ORANG yang mengerjakan amal ibadah semata-mata kerana  Allah SWT pasti akan  mendapat ganjaran daripada-Nya.
ORANG yang mengerjakan amal ibadah semata-mata kerana Allah SWT pasti akan mendapat ganjaran daripada-Nya.
Addin

Sebagai hamba Allah SWT yang diciptakan untuk tujuan mengabdikan diri kepada-Nya, maka setiap ketetapan berkaitan ibadah perlu ditunaikan. Bukan sahaja ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji dan seumpamanya, malah setiap perbuatan boleh menjadi punca mendapat pahala sekiranya dilakukan ikhlas kerana-Nya. Tidak ada perbuatan yang dilakukan oleh seseorang Muslim melainkan perlu bertujuan untuk memperoleh keredaan-Nya. 

Begitulah fitrah kehidupan insan bergelar hamba kepada Tuhannya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah az-Dzariyat, ayat 56)

Pada ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan pengakuan yang dituturkan oleh setiap hamba-Nya bagi menunjukkan kehidupan ini seluruhnya perlu disandarkan kepada Allah SWT. Firman Allah: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162) Inilah juga ungkapan yang dilafazkan dalam doa Iftitah setiap kali menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.

Orang yang mengerjakan amal ibadah hanya untuk Allah SWT pastinya akan mendapat ganjaran daripada-Nya. Sesungguhnya setiap kebaikan yang dilakukan oleh Muslim, maka kebaikan akan berbalik kepada dirinya sendiri. Allah SWT tidak berkehendak kepada amalan hamba-Nya. Sebaliknya setiap hambalah yang melaksanakan ibadah untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)

Manakala manusia yang ingkar kepada Allah SWT dengan meninggalkan perintah-Nya, sudah pasti akan menerima balasan buruk daripada perbuatannya sendiri. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Dan (ingatlah), semasa orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik." (Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Setiap Muslim wajib melaksanakan perintah Allah SWT termasuk dalam hal berkaitan amal ibadah. Dalam keadaan Muslim melaksanakan amal ibadah kepada Allah SWT, perlu diingatkan juga agar tidak sekadar melakukan ibadah tanpa pengharapan kepada Allah SWT agar semua amalan yang dilakukan itu diterima-Nya. Maka Islam memerintahkan agar setiap Muslim melakukan ibadah dengan tatacara yang paling sempurna agar ia akan diterima oleh Allah SWT. 

Rasulullah SAW memberi petunjuk bahawa Muslim perlu berdoa kepada Allah SWT agar amalan yang dilakukan tidak menjadi sia-sia, sebaliknya diterima oleh Allah SWT. Ini dapat difahami berdasarkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Antara doa atau zikir yang dibaca oleh Rasulullah SAW pada waktu pagi ialah: "Allahumma inni as'aluka 'ilman nafi'an, wa rizqan tayyiban, wa'amalan mutaqabbala" yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa tersebut jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memohon kepada Allah SWT agar amal ibadah yang dilakukan semuanya diterima oleh-Nya. Ungkapan wa'amalan mutaqabbala merujuk kepada pengharapan agar amalan yang dilakukan tidak menjadi sia-sia, sebaliknya diterima oleh Allah SWT. Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT menjadi syarat penting ia diterima di sisi-Nya. 

Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran tentang manusia yang melakukan amal kebaikan ketika di dunia, namun semuanya tidak diterima oleh Allah SWT. Amalan baik yang banyak namun tidak didasari dengan keimanan kepada Allah SWT kesemuanya hanya sia-sia sebagai debu yang berterbangan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Dan Kami (Allah) tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami (Allah) jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan." (Surah al-Furqan, ayat 23)

Terdapat juga doa yang dimaktubkan oleh Allah SWT dalam al-Quran membawa pengertian bahawa seseorang hamba perlu berdoa agar amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia kesemuanya diterima oleh Allah. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang merujuk doa Nabi Ibrahim AS dengan maksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amalan kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 127)

Kesemua petunjuk daripada al-Quran dan hadis jelas membuktikan keperluan setiap Muslim untuk berdoa agar amal ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Semua orang menyedari bahawa terlalu banyak kelompongan dalam ibadah yang dilakukan, namun harapan agar Allah SWT menerima amalan tersebut perlu menjadi keutamaan setiap Muslim. 

Selain keperluan melaksanakan ibadah dengan ikhlas hanya kerana Allah SWT, satu lagi perkara penting bagi memastikan ibadah diterima oleh-Nya ialah melakukan perbuatan ibadah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sebagai umat yang menerima ajaran yang dibawa oleh Baginda, maka petunjuk yang dibawanya perlu dipatuhi kerana hanya menerusi jalannya sahajalah, maka umat Islam dapat memahami Islam sepertimana yang ditetapkan oleh Allah SWT. 

Bagi memastikan setiap amalan diterima oleh Allah SWT, pastikan ia dilaksanakan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Meskipun sesuatu amalan tidak mempunyai perkaitan langsung dengan ibadat khusus, namun pastikan adanya dalil umum yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis mengenainya. Sesungguhnya ajaran Islam telah lengkap dan tidak ada sama sekali sebarang kekurangan daripada apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir." (Surah Ali 'Imran, ayat 31-32)

 

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 7:00 AM