SEORANG ulama adalah seorang yang amat arif dalam membezakan antara perkara  hak dengan yang batil, yang benar dengan yang palsu dan antara yang betul dengan yang salah. FOTO Arkib NSTP
SEORANG ulama adalah seorang yang amat arif dalam membezakan antara perkara hak dengan yang batil, yang benar dengan yang palsu dan antara yang betul dengan yang salah. FOTO Arkib NSTP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Jatuh bangunnya sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada kepemimpinan dua golongan yang sememangnya tidak dapat dipisahkan sama sekali dalam pentas kehidupan masyarakat iaitu ulama dan umara (pemerintah). Ulama dan umara berupaya mencorakkan dan menentukan hala tuju sesebuah masyarakat sama ada berjaya dan cemerlang dalam lapangan hidup atau tersungkur tewas dalam persaingan meraih kecemerlangan dan kesejahteraan yang disasarkan. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Dua kelompok manusia yang bila baik kedua-duanya, maka akan baiklah pula seluruh masyarakat sekelilingnya. Tetapi apabila buruk kedua-duanya, maka akan buruklah pula seluruh masyarakat tersebut. Dua kelompok itu ialah ulama dan umara." (Hadis riwayat Abu Nua'im & Dailami)

Jelas dari maksud hadis Rasulullah SAW tersebut tentang betapa pentingnya peranan dan kedudukan ulama dan umara dalam menentukan sikap keperibadian, akhlak dan hala tuju hidup sesebuah masyarakat dan bangsa yang berdaulat.  Sejarah juga membuktikan jatuh bangunnya sesebuah negara selalunya berkait rapat dengan dasar kepemimpinan umara dan peranan ulama yang mewarnai pentas kehidupan manusia sejagat.

Ulama secara umumnya adalah satu golongan pakar rujuk agama yang memiliki pengetahuan yang mendalam dan luas dalam pelbagai disiplin ilmu Islam seperti ilmu Feqah, usul Feqah, Tafsir, Hadis, Akidah, Tasawuf dan lain-lain lagi.  Di samping itu, ulama juga adalah golongan yang mewarisi tugas dan peranan para nabi dan rasul dalam menyampaikan kebenaran Islam kepada seluruh umat manusia. Lebih dari itu, di tangan ulamalah penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya umat di bumi ini. Jika ulama tersebut berperanan sebagaimana berperanannya para nabi dan rasul, maka akan baiklah umat tersebut. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat tersebut. Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris para nabi dan rasul." (Hadis riwayat Ibnu Adiy)  

Apabila ditinjau di dalam al-Quran, kita akan ketemui beberapa ciri utama yang melayakkan seseorang itu bergelar sebagai seorang ulama. Di dalam al-Quran, seorang ulama seringkali disifatkan sebagai  Ulul Albab  yang bermaksud manusia yang sentiasa berfikir dan berakal yang memiliki beberapa kriteria utama yang disebut oleh Allah secara terperinci. Definisi tepat bagi seorang ulama ialah seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya sehingga berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu tersebut bersesuaian dengan bidang kepakarannya. Hasilnya, lahir beberapa disiplin atau cabang ilmu yang lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan mahupun dalam ilmu keduniaan. Akhirnya, disiplin-disiplin ilmu tersebut akhirnya menjadi sumber rujukan utama umat manusia dari zaman berzaman.

Ciri yang seterusnya ialah seorang ulama itu tidak cukup sekadar memiliki ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai disiplin ilmu, malahan dia semestinya mengamalkan ilmunya sehingga terhias dalam dirinya sikap perwatakan dan kata bicaranya seperti ucapannya, fatwanya dan sebagainya berupaya memimpin umat manusia ke arah kebenaran dan jalan yang lurus. Justeru, tepatlah perumpamaan Rasulullah SAW dalam hadis terdahulu bahawa ulama itu ibarat pelita yang menerangi kebenaran kepada sekalian umat manusia.

Di samping itu, seorang ulama adalah seorang yang amat arif dalam membezakan antara perkara hak dengan yang batil, yang benar dengan yang palsu dan antara yang betul dengan yang salah. Oleh itu, seorang ulama itu tetap berpegang teguh dengan yang hak dan kebenaran biarpun dia bersendirian mempertahankannya. Sebaliknya, dia tetap menolak dan membangkang kala mana yang batil dan kepalsuan dijulang oleh ramai orang.

Selain itu, seorang ulama adalah seorang yang cukup kuat sentiviti dan kepekaannya kepada keadaan persekitaran yang berlaku di sekelilingnya. Dengan erti kata lain, seorang ulama itu sentiasa berfikiran dan bertindak kritis dalam segala hal di samping dia bersedia memerhati, meninjau dan mendengar segala isu, bicara dan masalah yang timbul. Dari situ, dia akan menilai, meneliti dan menuntas perkara tersebut berdasarkan kepada hujah dan dalil yang kuat. Ini bermakna seorang ulama merupakan seorang penasihat dan juga seorang pembimbing masyarakat dan negara ke arah kebaikan dan kesejahteraan sejagat.

