TERDAPAT hadis Rasulullah SAW meramalkan akan ada kelompok pada akhir zaman yang mempertikaikan solat umat Islam. FOTO Arkib NSTP
TERDAPAT hadis Rasulullah SAW meramalkan akan ada kelompok pada akhir zaman yang mempertikaikan solat umat Islam. FOTO Arkib NSTP
Abd Rahman Tajudin

Bahagian 1/b>

Dewasa ini, muncul kelompok muda yang cuba mereaksi apa sahaja untuk meraih populariti sehingga sanggup melakukan kebiadaban terhadap ulama keturunan Rasulullah SAW.

Biadab adalah perbuatan yang tiada adab, tidak berakhlak, tidak berbudi bahasa dan tidak bertamadun dengan menghina orang lebih tua. Kebiadaban boleh berlaku sama ada dengan pertuturan, perlakuan mahupun isyarat tertentu.

Rasulullah SAW menyatakan bukanlah seorang Muslim itu yang sering mengungkapkan keaiban dan melaknat orang lain lebih-lebih kepada ulama keturunan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah seorang Mukmin itu orang yang selalu mengungkap keaiban, melaknat, berperangai buruk dan suka menyakiti." (Riwayat at-Tirmizi)

Pada masa kini dengan ledakan media sosial seperti YouTube memudahkan lagi aktiviti react sehingga melakukan kejahatan dan perbuatan yang keji dengan membawa orang ramai untuk sama-sama menghina ulama dan menyakiti muridnya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana mengelakkan kekejiannya." (Riwayat al-Bukhari)

Maka sebab itulah, adab dan akhlak sangat dituntut sebelum menuntut ilmu ataupun menyebarkan ilmu. Ini selaras dengan kalam Sheikh Abdullah bin Mubarak yang pernah menyatakan: "Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu." (Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira', 1/446)

Malah Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua dan tidak mengerti hak ulama kami." (Hadis Riwayat Ahmad (5/323) dan al-Bazzar (2718)

Menghormati orang tua lebih-lebih lagi ulama yang memiliki kedalaman ilmu sangat dituntut dalam Islam. Kebiadaban ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW apabila benih Khawarij memperlekehkan Rasulullah SAW kononnya Baginda tidak melaksanakan keadilan.

Rasulullah SAW pernah bersabda menyifatkan golongan biadab ini: "Mereka menghina/memperendahkan amalan kamu (konon amalan mereka benar), mereka memerangi umat Islam, maka apabila mereka keluar perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka." (Riwayat Ahmad: 5562)

Ini tepat dengan situasi sekarang golongan Wahabi dilihat sering mempertikaikan amalan umat Islam. Amalan umat Islam dikatakan tidak sama dengan al-Quran dan as-Sunnah. Amalan umat Islam dituduh sebagai bidaah dan khurafat. Malah mengatakan solat yang dilakukan sebagai tidak sah dan terkeluar daripada mazhab muktabar.

Perlekehan solat yang dilakukan oleh ulama ini menepati hadis nabi. Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluar di dalam umat ini - Baginda tidak mengatakan di antaranya - suatu kaum yang kalian mempersendakan (menganggap remeh) solat kalian dibandingkan solat mereka, mereka membaca al-Quran, namun tidak melewati kerongkongan mereka (tidak sampai hati kerana memahami secara tekstual - luaran), mereka keluar daripada agama bagaikan anak panah yang keluar dari busurnya." (Riwayat al-Bukhari)

Kebiadaban yang mempertikaikan ulama yang lebih mulia sudah muncul dalam sejarah. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, semasa Rasulullah SAW membahagi harta ghanimah, datang seorang lelaki daripada Bani Tamim bernama Zul Khuwaisirah menemui Rasulullah SAW dan mengatakan Baginda salah dan tidak sah dalam pembahagian tersebut. Lantas Zul Khuwaisirah dengan biadabnya menyuruh Rasulullah SAW berlaku adil kerana kelihatan pada perspektifnya baginda tidak adil. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, berlaku adillah!"

Jawab Rasulullah SAW: "Celakalah engkau! Siapa lagi yang mungkin berlaku adil kalau bukan saya? Sungguh celaka dan rugilah engkau kalau aku tidak dapat berbuat adil." (Riwayat Muttafaq 'alaih Bukhari Wa Muslim)

Susulan ayat kurang ajar Zul Khuwaisirah itu, Saidina Umar al-Faruq RA pantas mengusulkan khidmat buat Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, izinkanlah aku, biar aku penggal lehernya."

Lantas Rasulullah SAW melarang lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tinggalkanlah dia. Sesungguhnya dia mempunyai pengikut, solat kalian akan kelihatan remeh jika dibandingkan solat mereka (daripada perspektif mereka). Begitu pula puasa kalian dibandingkan puasa mereka." (Riwayat Muttafaqun Alaih Bukhari Muslim)

Hadis ini jelas Rasulullah SAW meramalkan kelompok ini akan keluar pada akhir zaman yang akan mempertikaikan solat umat Islam. Malah ia benar-benar terjadi apabila muncul YouTuber yang mempertikaikan solat ulama muktabar keturunan Rasulullah SAW. Bagi mereka solat ulama berkenaan salah, sedangkan hakikatnya solat ulama itu benar mengikuti landasan manhaj ulama muktabar.

Penulis Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (Concave), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 7:00 AM