullah SAW mengecam keras kepada pengadu domba seperti hadis daripada Huzaifah RA bahawa baginda bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba" - (Riwayat Muslim). Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana perbuatan ini boleh menyebabkan musibah yang besar dalam masyarakat.

Dunia yang semakin baharu hari ini menjadikan budaya menabur fitnah ini lebih cepat dan mudah berlaku lantaran medium komunikasi yang pelbagai khususnya media elektronik yang menjadikan dunia hari ini tanpa sempadan. Media sosial (medsos) merupakan penyebar info yang paling berkesan dalam masa yang sama mungkin boleh menjadi alat pengadu domba yang paling bahaya dan punca perbalahan dalam kalangan masyarakat. Pelayar medsos hari ini sewajarnya bijak menggunakan teknologi yang dikenali sebagai serampang dua mata ini supaya semua lapisan masyarakat pembaca mendapat faedah melalui apa jua bentuk perkongsian di laman sosial kita. Al-Quran menyuruh umat Islam agar sentiasa mengajak manusia ke arah kebaikan dan melaksanakan usaha amar makruf dan nahi mungkar - (Surah Ali 'Imran, Ayat 104). Marilah kita jadikan laman sosial kita sebagai medium penyampaian berita yang sahih, suara penyatuan umat dan agen dakwah ke arah penyempurnaan agama Muslim khasnya dan pembangunan insan manusiawi amnya.  

Jauhilah amalan dan budaya menabur fitnah, mengadu domba dan apa jua usaha yang boleh mewujudkan perpecahan masyarakat. Perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah lesen untuk menghalalkan perbuatan memfitnah, bahkan Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwa tersebut wajib mendatangkan sumber yang jelas, saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu. Jika si pendakwa gagal membawa sumber, maka sebenarnya itulah budaya fitnah yang semakin membarah dan melarat di dalam hati manusia serta ia bakal mengundang musibah demi musibah yang boleh memusnahkan sesebuah tamadun kemanusiaan.   

Sebagai contoh, fitnah antara punca perselisihan para sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Akhirnya muncul fahaman dan aliran agama yang sesat lagi melampau seperti Syiah, Muktazilah, Jahmiyyah dan Murjiah yang kononnya
diasaskan untuk menyelamatkan pengikutnya daripada fitnah sedangkan hakikat sebenar kemunculan ajaran ini juga berpunca daripada fitnah. Fitnah dalam dunia hari ini pula muncul dengan wajah siber, elektronik dan teknologi apabila medsos menjadi medium penyebaran fitnah bagi tujuan menjatuhkan imej pihak tertentu, merendahkan kebolehan orang lain dan menghasut golongan tertentu agar permusuhan menjadi semakin tebal.  

Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan laknat Allah SWT melalui sabdanya yang bermaksud: "Fitnah itu sedang tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya" - (Riwayat al-Rafi'e). Segelintir manusia yang cuba sedaya upaya agar fitnah tersebar sebenarnya inilah orang yang bakal mendapat laknat Allah SWT akibat suka membangkitkan fitnah.

Mereka mengambil kesempatan dengan jawatan dan kuasa yang dimiliki untuk menzalimi pihak yang tidak sealiran dengan mazhabnya, ideologinya dan perjuangannya.

Akhirnya fitnah menjadi satu budaya yang tidak lagi menjadi kesalahan apatah lagi dosa besar di sisi agama akibat ketamakan satu pihak untuk mengambil hak daripada pihak yang lain. Sebagai sebuah negara yang berbilang agama, umat Islam sepatutnya menjadi qudwah hasanah (suri tauladan) kepada penganut agama lain dalam konteks kehidupan beragama berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Terjemahkan panduan syarak dalam bentuk kasih sayang, hormat menghormati dan saling berlapang dada dalam perkara yang berbeza. Hayatilah doa Nabi Yunus yang bermaksud: "Ya Allah! Janganlah Kau jadikan kami sebagai bahan fitnah bagi orang yang zalim. Selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu daripada golongan kafir." (Surah Yunus, Ayat 85-86).

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 7:01 AM