Akhirnya, ciri yang seterusnya ni merupakan ciri yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan yang bukan ulama. Ciri yang terakhir ini ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal ketakwaannya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa pun jua kecuali kepada Allah semasa menegakkan kebenaran dan memperjuangkan yang hak. Ciri takwa inilah juga yang mengangkatnya sebagai ulama sejati yang membimbing dan membangun masyarakatnya dengan ilmu yang dimilikinya.

Dalam satu segi yang lain, pemimpin pula adalah antara manusia yang mempunyai tanggungjawab besar di dalam Islam. Dia secara langsung di dalam urusannya memikul amanah dan tugas berat kepada rakyat dipimpinnya. Malahan seorang pemimpin juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah terhadap kepemimpinannya. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Kalian semua adalah seorang pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah pimpinannya. " (Hadis riwayat Bukhari)

Seorang pemimpin yang baik adalah seorang pemimpin yang adil dan mempunyai wawasan berpandangan jauh untuk menjamin kecemerlangan dan kesejahteraan rakyat di bawah pimpinannya. Bahkan, seorang pemimpin menganggap kuasa yang berada dalam genggamannya itu sebagai amanah yang akan dipersoalkan kelak di hadapan rakyatnya dan juga di hadapan Allah di kemudian hari. Pemimpin yang adil dan bertanggung jawab tidak akan pernah merasa senang hati mahupun berpuas hati dalam hidupnya jika rakyat di bawah pimpinannya hidup merempat serba kemiskinan dan menderita kebuluran. Malahan, seorang pemimpin yang amanah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyatnya terlebih dahulu sehingga rakyatnya itu hidup tenang dan sejahtera di bawah kepemimpinannya. Biarlah dia berlapar dan hidup susah asalkan rakyat jelatanya hidup senang dan bahagia.

Sebaliknya pemimpin yang buruk ialah pemimpin yang zalim, yang menindas rakyatnya demi memperkayakan diri dan kroninya. Oleh itu, pemimpin yang buruk sanggup membiarkan rakyat jelatanya hidup dalam serba kesusahan, kezaliman dan penindasan akan mewarnai pentas hidup. Akibatnya, pemimpin seumpama ini merupakan antara punca utama kepada kehancuran dan kebinasaan umat manusia. Kisah Firaun yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran adalah contoh seorang pemimpin yang zalim dan menindas rakyatnya, akhirnya kerajaannya dan juga umatnya telah hancur binasa ditelan bumi.

Kriteria wajib seorang pemimpin ialah bersikap lemah lembut terhadap rakyatnya tanpa memilih bulu dan tanpa mengambil kira pandangan politiknya. Justeru itu, seorang pemimpin tidak wajar mempunyai sifat pilih kasih dan juga tidak boleh bersikap kasar serta berhati keras terhadap sebarang kritikan dan teguran rakyatnya. Seterusnya, seorang pemimpin juga hendaknya merupakan seorang yang pemaaf dan juga tidak ketinggalan sentiasa mendoakan rakyatnya agar diberi keampunan Ilahi dan kesejahteraan hidup. Ini merupakan ciri pemimpin yang kuat berpegang kepada ajaran Islam sehingga cahaya Islam menyinari setiap detik kepimpinannya hingga menyuluhi keharmonian dan kebahagiaan rakyat jelatanya.

Antara pemimpin dan rakyatnya harus saling bermusyawarah pada setiap masa dan ketika sebelum menetapkan sesuatu keputusan yang muktamad dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negaranya. Dengan adanya musyawarah ini, barulah semua pihak dapat berbincang dengan cara yang baik untuk kepentingan dan kebaikan semua. Setelah itu, setiap pemimpin dan rakyatnya dituntut agar bertawakal kepada Allah kerana manusia hanya merancang, akan tetapi Allah jualah yang menentukan segala-galanya.

Sejarah Islam menyingkap rahsia kejayaan gemilang yang dirintis oleh Rasulullah SAW dan juga generasi sahabat adalah berdasarkan corak kepemimpinan seorang pemimpin dan juga kerjasama ulama serta masyarakat Islam dalam merealisasikan cita-cita dan wawasan negara. Inilah dia kunci kejayaan sebuah negara berdaulat yang berkait rapat dengan faktor kepimpinan yang adil dan juga kerjasama erat ulama dan rakyat yang dipimpin dalam menjana pembangunan negara.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 7:01 AM