GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rizal Azman Rifin

Bukan semua perancangan yang kita sediakan mampu berlangsung dengan sempurna. Sesekali kita bertembung juga dengan situasi yang menyebabkan kegagalan. Bukan semua keinginan untuk hidup dalam kerangka yang diagendakan berjaya diterjemahkan dengan sebaik-baiknya. Ada ketikanya kita terpaksa berhadapan dengan keadaan yang mendukacitakan. Betul kata orang dulu-dulu bahawa, 'Hari tak selamanya cerah kerana ada masanya hujan di tengah hari.' Begitulah dengan suratan takdir Allah yang lebih awal dirancang buat sekalian makhluk-Nya.

Misalnya, dalam perkara kematian, ia bukan suatu situasi memberikan suasana emosi yang sedih dan memilukan. Ada yang berkata, 'Aku macam tak percaya si fulan dah tiada. Baru semalam aku bersama-samanya berbincang panjang urusan perniagaan.' Mungkin ungkapan terkejut itu menggambarkan kematian adalah takdir yang tiada siapa pun mengetahui bila, di mana dan bagaimana. Segalanya dalam pengetahuan Allah belaka.

Jadi, dalam persoalan seperti ini, kita semestinya kepada kembali menghayati prinsip Rukun Iman yang keenam iaitu 'Percaya kepada qadak dan qadar Allah.' Prinsip iman mendidik hati kita supaya yakin dengan sepenuhnya bahawa setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita sudah termaktub dalam susunan takdir Allah ke atas diri seseorang hamba-Nya. Jadi, dengan menghayati inti pati prinsip Rukun Iman itu sudah tentu membuatkan kita sentiasa bersikap sabar menerima takdir yang mungkin kurang menyenangkan dan bersikap reda dengan ketentuan ditetapkan oleh Allah.

Anas bin Malik, seorang sahabat Rasulullah SAW tersohor yang tentunya kita sering membaca kisah riwayat beliau yang hebat penuh padat dengan pahatan iman dan takwa ada memberitahu bahawa Rasulullah SAW mengingatkan: "Sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia mengujinya. Barangsiapa yang reda terhadap ujian-Nya, dia memperoleh reda-Nya dan barangsiapa tidak suka, dia mendapat murka Allah." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Beriman kepada qadak dan qadar Allah akan meninggalkan impak positif kepada jiwa. Antaranya ia mampu meringankan kegelisahan ketika ditimpa musibah dan menjauhi sikap menyombong tatkala memperoleh nikmat. Dengan terpahat utuhnya keyakinan kepada ketentuan Allah, kita tidak akan berasa kesal sekiranya segala pelan perancangan dan pelaksanaan agenda hidup menemui jalan buntu ataupun kegagalan, sebaliknya kita tidak mudah angkuh mendabik dada apabila mengecapi pelbagai nikmat sehingga menenggelamkan pertimbangan serta kewarasan akal.

Allah memberitahu kita: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya, sesungguhnya menjadikan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan yang telah luput daripada kamu serta tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang sombong takbur lagi membanggakan diri." (Surah al-Hadid ayat 22-23)

Penjelasan Allah itu sewajarnya menjadi pedoman buat kita semasa menjalani kehidupan di dunia kerana inti pati pesanan Allah ini berupaya menginsaf dan menyedarkan kita bahawa kehidupan dunia yang fana ini ibarat roda berpusing, bak waktu siang berganti malam. Saidina Ali bin Abi Talib, Khalifah ar-Rasyidin kelima meninggalkan satu tip macam mana sepatutnya kita bersikap terhadap qadak dan qadar Allah.

Teliti dan renungilah akan kisah beliau bersama Ady bin Yatim ini. Ia pasti menyentuh hati kita. Dikisahkan bahawa pada suatu hari Saidina Ali melihat Ady bin Yatim bermuram durja diselimuti kemurungan wajah yang hiba. Lalu beliau terpanggil untuk berkata kepada sahabatnya itu apakah sebabnya wajah berduka menahan hiba. Kata Ali: "Wahai sahabatku Ady, mengapakah kamu kulihat bersedih hati?"

Jawab Ady, "Bagaimana aku tidak bersedih wahai menantu Rasulullah kerana dua orang anakku terbunuh dan mataku tercungkil semasa bertempur di medan perang." Kini barulah Saidina Ali mengetahui hal sebenarnya. Lihatlah bagaimana sikap Saidina Ali dalam pergaulan yang begitu mengambil berat akan masalah sahabatnya. Ini pun pengajaran buat kita. Kita sepatutnya cuba meredakan semaksimum yang terdaya apa sahaja permasalahan yang tertimpa pada diri sahabat. Bukannya kita bersahabat kala senang sahaja. Waktu sahabat kita susah dan bersedih pun pun sewajarnya kita membantu.

Setelah mendengar masalah yang ditanggung oleh kawannya itu, maka beliau pun cuba memberi kata-kata nasihat dan semangat. Kata Saidina Ali: "Wahai sahabatku Ady, barangsiapa yang reda terhadap takdir Allah, takdir itu tetap berlaku atasnya dan dia mendapat pahala daripada Allah. Dan barangsiapa yang tidak reda terhadap takdir-Nya, perkara itu pun tetap berlaku atasnya. Dan terhapuslah amalnya."

Ibnu Mas'ud mengajak kita menghayati pesanan bestarinya yang juga menjuruskan kepada aspek reda terhadap qadak dan qadar Allah. Tentu kita masih ingat kisah Ibnu Mas'ud bersama Khalifah Uthman bin Affan pada saat terakhir hayatnya.

Pada saat nyawa berada di penghujung, Khalifah Uthman datang menzirahi sahabat kesayangan Rasulullah SAW itu. Tanya Uthman: "Wahai sahabatku, sakit apakah yang sedang ditanggung sekarang?" Ibnu Mas'ud merenung tenang sahabatnya, Uthman lalu menjawab ringkas: "Dosa-dosaku." Tanya Uthman lagi: "Apakah yang engkau inginkan?" Dijawab Ibnu Mas'ud juga masih ringkas dan padat, katanya: "Hanya rahmat Tuhan yang kuingini."

Demikian sebabak kisah sahabat Rasulullah SAW yang tidak pernah lupa akan dosa dan sentiasa mengharapkan naungan rahmat Allah meskipun nyawa sudah berada di hujung detikan waktu.

Ingatlah, dengan keyakinan bulat kepada Rukun Iman itu insya- Allah, Allah akan mengurniakan semangat tinggi untuk berdepan dengan apa jua situasi, baik yang menggembirakan kita mahupun mendukacitakan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:01 AM