ISLAM sangat melarang umatnya bersikap berdendam kerana ia bakal mencetuskan situasi sosial yang kurang harmoni.
ISLAM sangat melarang umatnya bersikap berdendam kerana ia bakal mencetuskan situasi sosial yang kurang harmoni.
Mohd Rizal Azman Rifin

Dalam apapun pertandingan pasti akan ada yang menang dan kalah. Baik dalam arena sukan mahupun dalam pilihan raya. Itu sudah lumrah dan adat pertandingan. Kita juga sedia menyedari, dalam pertandingan apapun, sudah tentu ada yang berasa riang gembira dan tidak kurang yang bersugul penuh kecewa. Itu juga asam garam dalam fenomena bertanding.

Namun, apa yang lebih utama ialah yang menang seperti dalam pilihan raya misalnya, sewajarnya berusaha memunculkan peribadi terbaik dengan ciri kepemimpinan yang meyakinkan rakyat dengan watak jujur, beramanah, tidak mudah lupa daratan dan berusaha memberikan kesejahteraan dan kemakmuran buat rakyat jelata.

Pihak yang menang kena selalu ingat bahawa amanah dan tanggungjawab besar yang tersandang di bahu mereka bukan sahaja diperhatikan Allah, tetapi dalam masa yang sama rakyat bawahan turut menjadi 'mata-mata' yang mengawasi setiap langkah dan perwatakan yang ditunjukkan oleh seseorang pemimpin itu.

Mereka yang menang juga seharusnya tidak sesekali mempamerkan sikap takbur dan sombong diri dengan kemenangan yang diperoleh hingga menyebabkan pihak yang kalah terasa hati. Ingatlah apa yang dipesankan Allah dalam firman-Nya sebagaimana terkandung dalam Surah Luqman ayat 18 yang bermaksud: "Janganlah kamu memalingkan wajah daripada manusia (kera sombong) dan berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhya, Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan membangga diri."

Ingatlah juga akan firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 83 yang mana intipati pengajarannya juga mengajak diri kita agar menjauhkan sifat sombong dan takbur. Allah berfirman yang bermaksud: "Negeri akhirat itu Kami jadikan bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu bagi orang-orang yang bertakwa."

Di samping itu, Rasulullah SAW turut sama memperingatkan umatnya berkenaan menghindari daripada berperibadi sebagai seorang takbur dan sombong. Sahabat Baginda SAW, Ibu Mas'ud memberitahu bahawa beliau pernah mendengar yang Rasulullah SAW pernah berpesan: "Sesiapa yang dalam hatiya ada perasaan sombong, walaupun cuma sebesar debu, dia tidak dapat memasukki syurga." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam hadis sahihya)

Ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW itu dengan sendirinya memberi pengajaran buat kita semua bahawa rasa takbur dan sombong perlu dihindari. Kalau dalam konteks pilihan raya, sewajarnya mereka yag diangkat sebagai 'pemenang' tidak mudah lupa daratan sehingga berwatak seorang yang sombong penuh takbur.

Oleh itu, jadilah diri sebagai pemenang yang berjiwa syukur dan berintegriti kerana kemenangan itu jika direnungkan dengan teliti sebenarnya ia merupakan isyarat jelas daripada Allah, bahawa mereka yang menang itu juga 'sedang diuji Allah.' Ya, ujian Allah dengan memberikan kemenangan mungkin Dia mahu melihat sejauh mana insan tersebut bersyukur kepada-Nya dengan mempamerkan akhlak yang terpuji tanpa diselubungi unsur riak dan menyombong, apatah lagi untuk berwatak 'mengkhianati amanah rakyat'.

Sebaliknya, yang menang itu perlu bersyukur atas kemenangan yang dikurniakan dengan menunjukkan sikap dan watak peribadi luhur dan terpuji. Janganlah sesekali dipersenda-sendakan dan memperlekehkan pihak yang tewas kerana jika ini yang berlaku berkemungkinan perasaan dendam berlaku tanpa noktah.

Manakala, pihak yang kalah pula seharusnya memiliki jiwa besar dengan reda menerima kekalahan, berjiwa lapang dada tanpa menuding jari kepada satu-satu pihak atas ketewasan yang dialami. Sebaliknya, hendaklah bersedia untuk bermuhasabah sambil mengorak pendekatan baharu yang lebih meyakinkan rakyat. Elemen diri yang paling mustahak pada diri seseorang yang tewas ialah memendam perasaan dendam terhadap pihak lain.

Sesungguhnya, Islam sangat melarang umatnya bersikap berdendam kerana ia bakal mencetuskan situasi sosial yang kurang harmoni, malah tidak mustahil keadaan dalam masyarakat dan negara boleh menjadi tidak aman dan tenteram. Islam mengajar kita dengan amalan bersikap lapang dada dan saling menyayangi antara sesama ummah bukan membalut diri dengan rasa iri dan dendam di dalam hati.

Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada umatnya yang sabar dan tidak mudah bersikap membalas dengan keburukan dan kehinaan yang dialami. Sabda Baginda: "Barang siapa yang menahan marah padahal dia mampu untuk melepaskannya, nescaya Allah akan memanggilnya di tengah keramaian manusia sehingga dia bebas memilih bidadari yang dia sukai." (Hadis direkod oleh Imam Ahmad)

Hadis ini sebenarnya menjelaskan kepada kita betapa tinggi darjat mereka yang bersikap sabar dan tidak membalas balik kepada pihak lain untuk melepaskan dendam kesumat hati. Justeru, dalam situasi negara yang mana khalayak masyarakat awam masih dilanda 'suhu' yang agak panas dengan bahang musim pilihan raya yang lalu, maka perlulah kita kembali menghayati dengan mendalam apa yang telah diingatkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Maka jadilah pemenang dengan memaafkan orang lain dan tidak menaruh dendam untuk menganak-tirikan mana-mana kumpulan yang tidak sehaluan. Bagi pihak yang tewas pula, jadilah insan yang berjiwa reda dengan apa yang telah tersurat tanpa dibayangi mahu memanjangkan hubungan yang mungkin telah sedikit retak.

Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya dengan satu pesanan yang cukup bermanfaat yang kata beliau kepada anaknya: "Aku berwasiat kepadamu dengan beberapa perkara yang dapat mendekatkan dirimu kepada Allah dan menjauhkan dirimu daripada murka-Nya. Hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, dan hendaklah kamu reda kepada takdir-Nya, baik yang kamu sukai mahupun yang kamu kamu benci."

Khalifah hebat Umar al-Khattab juga semasa hayatnya pernah berpesan dengan perkara yang sama, iaitu reda dan sabar. Kata sahabat kanan Nabi SAW itu: "Ketahuilah, sesungguhnya semua kebaikan terletak pada reda. Kerana itu, jika kamu mampu untuk reda, lakukanlah. Namun, jika tidak, maka kamu bersabarlah."

Ingatlah setiap takdir Allah itu ada hikmahnya yang tersendiri. Redalah dengan apa yang telah tersurat dan teruskan usaha menjadi ummah yang bersatu hati dalam membina negara yang aman, harmoni, sejahtera yang dilimpahi barakah Ilahi.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 5:59 AM